SHAH ALAM - Biarpun mempunyai matlamat sama iaitu menewaskan BN, namun Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan besar tidak akan menubuhkan 'khemah besar' dan bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun mempunyai matlamat sama iaitu menewaskan BN, namun Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan besar tidak akan menubuhkan 'khemah besar' dan bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) nanti.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, walaupun Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan dengan jelas bahawa BN adalah musuh utama PN, namun itu tidak bererti PH akan bekerjasama dengan gabungan berkenaan, pada PRU15.

Malah, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengesahkan sehingga kini mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR dan Majlis Presiden PH, tidak membincangkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti komponen PN mengenai usaha menjalinkan kerjasama menjelang PRU15 nanti.

"Bagaimanapun, saya boleh mengesahkan bahawa memang ada perbincangan dalam kalangan pimpinan tertinggi PH mengenai penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), pada PRU15 nanti," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan PH bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa bagi berunding dengan Muda dan PSM berhubung permohonan mereka untuk bekerjasama dengan gabungan itu secara rasmi.

Pada 21 September lalu, Majlis Presiden PH mengesahkan penubuhan satu jawatankuasa dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponennya iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR, Steven Sim (DAP), Mohd Hasbie Muda (Amanah) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO) bagi mengkaji penyertaan Muda dan PSM ke dalam PH.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, ketika dihubungi wartawan Sinar Premium, pada Selasa, enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Muhyiddin berhubung pengisytiharan BN sebagai musuh utama PN pada PRU15 nanti.

Sebelum ini, Loke dipetik sebagai berkata, setakat ini PH hanya akan bekerjasama dengan empat parti komponennya sahaja iaitu DAP, PKR, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi menghadapi PRU15 nanti.

"Kena tanya sendiri kepada Muhyiddin... Itu kenyataan beliau saya enggan memberikan kenyataan mengenainya. Bagi kita PH akan bekerjasama dengan empat parti dalam PH dan akan melawan mana-mana parti lawan atau musuh politik kita. Terpulanglah kepada Muhyiddin kerana banyak parti lain juga mahu melawan BN.

"Setiap parti yang meletakkan calon di kawasan PH bertanding adalah pesaing kita. Saya tidak mahu komen apa yang dikatakan oleh Muhyiddin. Kita jelas bahawa PH tiada rundingan dengan mana-mana parti dari PN," katanya.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar pula menegaskan PH tidak mungkin akan bekerjasama dengan PN dan BN kerana kedua-dua parti itu adalah 'musuh' pakatan pembangkang.

"BN dan PN mesti ditolak oleh rakyat. BN dan PN adalah sama. Jadi rakyat kena tolak kedua-dua parti yang merosakkan negara," katanya dalam kenyataan ringkas kepada Sinar Premium.

Sabtu lalu, Muhyiddin, mengingatkan semua pemimpin dan ahli parti komponen PN bahawa BN adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada PRU15 nanti.

Berikutan itu, bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, berkata parti komponen dalam PN perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

"Jangan Bersatu kata begini, Pas begini, Gerakan begini. Kalau tak tunjuk kesatuan, kita akan kalah sebab mesej di bawah tidak jelas, siapa musuh kita.

"Jadi kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini bahawa musuh utama kita adalah BN," katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-6 Bersatu di Putrajaya.

Klik di sini untuk terus membaca