INGATAN Menteri (Ekonomi) di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed tentang kos perjalanan pilihan raya akan berganda daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion jika Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) dipisahkan perlu difahami dan dipertimbangkan dengan mengambil kira konteks institusi tanah air.
Pertama, kita mengamalkan demokrasi berparlimen di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri, dan oleh itu menghormati kebarangkalian dan keperluan untuk pembubaran awal apabila kerajaan kehilangan keyakinan dan tiada kerajaan baru yang boleh bertahan dapat dibentuk.
Secara teorinya, sekiranya kejatuhan kerajaan berlaku di Parlimen dan kesemua DUN dengan selang lebih dari dua bulan, maka kita terpaksa mengadakan satu PRU dan 13 PRN dalam masa lima tahun.
Memang lazim untuk PRU dan PRN berlaku lain-lain masa di negara persekutuan lain seperti India, Australia, Kanada dan Jerman.
Kita tidak boleh mengelakkan PRN dengan langkah lain seperti memasyhurkan darurat. Memang mahal PRU dan PRN, tetapi lebih mahal lagi harganya kalau demokrasi berparlimen kita tidak dibenarkan berfungsi. Kita tidak jadi buat apa kalau kita sentiasa lihat kos dan abaikan manfaat.
Kedua, PRU dan PRN yang tidak serentak membawa manfaat juga selain kos, maka pertimbangan kita tidak boleh mengambil kira kos sahaja. Ia membawa dua kebaikan yang saling berkaitan.
Pertama, PRN boleh berfungsi sebagai ‘pilihan raya tengah penggal’ untuk kerajaan Persekutuan, seolah-olah macam peperiksaan tengah tahun untuk anak murid. Untuk mengelakkan kekalahan pada PRN, maka parti pemerintah Persekutuan mesti lebih menjaga hati rakyat dan tidak angkuh kerana masih jauhnya PRU.
Kedua, peluang pertukaran kerajaan serentak di persekutuan dan semua negeri menjadi rendah, kerana mood pengundi mudah berubah sekalipun dalam beberapa bulan. Maka, ini mengurangkan kegelisahan dalam kalangan rakyat kerana tiada parti atau gabungan yang akan hilang semua kuasanya walaupun menjadi tidak popular.
Ia juga bermakna bahawa lebih kuat fungsi semakan dan imbangan antara parti. Tak kira parti mana memerintah Putrajaya, pasti ada parti lain yang tetap berkuasa di negeri.
Ketiga, kalau kita benar-benar ingin menjimatkan wang dalam PRU/PRN, kita seharusnya memastikan Parlimen dan DUN melengkapi penggal mereka.
Sebagai contoh, kalau PRU diadakan lima tahun sekali daripada secara purata empat tahun sekali, maka kita cuma ada empat dan bukan lima PRU dalam masa 20 tahun.
Dihitung dari hari pertama bersidang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor boleh bertahan untuk tiga tahun sampai empat tahun setengah. Memang tidak masuk akal untuk bubarkan empat DUN ini sebelum habis tempohnya.
Untuk sembilan DUN yang lain, penggal tamat antara 25 Jun 2023 (Selangor) sampai ke 19 Julai 2023 (Perlis), tidak sampai 20 hari pun dari penamat penggal Dewan Rakyat, 15 Julai 2023.
Maka, jika Dewan Rakyat dan sembilan DUN ini dibenarkan menghabiskan penggal mereka, PRU dan semua sembilan PRN boleh diadakan serentak selewat-lewatnya pada 24 Ogos 2023, iaitu had 60 hari selepas pembubaran DUN Selangor. Jika ini dipersetujui awal, PRU15 boleh dirancang rapi dan diawalkan lagi.
Ini sudah tentu lebih jimat jika PRU dan PRN untuk Perlis, Perak dan Pahang saja berlaku pada penghujung 2022, ketika banyak pusat mengundi mungkin tenggelam dalam banjir!
Kalau baju masih berguna,
Buat apa dibeli selalu?
Kalau Dewan masih berguna,
Buat apa diundi selalu?
* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN-Asia) di Universiti Sunway. Beliau khusus dalam rekaan institusi seperti sistem pilihan raya, politik kepartian dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca