SHAH ALAM - Sebahagian besar rakyat Malaysia terutama B40 dan M40 dijangka berdepan masalah miskin persaraan ketika berusia 60 tahun kerana tidak mempunyai wang simpanan mencukupi untuk menyara kehidupan selepas tidak lagi bekerja.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebahagian besar rakyat Malaysia terutama B40 dan M40 dijangka berdepan masalah miskin persaraan ketika berusia 60 tahun kerana tidak mempunyai wang simpanan mencukupi untuk menyara kehidupan selepas tidak lagi bekerja.

Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir melahirkan kebimbangan berhubung jangkaan itu berdasarkan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini sehingga menyebabkan ramai tidak dapat menyusun kewangan mereka untuk masa depan lebih baik.

Malah, katanya, perancangan persaraan sedia ada juga seolah-olah berat sebelah dan berpihak kepada golongan pekerja sektor awam sahaja.

Menurutnya, faktor lain ialah ekonomi negara, nilai mata wang, kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.

"Perkara ini menyebabkan rakyat berdepan kesukaran untuk membuat persediaan dan simpanan mencukupi selepas bersara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.Selain itu, ujar beliau, kemahiran mengurus perbelanjaan dalam kalangan masyarakat juga dilihat masih rendah di negara ini.

"Sepanjang saya menganjurkan kursus selama 22 tahun, ketika latihan bedah siasat berkaitan gaji, saya dapati seramai 27 daripada setiap 30 orang akan berbelanja lebih daripada gaji mereka.

"Sama ada mereka boros atau tidak, itu cerita lain. Yang isunya di sini, kemahiran (perbelanjaan) itu mereka tidak ada, tambah pula ada alternatif membuat hutang dengan mudah dan pelbagai inisiatif yang menggalakkan orang ramai untuk berbelanja,” ujarnya.

Beliau turut bersetuju bahawa jumlah simpanan RM900,000 adalah dana persaraan selesa untuk mereka yang bersara.

Ujarnya, individu yang bersara di kawasan bandar memerlukan pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan dengan syarat komitmen hutang seperti kereta dan rumah telah diselesaikan.

Jelas beliau, ia berikutan purata jangka hayat rakyat di negara ini ialah 75 tahun.

"Maknanya, dengan pendapatan seperti itu, kalau bersara pada umur 60 tahun, untuk hidup dalam 15 tahun lagi memang perlu dalam RM900,000.

"Kalau di kampung, rakyat perlu pendapatan lebih kurang RM2,500 sebulan,” katanya.

Jumaat lalu, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein mendedahkan, individu yang bersara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang memerlukan simpanan sebanyak RM900,000 sehingga RM1 juta.

Dalam pada itu, Shamsuddin menyarankan orang ramai memberi tumpuan ke arah pelaburan alternatif seperti emas dan hartanah pada usia muda.

Tambahnya, kerajaan juga perlu memainkan peranan bagi memastikan semua pekerja sama ada sektor awam atau swasta mendapat manfaat yang sama rata pada masa hadapan.

"Kerajaan perlu menyediakan solusi untuk semua pekerja swasta yang berusia 35 tahun ke atas dapat mencecah gaji RM10,000 sebulan.

"Ataupun kerajaan kena masukkan pampasan supaya simpanan majoriti pekerja mencapai RM900,000,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca