SHAH ALAM - Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim menasihatkan rakyat Malaysia agar jangan cuba-cuba minum air ganja yang banyak dijual di Thailand. Shahul Hamid berkata, orang ramai boleh ditahan dan dikenakan hukuman sekiranya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim menasihatkan rakyat Malaysia agar jangan cuba-cuba minum air ganja yang banyak dijual di Thailand.

Shahul Hamid berkata, orang ramai boleh ditahan dan dikenakan hukuman sekiranya ujian air kencing mendapati mereka positif dadah atau ganja.

"Memang minuman berasaskan ganja tidak ada masalah di Thailand tetapi sekembalinya ke negara ini, rakyat Malaysia perlu ingat mereka tertakluk dengan undang-undang sedia ada.

"Jadi, jika ujian saringan air kencing di sempadan negara yang dilakukan oleh pihak berkuasa mendapati mereka positif ganja, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian yang mendedahkan bahawa minuman berasaskan ganja mudah diperoleh di mana-mana kedai serbaneka di Thailand selepas negara itu membenarkan penduduk menjual dan menanam tumbuhan tersebut.

Shahul Hamid menegaskan, mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, perbuatan meminum air ganja itu juga boleh memberi kesan ketagih kepada orang yang ‘menikmatinya’, sekali gus bakal ‘menghancurkan’ hidup mereka.

"Justeru, jangan sesekali ambil air ganja ini kerana ia juga boleh berada dalam badan lama iaitu berjam-jam dan boleh menyebabkan perbuatan mereka diketahui pihak berkuasa jika ujian saringan air kencing dilakukan,” jelasnya.

Susulan itu, Shahul Hamid turut meminta pihak berkuasa termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperketat kawalan di sempadan negara bagi mengelak ramai rakyat Malaysia pergi ke negara jiran berkenaan untuk mendapatkan air mengkhayalkan itu.

Klik di sini untuk terus membaca