SHAH ALAM - Selepas mengetahui tiada rawatan lain untuk merawat kanser otak yang dihidapi anak perempuan sejak dua tahun lalu, pihak keluarga membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan paliatif. Ibu pesakit, Noor Shahirah Mohd Fuzi, 26,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas mengetahui tiada rawatan lain untuk merawat kanser otak yang dihidapi anak perempuan sejak dua tahun lalu, pihak keluarga membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan paliatif.

Ibu pesakit, Noor Shahirah Mohd Fuzi, 26, berkata, dia bersetuju untuk mengambil rawatan itu pada Ogos lalu kerana mahu melihat anak sulungnya, Nur Umairah Abdul Rahman, 8, kembali sihat.

"Anak saya dikesan hidap kanser otak ketika berusia enam tahun dan pada 2 Ogos lalu, doktor sudah mengesahkan tidak ada rawatan lagi untuk Nur Umairah.

"Saya tahu pasal rawatan paliatif daripada sebuah keluarga kepada pesakit kanser yang berada dalam wad yang sama dengan anak di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah sebeum buat keputusan.

"Jadi, untuk kebaikan dan yang terbaik, saya setuju untuk rawatan ini,” katanya kepada Sinar Harian.Ujar suri rumah itu, dia melihat terdapat perubahan pada diri anaknya selepas sebulan menerima rawatan berkenaan.

Menurutnya, melalui rawatan itu, dia akan membawa Nur Umairah ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan sokongan dari aspek psikologi dan kerohanian.

"Alhamdulilah, sebelum ini tangan dia akan selalu kejang. Sekarang, tidak ada lagi. Pihak hospital juga selalu hubungi bertanyakan keadaan kesihatan anak," katanya.

Tambah Noor Shahirah, dia memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung perbelanjaan susu untuk anaknya itu dengan pendapatan suami tidak menentu yang mengambil upah kerja di sawah padi.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 02995-41-10031725-3.

Penuhi hasrat pesakit nikah di hospital

Bagi pegawai perubatan paliatif, tidak ada perkara lebih penting selain daripada memenuhi setiap keperluan dan permintaan pesakit agar mereka boleh menjalani saat akhir kehidupannya dengan bahagia.

Pakar Perunding Paliatif Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Sheriza Izwa Zainuddin berkata, dalam memberikan rawatan tersebut, hasrat pesakit akan sentiasa diutamakan termasuk mengenai pilihan keadaan bagaimana pesakit itu mahu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

"Ia bukan mengenai hasrat yang kami (pegawai perubatan paliatif) nak, tapi bagaimana kami harus pastikan hasrat pesakit itu dipenuhi di samping sokongan daripada ahli keluarga," katanya.

Dr Sheriza yang sudah berkhidmat memberikan rawatan paliatif sejak tahun 2012 menerima pelbagai permintaan akhir daripada pesakit, di samping memberikan rawatan perubatan kepada kumpulan tersebut.

Antara permintaan paling diingati beliau adalah hasrat seorang pesakit kanser wanita berusia 30-an yang mahu melangsungkan pernikahan bersama tunangnya sebelum dia meninggal dunia.

"Pasangan ini memang dah buat perancangan untuk berkahwin. Tapi sebab wanita itu tiba-tiba dimaklumkan menghidap kanser, dan perlu sentiasa berada di wad untuk dapatkan rawatan, jadi rancangan itu tergendala.

"Bila dah berada di dalam wad, tentunya keadaan pesakit makin merosot dan kita pun maklumkan keadaannya mungkin akan bertambah teruk dan masa yang dia ada juga semakin singkat.

"Jadi bila dah dalam keadaan macam itu, dia pun tanya boleh ke kalau kalau dia nak tunaikan satu permintaan terakhir sebelum meninggal dunia iaitu untuk bernikah,” ujarnya menyingkap kembali kisah yang berlaku kira-kira tujuh tahun lalu itu.

Menurut Dr Sheriza, selepas mendapat persetujuan daripada bakal suami wanita itu, beliau bersama pihak hospital terus melaksanakan persediaan majlis pernikahan yang diadakan di wad Pusat Perubatan Universiti Malaya dalam tempoh 48 jam dengan dihadiri keluarga terdekat.

Kongsi beliau, pesakit wanita itu meninggal dunia kira-kira dua minggu selepas pernikahan itu dilangsungkan.

Dr Sheriza

Dalam pada itu, Dr Sheriza berkata, selain membantu dari segi emosi, rawatan paliatif turut merangkumi penjagaan daripada segi fizikal, psikososial dan spiritual bagi membolehkan pesakit menjalani saat akhir kehidupan mereka dengan kualiti terbaik.

Katanya, dari aspek fizikal, rawatan paliatif membabitkan usaha membantu pesakit mengawal simptom dan komplikasi dari penyakit dialami mereka atau kesan daripada rawatan diterima seperti kemoterapi serta radioterapi.

"Contohnya, seorang pesakit kanser lazimnya mengalami simptom dan komplikasi seperti kesakitan serta sesak nafas,” ujarnya.

Sementara itu sebuah badan amal yang menyediakan rawatan tersebut, Pusat Paliatif Rotary Pontian mengakui menerima permintaan tinggi daripada beberapa pihak termasuk waris bagi mendapatkan penjagaan paliatif.

Jururawat pusat berkenaan, Surianti Ahmad berkata, ketika ini seramai 30 pesakit berada di bawah penjagaan mereka di kediaman masing-masing.

"Kami menyediakan perkhidmatan ini sejak dua tahun lalu secara percuma dan setiap hari, saya akan pergi merawat tiga hingga empat pesakit terutama penghidap kanser.

"Masih ramai yang tidak mengetahui mengenai rawatan paliatif maka saya buka akaun Facebook supaya masyarakat lebih tahu,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca