DI Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian pada 14 September lalu, saya berucap tentang meningkatkan kebijaksanaan diplomasi.
Saya menyarankan supaya membaca tabiat dan perlakuan kuasa-kuasa besar serta perkembangan-perkembangan utama semasa (perubahan iklim akibat perbuatan manusia, kemajuan teknologi bermanfaat besar tetapi turut melibatkan isu-isu manusiawi dan arkitektur-arkitektur antarabangsa yang tidak adil) dengan kefahaman tinggi serta berhati-hati.
Ia supaya kita tidak tertipu dan terpedaya, supaya melakukan rundingan-rundingan dengan teliti dan supaya sekalipun adakala terpaksa menurut arus tetapi tidaklah pula seperti lembu dicucuk hidung.
Memanglah keterlibatan dalam arus tertentu atau menyertai perkumpulan dan perjanjian tertentu menjanjikan keuntungan, namun barang diingat, usahlah untung secupak rugi segantang, untungnya nampak ruginya di belakang.
Pengamatan dan penilaian kita haruslah berpaksikan realiti semasa serta senario kita inginkan, bukannya sekadar senario yang mungkin akan berlaku.
Adakala kita harus kreatif menggunakan prinsip-prinsip yang dipegang dengan syarat ia tidak sampai menggadaikan maruah. Contohnya, menyeimbangkan antara ‘berkecuali’ dengan ‘bekerjasama’ dan menggunakan indifference apabila non-interference tidak berkesan.
Dalam mendepani cabaran-cabaran tersebut, pendapat A C Grayling ada benarnya - Anything that CAN be done WILL be done if it brings profit to those who can do it.
Malaysia harus mengharunginya dan cuba mengelakkannya, dan sebaik-baiknya cuba menegakkan apa-apa yang lebih baik atau sekurang-kurangnya dengan memetik Grayling juga menunjukkan: What CAN be done will NOT be done if it brings costs, economic or otherwise, to those who can stop it.
Pihak kementerian mesti terus berbuat yang terbaik dalam perjuangan hubungan antarabangsa. Matlamat kita adalah menegakkan dunia yang bebas, aman dan saksama.
Ia soal rahmatan lil alamin yang memerlukan langkah-langkah amar makruf nahi mungkar dan fastabiqul khairat.
Kita percaya kepada multilateralisme dan perlumbaan yang sihat kerana ia menjanjikan lebih banyak manfaat. Sekiranya wujud perlumbaan, biarlah untuk kebaikan, bukannya untuk keburukan.
Dari satu segi, terdapat ‘3T’. Yang diingini ialah Trade dan Technology. Yang tidak diingini ialah Threats.
Kementerian juga perlu memperkasa kemampuan diplomatiknya. Salah satu pendekatannya adalah dengan mewujudkan pakar-pakar dalam bidang tertentu, contohnya perubahan iklim, teknologi, arkitektur antarabangsa, maritim, penghakupayaan wanita dan pelucutan senjata.
Dalam pada itu, ketua-ketua perwakilan Malaysia diharapkan menjadi pakar tentang negara dan rantau tempat mereka berkhidmat.
Dengan kepakaran, Kementerian Luar Negeri dapat menasihati kerajaan dengan lebih berkesan. Juga menjadikan diplomat kita yang terbaik di dunia sehingga kehadiran dan buah fikirannya dalam mana-mana mesyuarat serta inisiatif menjadi penentu kejayaan.
Ia supaya kita tidak tertipu dan terpedaya, supaya melakukan rundingan-rundingan dengan teliti.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd
Klik di sini untuk terus membaca