KOTA BHARU - Selepas 17 hari kes kehilangan ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang diculik oleh sekumpulan lelaki berjaya diselamatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis.
Kisah penculikan mangsa yang berusia 36 tahun itu dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah yang turut melibatkan suami Rosnazirah.
Polis juga sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun berkait kes penyeludupan dadah.
Suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi lelaki mempunyai tujuh rekod jenayah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Rosnazirah yang kini berada di Kuala Lumpur dalam keadaan baik dan akan dibawa pulang ke Kelantan.
"Tiada sebarang bayaran dibuat sepanjang kehilangannya dan saya turut berterima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang bekerja keras untuk kes ini.
"Terima kasih juga kepada masyarakat kerana memahami isu ini dengan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh merencatkan siasatan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Jumaat.
Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Rosnazirah telah diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat serta perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.
Katanya, tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes itu dan mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961.
Turut dirampas sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk menculik mangsa.
Dalam kejadian pada 13 September lepas, mangsa diculik oleh beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada jam 5.10 petang.
Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat berikutan penemuan kereta yang digunakan suspek.
Siasatan polis terhadap nombor kenderaan Toyota Vios yang digunakan suspek juga adalah nombor pendaftaran palsu.
Pada 15 September lalu, Polis Thailand bertindak menyerbu sebuah rumah di pinggir Sungai Golok di Tak Bai dalam wilayah Narathiwat dalam usaha mengesan Rosnazirah.
Serbuan berkenaan dibuat susulan maklumat yang diperoleh bahawa kediaman itu dihuni salah seorang suspek.
Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan, kediaman tersebut kosong.
Kronologi Usahawan Kosmetik Diculik
13 September
- Rosnazirah Mohd Naim dipercayai diculik dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Palekbang, Tumpat.
- Mangsa didakwa dilarikan empat lelaki dengan menggunakan kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.
14 September
- Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan wanita berkenaan.
15 September
- Polis mendedahkan kes penculikan Rosnazirah mempunyai kaitan dengan sindiket dadah.
- Polis menahan suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan bersama dua individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.
16 September
- Polis Thailand melancarkan operasi bagi mengesan ejen jualan kosmetik itu.
- Sumber pihak berkuasa Thailand memaklumkan pihaknya turut membuat serbuan di sebuah rumah di pinggir Sungai Golok atau Tak Bai.
- Keluarga mangsa culik meminta rakyat Malaysia mendoakan keselamatan wanita itu, selain mengharapkan supaya menghentikan segala tohmahan.
17 September
- Anak perempuan mangsa masih trauma dan kerap terbayang kejadian ibunya yang diculik di depan mata sendiri.
- Bapa saudaranya yang berusia 25 tahun berkata, remaja berusia 13 tahun itu sering menangis teringatkan kejadian menimpa ibunya.
18 September
- Rosnazirah yang didakwa dilarikan sekumpulan lelaki ke Thailand, berkemungkinan sudah dibawa lebih jauh hingga ke Bangkok ataupun sempadan Thailand-Myanmar.
- Menurut sumber pihak berkuasa Thailand, pasukan polis negara jiran itu tidak menolak kemungkinan berkenaan dan giat meneruskan operasi 24 jam untuk mengesan wanita berusia 36 tahun itu.
- Katanya, pencarian itu dilakukan di banyak premis termasuk chalet dan resort di sekitar Narathiwat yang dikenal pasti berpotensi dijadikan tempat persembunyian oleh suspek.
20 September
- Memasuki hari kesembilan kehilangan Rosnazirah, polis Thailand masih meneruskan operasi mencari walaupun tidak menemui sebarang petunjuk baharu.
- Menurut sumber, risikan masih dijalankan dengan susulan serbuan di semua lokasi yang dirasakan ada kaitan dengan kes tersebut.
- Keluarga Rosnazirah masih berharap kejaiban agar wanita itu ditemui dalam keadaan selamat susulan kehilangannya sejak lapan hari lalu masih belum menemui petunjuk.
- Adik wanita itu yang berusia 25 tahun berkata, keluarga besarnya tidak berhenti melakukan solat hajat dan berharap kakaknya pulang dengan selamat.
23 September
- Hasil siasatan kes penculikan seorang ejen kosmetik di Tumpat setakat ini menunjukkan perkembangan positif.
- Perkara itu dikongsikan Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, namun tidak mendedahkan secara lebih lanjut berhubung perkembangan positif siasatan membabitkan mangsa culik, Rosnazirah.
- Menurutnya, Polis Kelantan terus berhubung dengan pihak berkuasa Thailand.
29 September
- Rosnazirah yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.
- Lokasi kedudukan mangsa berusia 36 tahun itu berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Klik di sini untuk terus membaca