PERNAH menjadi Menteri Pertahanan paling muda di dunia pada tahun 2015, kini Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara itu selepas diumumkan memegang jawatan tersebut pada Selasa lalu.
Putera Mohammed atau lebih dikenali dengan panggilan MBS, 37, dilantik memegang jawatan tersebut menerusi satu rombakan Kabinet atas arahan ayahandanya yang juga Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud bagi menggantikannya.
Menerusi arahan itu, seorang lagi anakandanya, Putera Khalid bin Salman dilantik sebagai Menteri Pertahanan.
Seorang lagi anakanda raja itu, Putera Abdulaziz bin Salman kekal memegang jawatan Menteri Tenaga manakala kedudukan Menteri Luar, Putera Faisal bin Farhan Al Saud; Menteri Kewangan, Mohammed al-Jadaan dan Menteri Pelaburan, Khalid al-Falih masih tidak berubah.
MBS dilahirkan pada 31 Ogos 1985 dan merupakan anakanda sulung kepada isteri ketiga Raja Salman, Fahdah binti Falah bin Sultan manakala Perdana Menteri baharu itu berkelulusan dalam bidang undang-undang dari King Saud University, Riyadh selain mempunyai empat cahaya mata iaitu dua lelaki serta dua perempuan.
Pada tahun 2011, Raja Salman dilantik sebagai Timbalan Putera Mahkota manakala MBS kemudian menjadi penasihat khasnya dan semasa memegang jawatan tersebut, Putera Mohamed menubuhkan sebuah yayasan yang dinamakan sempena namanya untuk membantu belia yang kurang bernasib baik.
Ketika ayahandanya memegang jawatan Putera Mahkota pada tahun 2012 bagi menggantikan abangnya, Putera Nayef bin Abdel Aziz Al-Saud yang telah meninggal dunia, MBS kemudian dilantik sebagai Ketua Mahkamah Putera Mahkota sebelum kenaikan pangkatnya menjadi Menteri Negara pada tahun 2014 pada usia 28 tahun, menurut Business Insider United Kingdom (UK).
Putera Mohammed kemudian dilantik pada Januari 2015 sebagai Menteri Pertahanan pada usia 29 tahun sekali gus menjadi Menteri Pertahanan termuda di dunia.
Salah satu tugasnyanya ialah melancarkan kempen ketenteraan di Yemen pada Mac 2015 bersama-sama dengan beberapa negara Arab lain selepas gerakan pemberontak Houthi yang dilihat sebagai proksi Iran menguasai ibu kota Sanaa sehingga memaksa Presidennya, Abdrabbuh Mansour Hadi melarikan diri ke luar negara.
Bagaimanapun, gencatan senjata kemudian dimeterai antara Arab Saudi dan sekutu-sekutunya dengan Houthi bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang akan berakhir pada awal Oktober depan selepas lebih 110,000 orang terkorban serta beberapa siri serangan dron berlaku di negara beraja tersebut termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
PERUBAHAN EKONOMI
Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Putera Mahkota, Timbalan Perdana Menteri Kedua dan Presiden Majlis Ekonomi dan Hal Ehwal Pembangunan manakala kepentingannya sebagai penggubal dasar menjadi jelas pada tahun 2016 apabila beliau melancarkan rancangan yang bercita-cita tinggi serta luas untuk membawa perubahan ekonomi termasuk sosial selain menamatkan penggantungan Arab Saudi terhadap minyak.
Pelan bercita-cita tinggi itu dikenali Wawasan 2030 dan akan melibatkan peningkatan hasil bukan minyak kepada satu trilion riyal (RM1.23 trilion) menjelang tahun 2030 selain melakukan perubahan terhadap kurikulum pendidikan, meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja yang didominasi lelaki dan melabur dalam sektor hiburan untuk membantu mewujudkan pekerjaan untuk golongan muda.
Pendakian kedudukan Putera Mohammed berterusan apabila pada bulan Jun 2017, Raja Salman yang kini berusia 86 tahun melantiknya sebagai Putera Mahkota bagi menggantikan anak saudaranya sendiri, Mohammed bin Nayef.
Raja Salman menjadi Raja Arab Saudi bagi menggantikan abangnya, Almarhum Raja Abdullah yang mangkat pada tahun 2015.
Selepas memegang jawatan Putera Mahkota itu, beliau kemudian menangkap lebih 20 ulama dan cendekiawan berpengaruh ketika pihak berkuasa menyasarkan kumpulan yang didakwa bertindak bagi pihak asing sekali gus membahayakan keselamatan kerajaan beraja negara tersebut.
Beliau telah menentang pemimpin agama yang berkuasa yang telah lama mendominasi kehidupan Arab Saudi dan menyerang golongan elit negara dengan pembersihan dramatik diraja termasuk sejumlah menteri dan tokoh perniagaan serta ratusan lagi ditahan kononnya sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah bernilai AS$100 bilion (RM462 bilion).
Namun, pembunuhan wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi pada Oktober 2018 di Konsulat Arab Saudi, Istanbul, Turkiye mencemarkan imej MBS di luar negara selepas penulis itu banyak mengkritik Putera Mahkota tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi menegaskan MBS tidak terlibat dalam kejadian itu manakala Putera Mohammed menafikan beliau telah mengarahkan pembunuhan berkenaan selepas pelaku-pelakunya terdiri daripada mereka yang bekerja untuk kerajaan negara beraja tersebut.
Pada Februari 2018, Putera Mohammed mengawasi perubahan dramatik yang menyaksikan pegawai-pegawai tertinggi, termasuk ketua kakitangan dan ketua tentera darat dan pertahanan udara digantikan sebahagian besarnya dengan pemimpin muda yang setia kepadanya.
Selepas pasaran tenaga dunia dilanda kekacauan akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kuasa-kuasa Barat mencari putera itu yang merupakan pemerintah de facto Arab Saudi walaupun beliau cuba dipinggirkan berikutan kejadian pembunuhan Khashoggi.
Usaha untuk meminggirkannya berakhir apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden melawat Arab Saudi pada Julai lalu walaupun ketika kempen pilihan raya Presiden pada tahun 2020, Biden telah berjanji untuk meminggirkan putera mahkota tersebut berikutan kejadian pembunuhan wartawan Washington Post itu.
Bagaimanapun, berikutan pelan pelaksanaan Wawasan 2030 itu, wanita-wanita di negaranya dibenarkan memandu kenderaan, konsert-konsert dibenarkan diadakan, golongan Hawa dibenarkan menghadiri acara sukan awam dan konsert bersama lelaki serta mendapatkan pasport tanpa kebenaran penjaga lelaki.
Kerajaan juga telah menarik balik larangan awam ke atas pawagam dan menggalakkan acara bercampur jantina, sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca