PADA Isnin lalu, ulama terkemuka dan pemikir Islam Mesir yang berpengaruh, Dr Yusuf al-Qaradawi telah meninggal dunia di Qatar ketika berusia 96 tahun setelah jatuh sakit bagi tempoh yang berpanjangan dan jenazahnya kemudian dimakamkan di... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Isnin lalu, ulama terkemuka dan pemikir Islam Mesir yang berpengaruh, Dr Yusuf al-Qaradawi telah meninggal dunia di Qatar ketika berusia 96 tahun setelah jatuh sakit bagi tempoh yang berpanjangan dan jenazahnya kemudian dimakamkan di negara tersebut.

Penglibatan Allahyarham dalam dunia Islam tidak lagi perlu diperkenalkan kerana beliau telah terkenal sebagai seorang tokoh pemikir Islam dan pernah menerbitkan lebih 100 buah buku yang menyentuh tentang pelbagai topik dalam agama Islam termasuk zakat.

Dilahirkan pada bulan September 1926 di Gharbia, Mesir, beliau dibesarkan ketika negara tersebut berada di bawah pemerintahan kolonial British dan berjaya menghafal kitab al-Quran semasa berumur 10 tahun.

Semasa muda, beliau kemudian menyokong pertubuhan Ikhwanul Muslimin iaitu sebuah kumpulan Islam dan sosial terbesar di negara itu yang ditubuhkan pada bulan Mac 1928 yang diasaskan oleh seorang pemikir Islam, Hassan al-Banna.

Beliau pernah menganggap pertubuhan itu sebagai projek Sunni yang perlu diaktifkan dan sebagai kumpulan terbaik dalam kalangan rakyat Mesir disebabkan oleh tingkah laku, etika serta pemikiran anggota-anggotanya tetapi selepas Mesir merdeka, Qardawi pernah dipenjarakan oleh Presidennya ketika itu, Gamal Abdul Nasser.

Qardawi mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar di Kaherah iaitu institusi agama paling berprestij di dunia Islam dan menamatkan pengajian tinggi dan pengajian lepasan ijazah di universiti yang sama sehingga beliau memperoleh ijazah doktor falsafah pada tahun 1973 dengan menumpukan pada kajian cukai zakat dan kesan sosialnya.

Beliau akhirnya meninggalkan Mesir ke Qatar pada awal 1960-an dan dilantik sebagai Dekan Fakulti Syariah di Universiti Qatar yang baru ditubuhkan dan diberikan kewarganegaraan Qatar pada tahun 1968.

TOKOH ULAMA

Semasa tinggal di Qatar, tokoh itu menjadi terkenal sebagai seorang ulama manakala sebuah bukunya pada tahun 1973 berjudul Fiqh al-Zakat yang menjelaskan tentang zakat iaitu salah satu daripada lima rukun Islam.

Pada tahun 2009 beliau tersebut menerbitkan buku berjudul The Law of Jihad iaitu sebuah karya dua jilid yang penting di mana beliau mengesahkan kesahihan undang-undang antarabangsa dan memacu pembangunan bidang baharu undang-undang Islam yang dikenali sebagai perundangan minoriti atau fiqh al-aqalliyyat.

Bersama ulama-ulama lain yang berfikiran sama, Qaradawi menubuhkan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang merupakan pusat penyelidikan manakala mesyuarat pertama telah diadakan di London pada tahun 1997 dan beliau pernah menjadi ketuanya.

Pembelaannya terhadap perjuangan penduduk Islam Palestin menentang Israel mendapat sokongannya dan juga menjadi penyokong Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza walaupun pergerakan tersebut dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh kebanyakkan negara Barat.

Allahyarham juga mengecam kumpulan seperti al-Qaeda dan Daesh sebagai ekstremis.

Ketika ratusan ribu orang berkumpul di Dataran Tahrir Kaherah untuk solat Jumaat pada 18 Februari 2011 semasa kebangkitan Arab Spring, Qaradawi pernah berucap di dataran tersebut dengan berkata: "Jangan biarkan sesiapa mencuri revolusi tersebut daripada anda. Revolusi belum berakhir. Ia baru sahaja mula membina Mesir.

Beberapa hari sebelum itu, Presiden Mesir, Hosni Mubarak telah meletakkan jawatan berikutan protes besar-besaran terhadap pentadbirannya.

Parti Kebebasan dan Keadilan iaitu sayap politik Ikhwanul Muslimin yang diharamkan sebelum ini telah memenangi bilangan kerusi terbanyak dalam pilihan raya Parlimen pertama yang bebas dan adil dengan Mohamed Morsi dipilih sebagai Presiden negara tersebut pada tahun 2012.

Morsi kemudian digulingkan dalam rampasan kuasa tentera oleh Menteri Pertahanannya, Abdel Fattah al-Sisi pada tahun 2013 yang kemudian telah menjadi Presiden sejak tahun 2014 dan telah memenjarakan kebanyakan pemimpin Ikhwanul Muslimin selain badan kehakimannya menjatuhkan hukuman mati serta penjara kepada pemimpin, ahli dan penyokong kumpulan itu.

HUKUMAN MATI

Qaradawi adalah antara mereka yang dijatuhi hukuman mati tanpa kehadirannya di mahkamah Mesir pada tahun 2015 atas tuduhan mempunyai kaitan dengan pembolosan penjara besar-besaran pada tahun 2011.

Namun, beliau pernah menganggap Morsi meninggal dunia sebagai syahid selepas mantan Presiden Mesir tersebut dipenjarakan atas pelbagai tuduhan antaranya menghasut penyokongnya untuk membunuh seorang wartawan dan dua penunjuk perasaan pembangkang selain mengarahkan penyeksaan dan penahanan yang menyalahi undang-undang.

Tokoh itu juga menunjukkan sokongan terhadap pemberontakan menentang Presiden Syria, Bashar al-Assad dan mengecam sokongan Iran terhadap pemerintahannya.

Beliau pernah mengetuai Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa iaitu sebuah persatuan Sunni dan menubuhkan IslamOnline, sebuah laman web yang mengeluarkan panduan untuk umat Islam tentang segala-galanya daripada cinta sehinggalah kepada cara-cara untuk menunaikan solat.

Pada tahun 2018, Interpol mengeluarkan Qaradawi daripada senarai dikehendaki selepas mendapati kes yang dibawa ke atasnya oleh Mesir dan Iraq adalah bermotifkan politik.

Pada tahun lalu, Qaradawi telah dijangkiti Covid-19 dan setakat ini punca beliau meninggal dunia masih tidak diketahui namun jasa-jasanya amat besar dalam dunia Islam. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca