SHAH ALAM - Tidak mustahil untuk parti DAP mempunyai Setiausaha Agung daripada kalangan wanita walaupun jawatan itu didominasi pemimpin lelaki sejak penubuhan parti itu 56 tahun lalu.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Hannah Yeoh berkata, dalam perlembagaan parti itu, tiada apa-apa had untuk wanita memegang jawatan penting.
Malah katanya, beliau percaya pemimpin wanita mampu memikul tanggungjawab besar berkenaan dan membawa DAP untuk terus kekal relevan.
"Malah, dalam usaha kita memartabatkan wanita, kita telah meminda perlembagaan parti untuk memastikan jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) mesti mempunyai 30 peratus wanita dan kita sudah penuhi hasrat itu,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bersama Johan Jaaffar di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Sementara itu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut melihat keyakinan rakyat semakin tinggi apabila ada wanita yang memegang jawatan begitu penting dan tegas serta melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Jelasnya, rakyat gembira apabila melihat mereka berkemampuan dalam memikul amanah rakyat dan negara.
"Orang suka apabila Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tun Tengku Maimun Tuan Mat bercakap dan membuat keputusan dengan tegas dalam perbicaraan besar baru-baru ini. Walaupun ia mungkin bukan berasaskan kepada jantina tapi kemampuannya dalam melaksanakan amanah itu.
"Begitu juga dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang cukup hebat, tegas dan cekap dalam membuat keputusan.
"Tapi, bukan semua wanita apabila memegang jawatan penting, keyakinan rakyat akan menjadi tinggi. Kita juga ada menteri wanita yang banyak kontroversi dan telah menurunkan keyakinan rakyat kepada beliau.
"Jadi, saya percaya bukan disebabkan jawatan itu dipegang wanita tetapi cara dia melaksanakan tugas itu sangat penting,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca