RAMAI tertanya-tanya bagaimanakah kaum Cina di Malaysia mengambil pendirian dalam isu-isu berkaitan dengan politik dan sosioekonomi secara kolektif.
Yang jelas, persepsi politik kaum Cina adalah unik dan berlainan dengan majoriti di Malaysia.
Pendirian politik kaum Cina Malaysia kebelakangan dekad ini lebih cenderung untuk memihak kepada pembangkang Persekutuan tanpa mengira mana-mana parti memerintah sebagai kerajaan.
Sejak tahun 2008, ketika Barisan Nasional (BN) mengalami ‘tsunami politik’ di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Terengganu, sokongan kaum Cina secara kolektif terhadap BN semakin berkurangan sehinggalah kejatuhan BN pada 2018.
Harapan kaum Cina di Malaysia hari ini terhadap ahli-ahli politik adalah kebebasan rasuah.
Dalam persepsi majoriti kaum Cina, gejala rasuah adalah berleluasa dalam kalangan pemimpin BN.
Dengan berita-berita tanpa sekatan di media sosial, tambahan pula dalam bahasa Mandarin yang lazimnya hanya difahami ‘se-kaum’, kebencian terhadap gejala rasuah BN berlanjutan sehingga tahun 2018.
Namun, setelah 22 bulan negara dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH), terdapat penambahbaikan sokongan kepada BN oleh kaum Cina.
Ia dapat dilihat melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Johor pada Disember 2019, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada hujung 2021 dan PRN Johor pada Mac 2022.
Antara faktor utama adalah unsur-unsur perkauman. Kaum Cina terasa terpinggir dalam polisi-polisi yang lebih memihak kepada kaum lain.
Contohnya, peruntukan untuk sekolah vernakular, pengagihan biasiswa dan sebagainya.
Tidak senang bagi mana-mana parti politik untuk memenuhi hasrat kaum Cina termasuk PH.
Isu pengurangan peruntukan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dan kewajipan untuk mempelajari seni khat serta jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) antara sebab kaum Cina kurang senang dengan PH.
Kesukaran pihak kerajaan untuk memenuhi hasrat kaum Cina yang biasanya bercanggah dengan kehendak majoriti kaum Melayu, contohnya kesamarataan hak, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan peruntukan untuk sekolah vernakular telah mendorong mereka memihak kepada pembangkang.
MCA, Gerakan dan DAP terbukti gagal menawan hati kaum Cina sewaktu mereka berada di barisan kerajaan.
Adalah lebih senang untuk ‘meluahkan’ perasaan kaum Cina sebagai pembangkang kerana tidak perlu untuk melaksanakan apa-apa, melainkan melalui ‘suara’ sahaja.
Sebenarnya, sentimen sebegitu adalah luar biasa antara populasi keturunan Cina yang menetap di luar kawasan Greater China.
Generasi-generasi selepas generasi imigran akan diasimilasikan ke dalam kebudayaan negara tersebut termasuk bahasa ibunda, gaya hidup, cara pemakaian dan sebagainya.
Contohnya, kaum Cina di Singapura, Thailand dan Indonesia. Singapura mempunyai nisbah populasi kaum Cina paling tinggi di Asia Tenggara, manakala Thailand dan Indonesia juga mempunyai jumlah populasi kaum Cina yang tinggi.
Tetapi negara-negara tersebut tiada sistem vernakular Cina seperti di Malaysia.
Bukan itu sahaja, kebanyakan kaum Cina di Singapura, Thailand dan Indonesia menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama mereka iaitu bahasa Inggeris, bahasa Thai serta bahasa Indonesia.
Gaya hidup, kebudayaan dan hubungan antara kaum di Malaysia memberikan iktibar kepada kaum Cina untuk mengharapkan apa yang tidak dapat dibayangkan oleh kaum Cina di negara lain.
Maka, sesiapa yang menjadi kerajaan Persekutuan akan mendapati betapa susahnya untuk memenuhi kehendak-kehendak seumpama itu tanpa mengundang kemarahan majoriti rakyat.
Pendek kata, jika mana-mana parti politik inginkan sokongan kaum Cina secara kolektif, jadilah ‘pembangkang’.
* Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina ialah seorang peguam dan pemerhati politik
Klik di sini untuk terus membaca