SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan supaya mengenal pasti dan merancang keadaan kewangan terlebih dahulu sebelum membuat tabungan untuk menambah dana persaraan. Perancang Kewangan Berlesen, Nik Adlan Hafez Nek Mat Din berkata, konsep asas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan supaya mengenal pasti dan merancang keadaan kewangan terlebih dahulu sebelum membuat tabungan untuk menambah dana persaraan.

Perancang Kewangan Berlesen, Nik Adlan Hafez Nek Mat Din berkata, konsep asas pengurusan kewangan ialah 40 peratus daripada gaji untuk perbelanjaan hidup, serta masing-masing 30 peratus untuk simpanan dan komitmen kewangan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu mungkin sukar dilaksanakan bagi sesetengah individu memandangkan pendapatan, perbelanjaan dan komitmen setiap orang adalah berbeza.

"Jika mengambil kira konsep 40-30-30, tidak semua orang mampu, tapi ia boleh dijadikan sebagai satu garis panduan. Cuma, ia sukar untuk diguna pakai sebenarnya.

"Ramai orang yang membuat kesilapan kewangan. Contohnya daripada segi perbelanjaan makanan yang tinggi mengikut gaya hidup.

"Mungkin juga dia mengambil insurans tetapi tidak tahu perlindungan itu banyak mana. Ada yang membayar insurans terlalu mahal sedangkan ada yang lebih murah tetapi perlindungannya lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Nik Adlan Hafez berkata, sekiranya wang sentiasa tidak mencukupi, mereka perlu melihat kepada bagaimana aliran tunai itu digunakan dan jika perlu, lakukan dua pekerjaan untuk menambah pendapatan.

"Mungkin sebahagian daripada kita mempunyai aset seperti rumah dan pelaburan dalam unit amanah atau hartanah. Namun, tidak ramai memperincikan aset itu untuk apa. Ada yang pukul rata, inilah untuk simpanan persaraan, anak sekolah, melancong dan sebagainya.

"Maka, aset yang ada itu tidak akan tercapai niat maksudnya sebab simpanan untuk segala tujuan, boleh habis secara tiba-tiba.

"Sepatutnya kita tandakan, contohnya simpanan A untuk persaraan, simpanan B untuk pelajaran anak-anak, simpanan C untuk perkahwinan anak dan simpanan D untuk melancong. Daripada situ, barulah kita boleh membuat simpanan yang tepat dan tercapai,” jelasnya.

Tambah beliau, begitu juga dengan pengurusan liabiliti, orang ramai yang ingin membuat pinjaman rumah dan kenderaan dinasihatkan untuk mencari pinjaman yang menawarkan kadar faedah lebih rendah.

Selain itu, katanya, seseorang itu perlu mempunyai tempoh masa dalam merancang tabungan selepas persaraan.

"Ramai orang tak tahu perspektif hidup mereka, perancangan kewangan itu sehingga umur berapa. Sepatutnya, kita kena kira berapakah perbelanjaan yang kita perlukan daripada tempoh persaraan.

"Misalnya dari umur 55 tahun sehingga kita berusia berapa tahun, mungkin sehingga 70 ke 80 tahun. Kita kena tahu berapa banyak duit KWSP pada usia kita bersara dan kena kira, adakah ia mencukupi untuk kita bertahan sehingga tempoh tertentu.

"Kalau kita lihat daripada satu sudut sahaja, ia tidak ada makna. Maksudnya, kalau tak cukup, kita kenalah buat simpanan lebih. Kalau tak tahu aliran tunai sekarang, macam mana nak buat simpanan lebih?” soal beliau.

Klik di sini untuk terus membaca