SHAH ALAM - Warga emas masih boleh menyumbang dengan bekerja dan seterusnya akan menyebabkan mereka sentiasa kekal aktif serta produktif.
Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Siti Anom Ahmad berkata, berbanding warga emas tidak bekerja dan melakukan apa-apa aktiviti, ia akan memberi kesan kepada kesihatan diri mereka.
"Kita dapati kalau warga emas ini tidak bekerja, duduk di rumah, tiada aktiviti aktif dan produktif, ia boleh menyebabkan kesihatan mental (pada mereka) seperti sunyi dan kemurungan.
"Ada banyak kes yang kita jumpa daripada kajian, apabila dia tidak berbuat apa-apa, proses (mereka) mendapat penyakit itu lagi cepat atau senang mendapat demensia,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Siti Anom berkata, walaupun warga emas ini mempunyai penyakit, ia juga tidak menghalang mereka terus menyumbang.
"Daripada keperluan hidup warga emas, mungkin ada sesetengah mereka memerlukan pendapatan,” katanya.
Jelasnya, faktor kewangan turut dilihat menyumbang kepada kualiti hidup yang baik terhadap warga emas.
"Tidak semestinya dia (perlu) bekerja di sektor pekerjaan formal. Kadangkala ada juga kita jumpa warga emas yang bekerja sebagai pemandu Grab.
"Apabila kita tanya kenapa bekerja, dia kata lagi suka dapat berjumpa orang. Itu semua menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih baik kepada warga emas,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penyelidik Khazanah Research Institute (KRI), Hawati Abdul Hamid pula berpandangan terdapat tiga faktor yang menyebabkan masih ramai warga emas bekerja walaupun usia sudah lanjut.
Katanya, faktor pertama ialah mereka bekerja kerana ingin terus kekal aktif dan menyumbang kepada masyarakat.
Jelasnya, ini dibuktikan dengan kajian dilakukan Social Wellbeing Research Centre (SRWC) yang mendapati 81.1 peratus mereka yang berusia 60 hingga 69 tahun, 69.1 peratus berusia 70 hingga 79 tahun dan 50.3 peratus berumur 80 tahun ke atas ingin terus bekerja selagi mampu.
Faktor kedua katanya, warga emas bekerja kerana desakan hidup dan kekangan kewangan.
"Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hanya empat peratus daripada pencarum KWSP mampu bersara dengan sekurang-kurangnya RM600,000 dalam simpanan.
"Jika kita lihat pencarum yang berusia 54 tahun, hanya separuh mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000, cukup untuk empat tahun jika mereka berbelanja sebanyak RM1,000 sebulan. Ini baru mengambil kira jumlah simpanan persaraan pencarum KWSP,” katanya.
Menurutnya, faktor ketiga ialah pekerjaan yang tidak berbayar seperti membantu perusahaan keluarga.
Sejuta pekerja tambahan jika galakkan warga emas bekerja
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, Malaysia dijangka mempunyai kira-kira sejuta pekerja tambahan jika kerajaan mewujudkan polisi menggalakkan warga emas bekerja dan majikan menggaji golongan berkenaan.
Katanya, walaupun warga emas mungkin mempunyai daya fizikal yang makin berkurangan tetapi ia akan dapat diimbangi dengan pengalaman dan kemahiran bekerja lebih tinggi.
Menurutnya, dengan masalah kekurangan pekerja dihadapi oleh majikan pada masa ini, penggajian warga emas adalah suatu alternatif yang perlu diberi perhatian serius untuk mengisi kekosongan jawatan sedia ada.
"Setiap tahun kira-kira 200,000 pekerja sektor swasta bersara wajib apabila mencapai umur 60 tahun.
"Jika Malaysia mewujudkan polisi menggalakkan warga emas bekerja dan majikan juga digalakkan menggajikan mereka yang berumur 60 tahun dan lebih, warga emas akan menjadi sumber bekalan tenaga manusia penting.
"Malah, warga emas akan berupaya membekalkan kira-kira sejuta pekerja tambahan jika polisi diwujudkan untuk menggalakkan mereka terus bekerja sehingga 65 tahun,” katanya.
Syed Hussain menambah, kebiasaannya majikan akan menawarkan pekerjaan kepada warga emas berdasarkan rekod perkhidmatan, kesihatan dan disiplin.
Jelasnya, jika warga emas berkenaan tidak mempunyai masalah, majikan tidak akan teragak-agak menawarkan pekerjaan kepada mereka.
"Majikan yang ingin mengambil pekerja warga emas dan mereka dalam kalangan warga emas perlu meneliti beberapa perkara antaranya mengkaji peluang pekerjaan yang berpotensi sama ada sepenuh masa atau sambilan.
"Selain itu, pertimbangkan pekerjaan yang tidak sesuai dan kurang diingini serta menetapkan apa diharapkan daripada pekerjaan.
"Beri juga masa mencukupi kepada pekerja dan majikan untuk menetapkan gaji yang sesuai berdasarkan sumbangan warga emas berkenaan serta menyediakan persekitaran lebih fleksibel,” katanya.
Ujar beliau, bagi menggalakkan majikan menggajikan pekerja warga emas, kerajaan juga harus memberi insentif cukai seperti potongan cukai berganda.
Pada masa sama, warga emas yang bekerja perlu diberikan pelepasan cukai pendapatan sewajarnya.
Klik di sini untuk terus membaca