"KALAU saya ada lampu Aladdin, saya akan minta jin lampu itu hilangkan semua perkataan dan ejaan yang merosakkan bahasa Melayu,” kata kawan saya, seorang pencinta bahasa tegar.
"Lagi baik hilangkan orang yang menggunakannya,” kata saya."Ramai sangat. Susah, bro...”
"Aik, pecinta bahasa pun guna bro?” saya mengusik.
Dia gelak. Ketawa yang dibuat-buat. Berdasarkan pengalaman, saya tahu ketawa jenis itu memberi isyarat bahawa apa yang kami makan dan minum tadi, sayalah yang kena bayar.
Kami terus berbual. Panjang. Bukan tentang PRU, bukan juga tentang bagaimana wajah anak Neelofa. Topik kami jelas. Tentang bahasa Melayu. Bahasa yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB UNGA ke-77 di New York baru-baru ini.
Yang sedihnya, kata sahabat saya si pencinta bahasa itu, ketika Perdana Menteri berusaha mengangkat martabat bahasa ibunda, ramai pula di kalangan kita terus ‘memartabakkan’nya, terutama di ruang siber khususnya di media-media sosial.
Saya bersetuju. Saya masih ingat pada zaman saya berstatus ‘bocah’ dahulu, ada seorang guru mengharamkan kami membaca majalah-majalah hiburan, terutama komik dan kartun kerana katanya bahasa yang digunakan kerap kalinya berstatus ‘rojak’ dan ‘rosak’.
Yang menariknya, ketika mengambil upah membersihkan rumahnya, saya ternampak majalah-majalah sedemikian cukup banyak. Bertimbun-timbun.
Berbalik tentang bahasa. Sesiapa pun yang mempedulikan bahasanya berhak berasa cemas apabila melihat ia terus-menerus dirojakkan. Ia bukan lagi semata-mata tentang campur aduk bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, tetapi juga tentang kemunculan perkataan-perkataan baharu yang kemudiannya meresap masuk dan digunakan tanpa bersalah.
‘Pishang’, ‘poyo’, ‘abam’, ‘krik krik’, ‘kompem’, ‘ohsem’ – sekadar menyebut beberapa contoh – tidak pernah disebut oleh orang Melayu sedekad dua yang lalu. Selain itu banyak juga perkataan-perkataan asal yang telah diubah maksudnya sewenang-wenang.
Dulu-dulu kalau disebut ‘mak cik bawang’ secara automatik kita akan menyangka dia seorang perempuan berstatus mak cik yang kerjanya menjual bawang, atau setidak-tidaknya berbau bawang. Sekarang maksudnya berbeza.
‘Koyak’ sekarang ini tidak semestinya bermakna carik, ‘payung’ pula bukanlah semata-mata benda yang melindungi kita daripada hujan dan panas, ‘kencing’ pun begitu, maksudnya telah dipelbagaikan.
Tidak cukup dengan perkataan, ejaan-ejaan dalam bahasa kita juga telah ditukar, diubah suai dan dipinda sesedap rasa. ‘Tak’ menjadi ‘x’, ‘kalau’ menjadi ‘klu’, ‘kau’ menjadi ‘ko’, ‘boleh’ menjadi ‘leh’, ‘sudah’ menjadi ‘dh’, ‘pula’ menjadi ‘plak’, ‘pergi’ menjadi ‘p’ dan banyak lagi.
Dari satu sudut mungkin akan ada yang berkata, itulah tanda dinamiknya bahasa kita, ia maju dan berkembang, membuat penyesuaian mengikut keadaan dan keperluan. Bercakap memang sedap. Tetapi kesan jangka panjangnya bagaimana?
Seratus tahun dahulu nenek moyang kita masih biasa dengan ‘arakian’, ‘syahdan’, ‘bahari’, ‘kendi’, ‘ceritera’, ‘cerpu’, ‘gemala’, ‘kali’, ‘iram-iram’ dan ratusan perkataan lain, yang sekarang ini tidak digunakan lagi.
Apakah seratus tahun akan datang, dalam dunia yang lebih baharu, perkataan-perkataan yang kita gunakan sekarang sebahagian besarnya lenyap dan pupus?
The Language Conservancy, sebuah pertubuhan yang berusaha melindungi bahasa-bahasa yang diancam kepupusan melaporkan, terdapat kira-kira 7,000 bahasa yang digunakan di seluruh dunia sekarang dan setiap tahun enam daripadanya mati atas pelbagai sebab, manakala 2,900 lagi berada dalam keadaan terancam. Setakat ini, kata laporan itu, 573 bahasa dikenal pasti telah berkubur tanpa nisan.
Kita tentu tidak mahu bahasa kita menerima nasib yang sama. Tetapi apa upaya kita kerana dunia baharu seakan tidak memberi peluang kepada sesiapa pun untuk menongkah arus.
"Kalau saya hantar pesanan WhatsApp yang berbunyi ‘Awak sedang buat apa? Marilah kita pergi minum petang. Saya boleh membelanja awak. Kalau awak bersetuju, awak tunggulah di rumah. Sekejap lagi saya akan pergi menjemput awak’, agak-agak apa tanggapan penerima pesanan itu terhadap saya?” tanya si pecinta bahasa.
"Dia akan kata awak gila,” jawab saya.
"Betul, bos!”
Dah bos pula, tadi bro!
Jika bahasa menunjukkan bangsa, susah juga hendak teka kawan saya itu berbangsa apa...#dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca