SHAH ALAM - Cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengitar semula bekas pemimpin veteran UMNO yang sudah lama bersara daripada berpolitik sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan parti itu ketandusan barisan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengitar semula bekas pemimpin veteran UMNO yang sudah lama bersara daripada berpolitik sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan parti itu ketandusan barisan kepimpinan muda berwibawa dan segar.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, mengakui bahawa memang benar bekas pemimpin UMNO seperti Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Tan Sri Azmi Khalid pernah menjadi nama besar dan memegang jawatan dalam kabinet, namun ia bukan satu kelebihan kepada Bersatu untuk menang kerusi pada PRU15 kerana mereka sudah tidak relevan lagi.

Jeniri berkata, ini kerana mereka ibarat 'orang pencen' dan tidak dikenali oleh generasi muda berusia antara 18 hingga 35 tahun yang mewakili lebih 60 peratus pengundi keseluruhannya.

"Majoriti rakyat Malaysia sekarang terutama orang muda dan pengundi atas pagar mengharapkan semua parti politik melakukan pembaharuan dengan meletakkan pemimpin muda berwibawa, muka baharu dan segar sebagai calon dalam PRU15 nanti, bukannya calon kitar semula orang pencen.

DR JENIRI AMIR

"Ini penting kerana seorang wakil rakyat berkenaan bukan hanya perlu memimpin sesuatu kawasan Parlimen atau DUN semata-mata, malah mereka bertanggungjawab mengemukakan idea bernas dan membantu kerajaan memulihkan semula negara daripada krisis ekonomi global yang turut melanda Malaysia sekarang," katanya kepada Sinar Premium, pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan Bersatu Perlis memberi bayangan akan mengetengahkan semula beberapa tokoh dan nama 'besar' yang pernah mewarnai dunia politik tanah air suatu ketika dahulu untuk bertanding pada PRU15 nanti.

Antara nama besar disebut-sebut mahu membuat 'come back' ialah Mohd Radzi (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu) yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kangar dan menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri antara 2006 hingga 2008 serta Azmi yang penah memegang jawatan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Ahli Parlimen Padang Besar.

Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, berkata penyertaan semula mereka dalam PRU akan datang bagaimanapun akan dilihat kepada keperluan parti itu dalam usaha untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan di negeri itu kelak.

Dalam pada itu, Jeniri berkata, tindakan Bersatu berkenaan juga membuktikan bahawa dakwaan bahawa kekuatan mereka hanya menggantung kepada 'katak politik' atau pemimpin yang melompat parti adalah memang benar.

Beliau berkata, tindakan itu juga menggambarkan Bersatu sebenarnya tidak mempunyai kekuatan jentera akar umbi sendiri terpaksa bergantung dengan parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) terutama Pas untuk menang kerusi pada PRU15 nanti.

"Oleh itu, saya berpandangan Bersatu sukar untuk mempertahankan 13 kerusi Parlimen disandang oleh wakil rakyatnya pada PRU15 nanti," katanya.

DR AWANG AZMAN

KETANDUSAN CALON MUDA

Sementara itu, Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, tindakan Bersatu mengitar semula muka lama berkenaan belum tentu akan membuahkan hasil kerana mereka sudah lama tak aktif berpolitik.

Malah, Awang Azman menegaskan kini sudah ada generasi kedua dan ketiga atau pemimpin muda yang boleh memainkan peranan secara lebih efektif serta sudah sewajarnya mengambil tempat dalam politik.

Beliau berkata, tindakan berkenaan juga seolah-olah menunjukkan Bersatu ketandusan calon muda berwibawa sehingga memanggil 'orang pencen' untuk kembali aktif berpolitik.

Katanya, tindakan berkenaan juga menunjukkan barisan kepimpinan tertinggi Bersatu dilihat kurang yakin keupayaan pelapis terdiri golongan muda untuk diangkat sebagai pemimpin masa depan mereka.

"Tindakan ini belum tentu mampu tarik undi golongan muda terutama mereka pertama kali mengundi dan berusia antara 18 hingga 30 tahun serta pengundi atas pagar.

"Sentimen orang muda sebagai pemimpin masa depan kurang diserlahkan dan akan menyebabkan kumpulan 'recycle' ini dianggap masing-masing mahu berpolitik sedangkan zaman mereka sepatutnya diambil alih oleh muka-muka baru yang sedang memegang jawatan dalam Bersatu," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca