KEBELAKANGAN ini banyak berlaku rasa tidak menentu dalam kehidupan seharian kita. Menjelang musim monsun, rasa ketakutan kemungkinan banjir besar bakal melanda mencengkam perasaan rakyat Malaysia. Sebelum ini rakyat dimomokkan ketakutan... Klik di sini untuk terus membaca

KEBELAKANGAN ini banyak berlaku rasa tidak menentu dalam kehidupan seharian kita. Menjelang musim monsun, rasa ketakutan kemungkinan banjir besar bakal melanda mencengkam perasaan rakyat Malaysia.

Sebelum ini rakyat dimomokkan ketakutan pandemik Covid-19. Akhirnya menjelmalah terma WFH (work from home). Namun, kini istilah WFH tidak popular kerana majoriti pekerja di negara ini sudah kembali bekerja di pejabat.

Microsoft dalam satu analisis berdasarkan pandangan pelbagai pihak merumuskan WFH tidak lagi dianggap keutamaan kepada sektor awam dan swasta.

Malah, Microsoft menyifatkan WFH sebagai satu kerugian kerana tidak menyumbang secara signifikan kepada pekerjaan secara keseluruhan.

Editor Perniagaan British Broadcasting Corporation (BBC), Simon Jack minggu lalu mendedahkan laporan kajian Microsoft menyatakan majoriti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat utama dunia tidak lagi percaya dengan terma WFH.

Rata-rata percaya WFH tidak memberikan kesan besar kepada aspek produktiviti. Berdasarkan kajian lebih 20,000 pekerja di 11 negara, Microsoft percaya ramai lebih gemar kembali bekerja di pejabat.

CEO Microsoft, Satya Nadella menjelaskan, majikan kini bergelut dengan kemungkinan perubahan terbesar dalam corak kerja akibat pandemik dan bencana alam.

Microsoft percaya dunia sedang kekurangan pekerja mahir, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat (IT). Microsoft juga dikatakan sedang memantau corak pekerjaan lebih 70,000 pekerjanya terutama aspek ketegangan dalam kalangan jurutera IT.

Nadella seterusnya memberitahu BBC, ketegangan pekerjaan perlu diselesaikan secara ‘paranoia produktiviti’.

Menurut Microsoft, berlaku ‘putus hubungan sebenar’ jika WFH diteruskan dan usaha membentuk hubungan sosial baharu dalam kalangan pekerja boleh memberi kesan kepada produktiviti bagi jangkamasa panjang.

Sebelum ini pekerja Microsoft dibenarkan WFH sehingga 50 peratus daripada masa keseluruhan bekerja. Namun, senario itu menyebabkan sesetengah syarikat bergelut untuk mengenakan peraturan kerja dan jangkaan baharu.

Apple juga dikatakan telah mengerahkan staf kembali bekerja secara fizikal.

Bercerita tentang Apple, penulis gembira kerana usaha Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) untuk membentuk kerjasama erat dengan syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) itu telah membuahkan sedikit kejayaan.

Paling menarik, STDC telah membuka jalan dengan memulakan rundingan kerjasama bersama beberapa rakan teknikal Apple iaitu San Diego State University (SDSU), University of Nevada Reno (UNR), Massachusetts Institute of Technology (MIT), Mass General Brigham (MGB), Boston College (BC), Tufts University (TU) dan Harvard University (HU) di Boston serta Cambridge, Massachusetts.

Usaha STDC melakukan usaha merintis sudah pasti membuka jalan kepada syarikat lain di Malaysia. Penulis percaya usaha STDC pasti memberi impak kepada Selangor dan negara secara keseluruhan. Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) akan mendapat faedah terus daripada kerjasama dengan Apple.

Seperkara lagi yang penulis pelajari ketika di AS ialah bencana alam berlaku, sedangkan ramalan cuaca melaporkan sebaliknya.

Senario itu juga berlaku di Malaysia apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berdasarkan analisis model MetMalaysiaWeather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS) meramalkan tiupan angin barat bakal berlaku di negara ini.

Ia sebahagian daripada aktiviti Taufan Noru.

Kita sering mendengar Malaysia bebas bencana alam seperti gempa bumi dan taufan. Namun, kebelakangan ini banyak laporan meramalkan negara bakal terkesan akibat Taufan Noru.

Laporan CNN pada 26 September lalu misalnya, menyebut bakal berlaku garis badai kesan angin Noru, sekali gus menyebabkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang berlaku di negeri utara Semenanjung termasuk Kelantan serta Terengganu.

Satu hakikat yang penulis boleh rumuskan berdasarkan pengalaman lebih seminggu di AS ialah negara itu tidak mudah mengalah kepada tekanan bencana alam.

Mereka akan sentiasa kreatif dan inovatif untuk mencari jalan keluar bagi membolehkan syarikat sentiasa kekal berdaya saing.

Kesimpulannya, penulis percaya syarikat di Malaysia harus memberikan definisi baharu kepada WFH termasuk mengkaji kesan baik buruk sekiranya pandemik berulang pada masa depan, seperti bencana alam yang sentiasa datang dan pergi.

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca