PETALING JAYA - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa beliau akan meninggalkan kerusi Port Dickson dan bakal bertanding di Parlimen di mana wakil rakyatnya sekarang adalah pengkhianat PKR. Antara... Klik di sini untuk terus membaca

PETALING JAYA - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa beliau akan meninggalkan kerusi Port Dickson dan bakal bertanding di Parlimen di mana wakil rakyatnya sekarang adalah pengkhianat PKR.

Antara pemimpin yang mengkhianati PH selepas PRU14 termasuklah bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak); mantan Naib Presiden PKR Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak).

Turut tersenarai sebagai pengkhianat ialah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok),Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Presiden PKR itu menjelaskan beliau meninggalkan Port Dickson kerana PH lebih kuat dan berpotensi besar untuk mempertahankan kerusi berkenaan biarpun ditandingi oleh pemimpin lain.

Justeru mantan Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan hasratnya untuk bertanding di kawasan disandang oleh bekas pemimpin PH yang keluar parti dan pernah menjadi kubu kuat UMNO.

Difahamkan, antara kawasan mungkin ditanding Anwar termasuklah kerusi Parlimen Gombak, Ampang, Indera Mahkota, Batu Pahat, Bandar Tun Razak dan Nibong Tebal.

"Saya mahu bertanding di kawasan pengkhianat PH bagi memberi mesej bahawa pengkhianatan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama ada dalam politik atau kehidupan sebenar seorang manusia.

"Jadi saya berkemungkinan besar akan memilih kawasan dimenangi oleh pengkhianat parti untuk ditandingi pada PRU15 nanti," katanya ketika sesi dialong Sembang Kencang Kelab Wartawan KLS bersama Anwar di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan PH terutama PKR akan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar dan majoriti Melayu bagi memastikan mereka menang lebih banyak kerusi pada PRU15 nanti.

Anwar berkata tindakan itu perlu kerana masih banyak kawasan luar bandar masih tidak mempunyai kadar capai internet terhad yang menyebabkan kempen menerusi media sosial yang terbatas.

"Kalau dulu kempen menerusi media arus perdana terutama surat khabar dan televisyen amat berkesan namun sekarang ia sudah tidak relevan.

"Kebergantungan kepada media biasa kini semakin berkurangan biarpun kajian menunjukkan televisyen masih mempunyai sedikit pengaruh terutamanya di luar bandar dan desa," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca