SHAH ALAM - Kerajaan tidak boleh memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) semata-mata untuk menambah hasil kerajaan sebaliknya perlu menilai semula keutamaan perbelanjaan secara menyeluruh.
Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, GST tidak boleh diperkenalkan semata-mata untuk menyelesaikan masalah hasil kerajaan dan perlu disertakan dengan program jaringan keselamatan sosial yang membantu mereka yang memerlukan.
"GST adalah berdasarkan transaksi dan terpakai untuk semua pihak termasuk golongan berpendapatan rendah. Masalah dengan pelaksanaan GST terdahulu adalah ia memberi kesan kepada peniaga kecil yang mana semua perniagaan yang mengutip GST dan rebat akan dibayar balik kemudian.
"Jika mereka membayar balik lewat, aliran tunai peniaga terjejas. Oleh itu, sekiranya kerajaan ingin menambah hasil, mereka haruslah menunjukkan kesungguhan dari segi kawalan perbelanjaan. Potong kos dan tangguh projek mega yang mencecah bilion ringgit,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, jika GST dikembalikan, hasil pendapatan negara akan bertambah dan pinjaman berkurang tetapi masih tidak mencukupi dan bajet sentiasa defisit.
"GST menambah hasil kerajaan yang sememangnya tidak cukup menampung perbelanjaan. Oleh itu, bajet sentiasa defisit dan negara terpaksa berhutang. Sekiranya kerajaan tetap mahu berbelanja tetapi tidak menambahkan hasil pendapatan, hutang akan tetap bertambah dan nilai ringgit akan jatuh.
"Isunya adalah sama ada kerajaan mahu menaikkan kadar SST atau mengembalikan GST, ia haruslah dilakukan secara menyeluruh dengan mengurangkan kos perbelanjaan, susun semula keutamaan perbelanjaan dan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang berpatutan," katanya.
Jelas Nungsari, GST lebih baik dari segi hasil pada kadar yang sama dengan SST dan lebih luas rangkumannya tetapi perlu ada program membantu golongan miskin yang membayar cukai GST sekiranya ia kembali dilaksanakan.
"Pada saya, kedua-dua sistem cukai memerlukan pelaksanaan yang cekap dan jangan kerap bertukar-tukar. GST bagus kerana ia merangkumi keseluruhan ekonomi namun perlu diselarikan dengan program jaringan keselamatan sosial untuk membantu mereka yang berkeperluan.
"Jika GST mahu dilaksanakan, kerajaan perlu mempertimbangkan cukai-cukai lain seperti cukai modal dan bukan sekadar cukai berdasarkan penggunaan,” katanya.
Pada pendapat Nungsari, kedua-dua cukai perkhidmatan tidak dapat menurunkan harga barang walaupun ruang lingkup GST lebih luas berbanding SST.
"Cukai mana pun tidak akan dapat mengurangkan harga barang malah ia akan meningkatkan kos transaksi dan kos jual beli. Namun, ruang lingkup GST lebih luas daripada SST biarpun kadarnya hampir sama seperti SST.
"Sekarang ini, SST lebih kurang RM27 bilion. Sekiranya GST dilaksanakan dengan kadar empat peratus, ia akan melebihi jumlah tersebut,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca