SHAH ALAM - Rata-rata orang ramai yang ditemui akui bimbang dan tertekan dengan masalah kekurangan wang simpanan untuk dijadikan dana persaraan pada masa hadapan. Menurut mereka, selain gaji yang kecil, kos sara hidup semakin meningkat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata orang ramai yang ditemui akui bimbang dan tertekan dengan masalah kekurangan wang simpanan untuk dijadikan dana persaraan pada masa hadapan.

Menurut mereka, selain gaji yang kecil, kos sara hidup semakin meningkat menyebabkan mereka tidak dapat membuat simpanan untuk hari tua.

Nur Atika Daud, 30, berkata, pendapatan sebahagian besar pekerja terutama sektor swasta pada masa kini menyukarkan mereka untuk menyimpan wang.

Pegawai khidmat pelanggan itu berkata, kos sara hidup yang tinggi, ditambah dengan masalah kenaikan harga barangan menyebabkan ramai pekerja swasta tertekan disebabkan syarikat tidak menaikkan gaji mereka.

Mengasingkan sedikit wang gaji untuk simpanan kecemasan juga sukar dilakukan kerana komitmen yang tinggi dengan bank bagi pinjaman perumahan, kenderaan dan lain-lain.

"Selain itu, syarikat juga berdepan masalah keuntungan merudum menyebabkan mereka tidak dapat menaikkan gaji, sekali gus memberi kesan kepada dana persaraan pekerja," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Salmiah Mohd Zain, 51, berkata, anggaran wang persaraan yang bakal diterimanya nanti dijangka tidak dapat mencapai sasaran simpanan seperti yang dinyatakan KWSP.

Jumaat lalu, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein mendedahkan, individu yang bersara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang memerlukan simpanan sebanyak RM900,000 sehingga RM1 juta.

"Pada pendapat saya, anggaran wang persaraan yang akan diterima adalah sekitar RM200,00 atau RM300,000. Ini agak membimbangkan kerana sekiranya saya bersara, sasaran simpanan masih tidak mencapai RM900,000 sehingga RM1 juta,” ujar Salmiah yang merupakan seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat swasta.

Tambah Salmiah, dia merancang untuk menggunakan wang KWSP itu apabila bersara nanti untuk mengusahakan kebun-kebun kecil.

Bagi Muhammad Nasrullah Mustafar, 32, dana persaraan miliknya itu akan digunakan untuk membuat pelaburan bijak seperti melabur di Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Dia yang bekerja sebagai kerani akaun berkata, anggaran wang persaraan yang akan diterimanya mungkin dalam sekitar RM500,000 dan jumlah tersebut sudah memadai untuk menampung perbelanjaan pada usia tua kelak.

"Dalam kita menyimpan, kita juga perlu melabur. Amatlah rugi sekiranya pada usia muda kita tidak mendisiplinkan diri dalam membuat simpanan dan pelaburan yang betul.

"Bagaimanapun, KWSP yang dipertanggungjawabkan untuk menyimpan hasil simpanan orang ramai perlulah memainkan peranan penting bagi memastikan setiap caruman dibuat memberi pulangan lumayan pada masa akan datang.

"Cari solusi dengan membuat pelaburan yang betul serta jalankan kajian terperinci sebelum membuat pelaburan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca