PADA Jumaat, berlangsung Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Ia menjadi tumpuan umum kerana melibatkan pertemuan kelompok ‘top 5’ UMNO yang diramal akan membincangkan pembubaran Parlimen, sekali gus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Agak menarik ia berlaku ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat cuba mengelak daripada melakukan PRU lebih awal dengan alasan mahu membincangkannya bersama kelompok ‘top 5’ sehingga menggunakan mesyuarat kabinet bagi tujuan tersebut.
Dengan kedudukan semasa yang semakin tidak menentu, pertemuan tersebut mungkin menjadi medan untuk memuktamadkan sesuatu, setidak-tidaknya menyentuh tentang PRU.
Selain tarikh PRU, isu berkaitan dana pilihan raya parti mungkin menjadi antara inti pati perbincangan.
Namun, perkara yang penting tetapi mungkin tidak disentuh dalam pertemuan tersebut ialah siapa bakal Perdana Menteri jika UMNO menang.
Walaupun UMNO sudah muktamad mengangkat Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ bagi PRU15, ia masih belum cukup menjamin beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri kalau UMNO menang.
Mungkin ia sengaja tidak dibincangkan. Pertama, sebarang konflik kepimpinan dan pertelagahan sesama sendiri akan merugikan parti ketika PRU semakin mendekat.
Kedua, semua pihak sedar bahawa jawatan Perdana Menteri masih tergantung kepada apa juga keputusan PRU15 kelak buat UMNO.
Tekanan jelas dilihat kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Jika UMNO kalah, sudah tentu hilang jawatan. Masalahnya, menang pun masih belum selamat.
Setakat ini ramai skeptikal, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bersetuju dengan hal itu biarpun beliau menyatakan sedemikian dalam program MIC di Bukit Jalil, dua minggu lalu.
Ia mungkin dilema antara siapa lebih perdana dan utama buat UMNO. Ismail Sabri mungkin dilihat lebih perdana, maka menjadi 'poster boy' UMNO memberi kelebihan untuk memikat undi kelompok atas pagar yang rasional dan terbuka.
Sekurang-kurangnya Ismail Sabri tidak banyak liabiliti dan isu untuk membunuh karakternya pada PRU, berbanding Ahmad Zahid.
Sebagai Perdana Menteri, beliau berjaya membuktikan beberapa perkara yang sebelumnya sukar dibayangkan.
Pertama, mengadakan persefahaman dan kerjasama bersama pembangkang.
Kedua, mengotakan janji untuk melakukan reformasi institusi terutama dengan penggubalan Akta Anti Lompat Parti dan dalam proses untuk menggubal Akta Dana Politik.
Pencapaian itu dilihat positif terutama bagi mereka yang neutral dan di atas pagar.
Dapatan Pusat Cerapan menerusi Penyelidikan Tinjauan (CISR), International Republican Institute (IRI) Mei lalu menunjukkan kabinet Ismail Sabri masih mencatatkan penarafan kelulusan (approval rating) yang baik dalam kalangan responden.
Cuma Ahmad Zahid lebih utama jika ikut resmi UMNO. Beliau ialah presiden parti.
Kredit untuk beliau kerana di sebalik kecaman, tekanan dan bebanan masih mampu memimpin UMNO sehingga ke tahap ini.
Suatu ketika UMNO dilihat hampir pupus dan tidak relevan setelah tewas mengejut pada PRU14.
Namun, siapa sangka pendekatan dan strategi beliau terutama selepas bekerjasama dengan Pas membuahkan hasil.
Sekarang beliau bukan sahaja popular dalam kalangan akar umbi, malah UMNO-BN kembali kuat dan ampuh.
Jika UMNO mahu undi akar umbi, maka Ahmad Zahid adalah orangnya.
Tetapi liabiliti beliau mungkin terhadap pengundi atas pagar. Jika Ahmad Zahid menjadi 'poster boy', pihak lawan akan menggunakan sepenuhnya isu-isu melingkari beliau sebagai modal membelasah UMNO.
Ia sesuatu yang menakutkan melihat bagaimana PRU14, pembunuhan karakter Datuk Seri Najib Tun Razak digunakan untuk membunuh keyakinan pengundi kelompok itu secara tidak langsung terhadap UMNO-BN.
Hubungan rapat Najib-Ahmad Zahid sudah tentu akan memberikan gambaran bahawa sekiranya UMNO-BN menang, kelompok kleptokrat akan kembali memerintah, maka perubahan diharapkan sebelumnya tidak berlaku dalam erti kata sebenar.
Ia sesuatu yang wajib dielakkan UMNO dalam konteks perang persepsi.
Maka, apa pilihan UMNO, yang perdana atau utama antara Ismail Sabri atau Ahmad Zahid?
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca