SHAH ALAM - Kerajaan dituntut memberikan penjelasan secara terperinci mengenai status sebenar permohonan Malaysia membatalkan Final Award berhubung pembayaran anugerah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu terakhir yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan dituntut memberikan penjelasan secara terperinci mengenai status sebenar permohonan Malaysia membatalkan Final Award berhubung pembayaran anugerah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu terakhir yang dibuat di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis pada 3 Mac lalu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kerajaan terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar perlu berbuat demikian kerana sehingga kini seluruh rakyat Malaysia rakyat masih tertanya-tanya mengenai status kes terbabit.

Malah, Haniff Khatri berkata, beliau pelik biarpun hampir tujuh bulan berlalu namun sehingga kini kerajaan belum memaklumkan sebarang perkembangan prosiding atau keputusan tuntutan Malaysia berkenaan kepada umum.

"Rakyat mesti tahu (kedudukan kes permohonan pembatalan Final Award) dan tidak memadai dengan kenyataan Wan Junaidi yang menegaskan Malaysia akan mempertahankan kedaulatan dan asetnya di luar negara. Takkan sampai sekarang Malaysia belum mendapat tarikh untuk perbicaraan atau apa-apa keputusan?

"Kita sudah jemu dengan kenyataan retorik seperti itu. Kalau semasa award dibuat pertama kali dibuat di Luxembourg pada Februari lalu kita boleh faham kerana ia adalah pertama kali tetapi ini adalah kes tuntutan kedua di Belanda. Jadi rakyat mahu tahu apakah kedudukan rayuan Malaysia di mahkamah timbang tara di Perancis untuk membatal award tersebut yang dikatakan sudah difailkan pada bulan Julai lalu.

"Yang kedua Wan Junaidi juga menyatakan kononnya untuk menangani tindakan terbabit kerajaan sudah memulakan strategi yang proaktif untuk menghalang dan mengetepikan cubaan merampas urusan aset Malaysia di luar negara. Persoalannya bilakan ia dimulakan dan sedangkan sudah ada tindakan membatalkan award berkenaan yang sudah difailkan di Mahkamah Rayuan Perancis.

"Apa keputusanya rakyat Malaysia mahu tahu. Jangan membuat kenyataan yang bunyinya gah tetapi tidak memberi apa-apa makna dan kesan... tiada nilai, tidak guna," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

MOHAMED HANIFF KHATRI - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Wan Junaidi yang kerajaan Malaysia telah memulakan strategi global yang proaktif untuk menghalang dan mengetepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Tindakan itu adalah susulan laporan waris Kesultanan Sulu telah mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (Final Award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia di sana, termasuk rangkaian aset milik Petronas.

Wan Junaidi dalam kenyataan, pada Jumaat, berkata, Malaysia akan meneruskan prosiding mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengetepikan dan membatalkan perintah berkaitan serta yakin penyelesaian prosiding mahkamah itu akan menyebelahi Malaysia.

NOTA DIPLOMATIK MALAYSIA

Sementara itu, Haniff Khatri juga mempersoalkan mengenai terdapat laporan mengatakan Malaysia sudah menghantar nota diplomatik ke semua 168 negara yang menandatangani Konvensyen New York 1958.

"Persoalannya bila dihantar? Jika sudah dihantar kenapa ada pula tuntutan dibuat waris Kesultanan Sulu yang sudah didaftarkan di Belanda. Ini semua adalah perkara dan fakta yang rakyat Malaysia mahu tahu.

"Rakyat dan syarikat negara seperti Petronas, Sime Darby dan banyak lagi yang mempunyai aset di luar negara memerlukan keyakinan bahawa kerajaan Malaysia serius mahu memerlihara aset milik rakyat di luar negara berpandukan kepada konsep kedaulatan undang-undang antarabangsa.

"Saya tidak boleh menerima kenyataan Wan Junaidi yang dilaporkan menjawab secara muktamad persoalan berkenaan. Kita tidak boleh terima lagi apabila setiap minggu atau bulan mesti terdapat tuntutan baharu dikemukakan oleh waris Kesultanan Sulu.

"Selagi award berkenaan masih belum dibatalkan secara muktamad maka saya tidak boleh terima kenyataan Wan Junaidi yang dikatakan mempunyai pengetahuan dan latar belakang selaku perundangan," katanya.

DR WAN JUNAIDI Wan

Haniff Khatri menegaskan biarpun award dibuat oleh penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa sebelum ini adalah tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa namun Malaysia tetap perlu meneruskan permohonan pembatalan keputusan berkenaan.

"Apabila ia tidak sah, langkah pertama dan wajid dibuat kerajaan Malaysia adalah untuk mengemukakan permohonan kepada mahkamah antarabangsa untuk membatalkannya. Tetapi persoalannya jika ia sudah difailkan apa status pendengaran dan keputusannya. Tak kan dalam tempoh tujuh bulan dari Januari hingga September 2022 kita masih tidak mengetahui status dan keputusan kes terbabit.

"Perkara itu perlu selesaikan terlebih dahulu, kemudian kalau Malaysia mahu mengadakan perbincangan dengan waris Kesultanan Sulu itu persoalan kedua. Selagi Malaysia tidak membuat permohonan untuk membatalkan award berkenaan kita tidak mempunyai sebarang kelebihan untuk rundingan dan menyelesaikan pertikaian berkenaan.

"Kalau kita berunding pun tiada makna kerana peguam waris Kesultanan Sulu berkenaan akan pergi ke serata dunia dari Luxemberg ke Belanda kemudian ke Madagascar saya tak tahu... tak kan kita mahu ligan ke mana mereka pergi.

"Perkara itu wajid diselesai secepat mungkin pada masa itu secara jujurnya bukan hanya saya orang lain pun tertanya-tanya kerana saya sudah menyatakan bahawa ada caranya untuk menghalang mereka," katanya.

Dalam pada itu, Haniff Khatri berkata Wisma Putra juga perlu menghubungi semua pesuruhjaya tinggi dan pejabat kedutaan di lebih 160 negara menandatangan Konvensyen New York untuk memaklumkan kepada sistem kehakiman di negara berkenaan mengenai bantahan Malaysia terhadap kes terbabit.

Klik di sini untuk terus membaca