TEMERLOH - Kesukaran mendapatkan bekalan telur di pasaran di daerah ini didakwa berlaku sejak bulan ini.
Seorang peniaga kedai runcit, Samsurida Abdullah, 62, memberitahu, dia hanya mendapat separuh iaitu 300 biji telur berbanding 600 biji sebelum ini daripada pembekal.
Menurutnya, bekalan itu hanya diperoleh untuk tempoh tiga hari dalam seminggu menyebabkan telur di premisnya tidak mencukupi untuk keperluan pelanggan.
"Memang ada pelanggan yang merungut tapi saya tak dapat nak buat apa kerana tidak dapat banyak bekalan telur sekarang ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Seorang peniaga kedai makan, Mohamad Juhan Ali, 53, pula mendakwa, situasi kali ini lebih perit buat peniaga sepertinya untuk mendapatkan telur.
"Sepanjang tempoh 25 tahun, kali ini memang sukar, kena pergi banyak premis sampai ke Jerantut semata-mata nak dapatkan telur.
"Kalau ada pun, telur yang dijual dengan harga lebih mahal iaitu RM18 sepapan untuk gred A," kata Juhan.
Seorang suri rumah, Ifah Abdul Ghani, 55, juga mendakwa sukar mendapatkan telur dan merungut kerana harga lebih mahal berbanding sebelum ini.
"Pening juga dibuatnya, sekejap mudah dapat sekejap payah tapi walaupun tidak guna banyak seperti peniaga," ujar Ifah.
Tinjauan ke beberapa buah pasar raya di sini juga mendapati rak yang menempatkan telur kosong.
Seorang penyelia sebuah pasar raya yang enggan dikenali memberitahu mereka juga mendapat bekalan telur separuh berbanding kebiasaan menyebabkan ia cepat habis kerana menjadi tumpuan pengguna.
Cari pembekal di luar daerah
Sementara itu, pemilik Kopitiam Galoq di Wakaf Bharu, Juwaidah Md Haid, 46, tidak menafikan kesukaran mendapatkan telur sejak minggu lalu.
Menurut Juwaidah, kesukaran mendapatkan bahan mentah itu berlaku sejak minggu lalu menyebabkan pekerjanya terpaksa mencari melalui beberapa pembekal di luar Wakaf Bharu.
"Kami memerlukan lebih 500 biji telur untuk menu harian yang menjadi kegemaran pelanggan termasuk roti galoq, roti goyang dan menu istimewa lain,” katanya pada Jumaat.
Juwaidah yang sudah empat tahun membuka kopitiam itu memberitahu, mereka kini tidak boleh berharap kepada satu pembekal sahaja dan perlu mencari dengan beberapa pembekal lain.
"Harga juga antara masalah tetapi kami terpaksa hadapinya kerana banyak menu berasaskan telur disediakan di sini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca