SHAH ALAM - Masih ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui tentang keperluan untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan paliatif bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik.
Pakar psikologi, Profesor Dr Ruhani Mat Min berkata, meskipun rawatan itu bukan bertujuan untuk menyembuhkan, namun sedikit sebanyak ia dapat memberi bantuan dari segi kaunseling dan psikologi bagi meringankan tekanan dihadapi pesakit.
Menurutnya, selain pesakit, insan terdekat dengan mereka seperti keluarga dan sahabat juga perlu diberi pendedahan tentang penjagaan paliatif.
"Secara umumnya, semua pihak akan terlibat dalam penjagaan paliatif kerana kita semua ialah anak, ibu dan bapa kepada seseorang.
"Dalam situasi tersebut, mereka akan turut sama diajar bagaimana merawat, memahami emosi, berkomunikasi dan menguruskan pesakit ketika di rumah.
"Jadi, perlunya ada bahan dan informasi yang disampaikan secara berkala kerana dalam keadaan sekarang, maklumat tentang rawatan paliatif amat kurang,” katanya.
Ujar Ruhani, kurang kajian tentang kepentingan dan manfaat rawatan tersebut menjadi salah satu faktor penyebab masyarakat tidak mendapat maklumat meluas mengenai perkara tersebut.
Justeru katanya, satu badan bebas melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), universiti dan orang awam perlu ditubuhkan untuk menjalankan kajian berhubung penjagaan paliatif.
"Input berkaitan keperluan dan kesedaran mengenai (rawatan) ini masih kurang, sebab itu masyarakat keseluruhannya perlu dididik.
"Ini supaya kita semua juga boleh mendapat satu gambaran menyeluruh bagaimana tahap kesedaran orang ramai berhubung rawatan ini,” tambahnya.
APA ITU PENJAGAAN PALIATIF?
- Penjagaan paliatif merupakan salah satu perkhidmatan yang menumpukan kepada peningkatan kualiti hidup di kalangan pesakit yang berhadapan dengan penyakit yang mengancam nyawa.
- Bidang penjagaan paliatif telah dibangunkan sejak awal 1990-an dan perubatan paliatif telah diiktiraf di Malaysia sejak tahun 2005 lagi.
- Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penjagaan paliatif adalah pendekatan perubatan bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka yang berdepan penyakit mengancam nyawa dengan mengatasi dan mengurangkan penderitaan, sama ada melalui rawatan fizikal, psikososial dan spiritual.
- Rawatan fizikal tertumpu pada mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan dialami pesakit di samping merawat simptom lain yang dialami pesakit.
- Manakala pendekatan psikososial adalah bagi pesakit, keluarga dan rakan rapat yang berdepan tekanan atau kesukaran menerima hakikat menghidap kanser, manakala spiritual menerusi pendekatan rohani mengikut kepercayaan dan agama seseorang itu.
- Di Malaysia, tidak ramai tahu mengenai perkhidmatan penjagaan paliatif, yang mula diiktiraf sebagai sebahagian bidang kepakaran perubatan selepas 2010, dan hanya memiliki 21 pakar di seluruh Malaysia (2019).
- Kebanyakan pakar perubatan paliatif berkhidmat di hospital kerajaan dan hospital universiti, manakala hanya tiga pusat perubatan swasta menawarkan perkhidmatan berkaitan.
Klik di sini untuk terus membaca