MATA wang dolar Amerika Syarikat (AS) telah mengalami lonjakan besar berbanding dengan sejumlah mata wang utama dunia sejak tahun lalu dan ia tidak pernah dilihat dalam tempoh 20 tahun lalu malah ia dijangkakan akan menjadi lebih kukuh... Klik di sini untuk terus membaca

MATA wang dolar Amerika Syarikat (AS) telah mengalami lonjakan besar berbanding dengan sejumlah mata wang utama dunia sejak tahun lalu dan ia tidak pernah dilihat dalam tempoh 20 tahun lalu malah ia dijangkakan akan menjadi lebih kukuh lagi.

Baru-baru ini, mata wang pound sterling mencapai rekod yang terendah berbanding dolar AS selepas Canselor Perbendaraan baharu United Kingdom (UK), Kwasi Kwarteng mengumumkan pakej pemotongan cukai yang bertujuan untuk merangsang ekonomi negara.

Ia menjunam hampir lima peratus pada satu ketika kepada AS$1.03 (RM4.78) apabila kepercayaan terhadap pengurusan ekonomi dan aset UK semakin hilang walaupun selepas ia meningkat kembali kepada AS$1.05 (RM4.87) bagi setiap satu pound sterling sebelum ia kemudian merosot sebanyak tujuh peratus.

Nilai dolar AS yang sebegitu hampir dengan pound menimbulkan kebimbangan di UK dan menyebabkan Gabenor Bank of England, Andrew Bailey mengeluarkan kenyataan yang menyatakan pihaknya sedang memantau perkembangan dalam pasaran kewangan dengan sangat teliti.

Nilai mata wang dolar AS semakin kukuh sejak akhir-akhir ini. - Foto AFP

Namun, pada Jumaat lalu, nilai mata wang itu melonjak satu peratus berbanding dolar AS selepas data rasmi menunjukkan ekonomi UK tidak mengalami kemelesetan seperti yang dikhuatiri sebelum ini menyebabkan satu pound sterling bersamaan dengan AS$1.2 (RM5.56).

Tindakan Rusia yang menyerang Ukraine pada Februari lalu dan sehingga kini masih belum menemui jalan penamat telah membantu melonjakkan nilai dolar AS kerana para pelabur, syarikat-syarikat dan sejumlah negara lain kerap menyimpan mata wang itu dalam jumlah yang besar bagi menghadapi zaman huru-hara.

Namun, sebab utama bagi dolar AS menjadi kukuh ialah kerana perjuangan Rizab Persekutuan di negara Uncle Sam itu bagi menentang inflasi yang telah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun dengan menaikkan kadar faedah buat kali ketiga iaitu sebanyak 0.75 mata peratusan.

Ia menyebabkan kadar faedah pinjaman Rizab Persekutuan atau Bank Pusat AS itu berada pada kadar 3 hingga 3.25 peratus sekali gus meningkatkan semua kos daripada hutang kad kredit dan gadai janji sehingga kepada pembiayaan syarikat-syarikat.

Berikutan kekukuhan nilai mata wang itu, pembelian barangan dari luar AS seperti mengimport logam mentah dari China akan menjadi lebih murah dan penduduk negara tersebut mempunyai kuasa beli yang tinggi ketika membeli-belah di luar negara.

MAHAL

Bagaimanapun, berita buruknya ialah semua barangan buatan AS akan menjadi lebih mahal untuk dibeli sekali gus menyebabkan ia tidak mempunyai daya penarik kepada para pembeli kerana kadar mata wangnya yang tinggi.

Nilai dolar AS yang semakin kukuh menyebabkan harga makanan import, bahan api dan ubat-ubatan meningkat naik di Nigeria dan Somalia iaitu dua buah negara di Afrika yang dibimbangi akan menyebabkan berlakunya risiko kebuluran.

Kekukuhan dolar juga menyebabkan negara-negara seperti Argentina, Mesir dan Kenya hampir tidak mampu untuk membayar hutang.

Negara-negara miskin selalunya tidak mempunyai pilihan selain membayar balik pinjaman dalam dolar, tidak kira apa kadar pertukaran semasa peminjaman itu dibuat.

Nilai tinggi dolar AS itu juga menyebabkan negara-negara miskin terpaksa membayar balik pinjaman yang dibuat dalam mata wang tersebut tanpa mengambil kira berapakah kadar pertukaran semasa mula-mula membuat pinjaman.

Menurut akhbar New York Times, ekonomi AS adalah yang terbesar di dunia dan negara itu juga mempunyai simpanan minyak dan gas asli yang banyak menyebabkan pengaruhnya juga besar jika ia dikaitkan dengan isu kewangan dan perdagangan global.

Ini kerana dolar paling kerap digunakan oleh syarikat-syarikat multinasional dan institusi-institusi kewangan untuk menetapkan harga barangan dan menyelesaikan akaun manakala tenaga serta makanan cenderung dibeli termasuk dijual di pasaran dunia dengan menggunakan mata wang tersebut.

Kenaikan nilai dolar AS itu juga menyebabkan ribuan penunjuk perasaan baru-baru ini berhimpun bagi menyatakan kemarahan berikutan kenaikan harga minyak bersubsidi sehingga ada yang sanggup bertempur dengan anggota-anggota polis sedangkan ia dibuat bagi mengurangkan jumlah subsidi yang diberikan pemerintah.

Masalah kekurangan makanan bersubsisi seperti gula, kopi, tepung dan telur telah menyebabkan sejumlah kafe di Tunisia terpaksa ditutup hanya kerana kenaikan nilai dolar AS berbanding dengan mata wang tempatan.

Syarikat-syarikat swasta juga yang beroperasi di dalam pasaran yang baru muncul seperti Korea, Brazil dan Indonesia sejak sedekad lalu membuat sejumlah besar pinjaman dalam dolar AS kerana tertarik dengan kadar faedah yang kelihatan rendah.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Argentina, Filipina, Brazil, Indonesia, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Sweden, Switzerland, Arab Saudi, Britain dan Norway menaikkan kadar faedah pinjaman bagi menangani kadar inflansi di negara-negara masing-masing.

Justeru, buat masa ini, trend kenaikan dolar AS banyak memberi kesan bukan sahaja kepada negara-negara miskin, maju dan membangun tetapi juga kepada syarikat-syarikat yang berda di luar Amerika. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca