SALAH satu wilayah kaya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Dubai yang terkenal dengan bangunan tertinggi di dunia, Burj al-khalifa memperkenalkan inisiatif pemberian roti secara percuma melalui mesin layan diri automatik sekali gus memberi manfaat kepada golongan miskin ketika inflasi tinggi melanda negara itu.
Mesin-mesin layan diri yang memberikan roti secara percuma di pasar raya-pasar raya itu diperkenalkan semasa kos hidup semakin tinggi dan harga pelbagai jenis barangan pengguna meningkat disebabkan trend global kesan daripada tindakan tentera Rusia menyerang Ukraine pada Februari lalu.
Ia merupakan sebahagian daripada wawasan pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum yang tidak mahu rakyatnya tidur dengan perut kosong.
Projek pemberian roti secara percuma itu dilancarkan menerusi Mohammed bin Rashid Global Centre for Endowment Consultancy (MBRGCEC) di bawah Yayasan Awqaf dan Hal Ehwal Golongan Nasib Tidak Baik (AMAF) baru-baru ini.
Sheikh Mohammed juga ialah Naib Presiden UAE dan Perdana Menteri negara tersebut.
Projek itu diwujudkan hasil kerjasama dengan pasar raya Aswaaq dan mesin layan diri tersebut ditempatkan di cawangan-cawangannya di dalam wilayah Dubai dengan matlamat menyediakan roti segar kepada golongan yang memerlukan.
Mesin itu sangat mesra pengguna dan mudah digunakan kerana sesiapa yang memerlukan roti, mereka boleh menekan butang tempahan tetapi perlu menunggu ia dimasak terlebih dahulu dan kemudian dikeluarkan secara automatik.
Para pengguna boleh memilih sama ada mahu mendapatkan roti pita atau roti panas gaya India atau roti untuk sandwic secara percuma namun orang ramai boleh menderma terus melalui mesin layan diri tersebut daripada 10 dirham UAE (RM12.65) hingga 500 dirham UAE (RM632.55).
Menurut angka kerajaan dari Pusat Statistik Dubai, indeks harga meningkat sebanyak 8.75 peratus pada Julai manakala kos pengangkutan telah melonjak lebih daripada 38 peratus di wilayah yang didiami lebih tiga juta orang itu.
Negara UAE yang kaya dengan minyak mempunyai populasi hampir 10 juta orang dengan 90 peratus daripadanya adalah warga asing dengan ramai buruh datang dari Asia terutamanya dari India, Bangladesh dan Pakistan serta Afrika.
Bagaimanapun, Henley and Partners iaitu sebuah syarikat perunding migrasi pelaburan yang berpangkalan di London menganggarkan terdapat lebih 68,000 jutawan dan 13 bilionair di Dubai sekali gus meletakkan ia sebagai bandar raya ke-23 terkaya di dunia.
WAKAF KOMUNITI
Bercakap mengenai inisiatif roti untuk semua itu, Setiausaha Agung AMAF, Ali Al-Mutawa dilaporkan berkata kepada media tempatan bahawa ia merupakan model teladan untuk wakaf komuniti inovatif yang membolehkan semua lapisan masyarakat mengambil bahagian selain mewujudkan gerakan amal secara menyeluruh.
Kenyataan itu terbukti benar apabila seorang ahli perniagaan UAE, Khalaf bin Ahmed Al Habtoor telah membeli 10 buah mesin layan diri itu yang menyediakan roti percuma untuk golongan memerlukan dengan kerjasama pusat membeli-belah di beberapa lokasi di Dubai.
Menurut Al Habtoor seperti dilaporkan media tempatan, inisiatif tersebut mengukuhkan kedudukan kemanusiaan UAE dan menyumbang kepada perpaduan semua lapisan masyarakat dan beliau turut berterima kasih kepada penganjur atas idea yang baik itu.
Golongan bawahan di negara itu tidak terlepas daripada menghadapi kesukaran hidup akibat kenaikan inflasi dan kenaikan harga barangan.
Sebagai tanda kesukaran hidup yang semakin meningkat yang dihadapi oleh para pekerja asing, mogok yang jarang berlaku telah terjadi pada bulan Mei lalu apabila penghantar-penghantar makanan menuntut gaji yang lebih baik dalam menghadapi kenaikan harga bahan api di UAE.
Justeru, pada Julai lalu, pihak berkuasa negara tersebut mengumumkan pertambahan bantuan sosial tetapi hanya untuk segelintir keluarga negara tersebut yang memperoleh pendapatan di bawah 25,000 dirham (RM31,627) sebulan kerana ia dianggap sebagai isi rumah yang kurang bernasib baik.
Bagaimanapun, program bantuan itu tidak termasuk warga asing di negara tersebut yang kebanyakannya bekerja sebagai buruh.
Dubai ialah pusat komersial UAE dan ia bergantung kepada para pekerja asing untuk membina bangunan-bangunan pencakar langit, membangunkan sektor perkhidmatan hartanah sehingga kepada bidang pelancongan mewah.
Seorang pekerja asing, Bigandar yang telah bekerja di UAE sejak tiga tahun lalu berkata untuk setiap kenderaan yang dibersihkannya termasuk dicuci, dia memperoleh upah tiga dirham (RM3.79) dan jika bekerja keras dan dengan upah tambahan daripada pelanggan-pelanggan, pendaptannya akan meningkat antara 700 dirham (RM883) hingga 1,000 dirham (RM1,262) sebulan.
Sehubungan itu, lelaki yang berasal dari Nepal itu mendapat maklumat tentang mesin layan diri itu daripada rakannya menyebabkan dia juga mahu mendapatkan roti secara percuma.
"Oleh kerana inflasi dan kadar faedah yang meningkat, terdapat ramai orang yang mempunyai gaji rendah dan dengan peningkatan kos sara hidup, mereka tidak lagi dapat membeli semua barangan keperluan," kata Fadi Alrasheed iaitu seorang ahli perniagaan Jordan yang telah menetap di Dubai selama 20 tahun kepada AFP.
Sebelum ini, harga roti yang terlalu tinggi menyebabkan protes berlaku di beberapa buah negara seperti di Tunisia, Maghribi, Iran, Mesir, Jordan manakala Lubnan pernah menghadapi tunjuk perasaan besar-besaran bagi membantah harga barangan keperluan yang meningkat tinggi.
Ini adalah kerana roti ialah makanan utama penduduk Timur Tengah menyebabkan kenaikan harga yang terlalu tinggi akan mengakibatkan berlakunya protes besar-besaran sebagai cara untuk menyatakan ketidakpuasan hati penduduk terhadap kegagalan kerajaan mengawal harganya. – Agensi
Klik di sini untuk terus membaca