SHAH ALAM - Dikaitkan dengan tuduhan scammer rumah, Pengarah Urusan MRF Consultant (M) Sdn Bhd (MRF) mencabar mana-mana pihak untuk mengheret dirinya ke muka pengadilan sekiranya dia didapati benar-benar bersalah. Pemilik syarikat pemaju... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dikaitkan dengan tuduhan scammer rumah, Pengarah Urusan MRF Consultant (M) Sdn Bhd (MRF) mencabar mana-mana pihak untuk mengheret dirinya ke muka pengadilan sekiranya dia didapati benar-benar bersalah.

Pemilik syarikat pemaju hartanah, Siti Nur Atiqah Baba berkata, jika dirinya menganiaya mana-mana pihak, beliau bersedia untuk bersemuka dengan mana-mana pihak untuk berbincang.

Kata beliau, pintu pejabatnya di Setia Alam, dekat sini sentiasa terbuka dan menerima sesiapa sahaja yang merasakan ditipu olehnya berhubung skim yang ditawarkan oleh MRF termasuk Rumahku Syurgaku yang dilancarkan akhir Jun lalu.

Siti Nur Atiqah yang menggunakan gelaran Datuk Seri menjelaskan, jika benar tuntutan serta dakwaan ke atas dirinya dan MRF, dia sama sekali tidak pernah berselindung atau melarikan diri.

Tegasnya, beliau sentiasa ada untuk ditemui malah akan berusaha sedaya upaya membantu merungkai permasalahan yang dihadapi.

"Saya membantu dan menguruskan permohonan pinjaman untuk orang ramai mendapatkan rumah. MRF akan membantu mereka dengan menghantar permohonan kepada beberapa buah syarikat perbankan bagi mendapatkan pinjaman.

Siti Nur Atiqah menunjukkan dokumen pengurusan pinjaman bank yang dilaksanakan oleh MRF bagi kelulusan pinjaman perumahan.

"Saya tahu permohonan mendapatkan pinjaman pembelian rumah adalah sukar terutama ketika ekonomi kurang stabil. Maka, kami di MRF menghulurkan bantuan dan saya sejujurnya hendak buat amal kebajikan menerusi perkhidmatan ini,” katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu, pihak media dimaklumkan satu sidang akhbar akan diadakan oleh pihak MRF, namun Siti Nur Atiqah menafikan pihaknya ada mengeluarkan jemputan berhubung sidang akhbar tersebut.

Jelasnya, MRF sememangnya bercadang mengadakan satu sidang akhbar bagi mengumumkan beberapa pelan rancangan syarikat berhubung skim tawaran pembelian rumah, namun tarikh majlis pelancaran itu masih belum diputuskan.

Justeru, pihak syarikat berasa hairan bagaimana surat jemputan sidang media pada Rabu itu tersebar, sedangkan ia tiada dalam perancangan syarikat untuk mengadakannya pada tarikh tertera dalam jemputan.

Sementara itu diminta mengulas mengenai sebuah syarikat pelaburan yang mendakwa kerugian RM2.3 juta setelah membuat pembayaran kepada MRF, Siti Nur Atiqah berkata, perkara tersebut merupakan satu salah faham dan ia melibatkan banyak perkara berbangkit dengan pihak lain.

Pada masa sama, pihaknya juga dinasihatkan oleh pihak peguam untuk tidak membincangkannya secara terbuka. Namun beliau akan memberi kerjasama penuh dengan semua pihak bagi menjelaskan kebenaran berhubung perkara tersebut.

"Namun sekiranya perkara itu gagal diselesaikan menerusi perbincangan, mereka boleh buat laporan polis dan membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

Mengulas mengenai skim pakej Rumahku Syurgaku, jelas Siti Nur Atiqah, pihak syarikat telah menguruskan permohonan pinjaman bank melibatkan 2,500 peserta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 300 orang peserta telah menerima rumah yang diidamkan menerusi tawaran perkhidmatan pengurusan permohonan pinjaman yang diajukan terus kepada beberapa pihak perbankan di negara ini.

Klik di sini untuk terus membaca