KISAH 4
KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas berazam untuk terus mengayuh beca selagi terdaya memandangkan ia satu-satunya sumber pendapatan yang ada untuk menampung kehidupan.
Pengayuh beca, Kassim Ismail, 66, berpengalaman mengayuh beca sejak 40 tahun lalu bermula pada 1982 di Pasar Payang, di sini.
Biarpun mempunyai lapan orang anak, Kassim tidak tergamak untuk bergantung harap kepada mereka disebabkan komitmen dan kos sara hidup tinggi yang perlu digalas oleh anak-anaknya.
"Saya ada ramai anak, lapan orang. Ada yang tinggal di Terengganu, ada yang duduk bekerja di Kuala Lumpur. Tetapi saya tak sampai hati minta duit pada anak-anak. Biarlah saya berusaha sendiri selagi terdaya.
"Anak-anak bukan tak beri duit, mereka selalu bagi. Tetapi ada masa tertentu kita juga kesuntukan wang ringgit," katanya yang kini menanggung seorang isteri, Kuntum Embong, 68.
Menurut Kassim, isterinya tidak bekerja disebabkan mengalami penyakit darah tinggi dan terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan pihak hospital.
"Sebelum ini Isteri saya kerja sebagai tukang sapu, namun disebabkan selalu berulang-alik ke hospital, dia tidak lagi boleh bekerja.
"Tambahan pula masalah penyakit yang dialaminya membataskan pergerakannya untuk aktif bekerja," katanya yang tinggal di Kampung Durian Burung, di sini.
Menurut Kassim, perjalanan dari rumahnya ke Pasar Payang mengambil masa kira-kira 45 minit.
"Saya biasanya akan keluar dari rumah jam 8 pagi dan sampai ke Pasar Payang hampir jam 9 pagi. Saya akan tunggu pelanggan menaiki beca sehingga tengah hari kerana selepas waktu itu biasanya sudah tiada lagi pelanggan," katanya.
Mengimbau pengalaman ketika mula-mula membawa beca, Kassim berkata, sambutan terhadap beca sebelum ini amat menggalakkan.
"Dulu ramai pelanggan dan harga ditawarkan hanya 30 sen bagi perjalanan sehala. Mereka tiada banyak pilihan pengangkutan dan memilih beca," katanya.
Katanya, dia kini menawarkan RM5 bagi setiap pelanggan bergantung kepada lokasi yang ingin dituju.
"Kalau pelanggan mahu ke lokasi yang agak jauh dan membawa bersama barang yang banyak saya terpaksa kenakan bayaran RM10.
"Sekarang nak dapat seorang pelanggan pun susah. Pernah juga saya pulang dengan tangan kosong. Rasa kecewa ada tetapi saya nekad untuk teruskan juga kerja ini," ujarnya.
KISAH 5
Di Ipoh, kesempitan hidup yang dilalui menyebabkan pasangan suami isteri warga emas sanggup berpanas dengan berniaga di tepi Jalan Menteri, Manjoi di sini, sejak tiga tahun lalu.
Zahariah Nawi, 66, bersama suaminya, Ahmad Termizi Ishak, 67, menjual petai, buah kuini, betik dan pisang demi meneruskan kehidupan.
Pasangan itu turut diuji dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu hinggakan hospital dan klinik menjadi rumah kedua buat mereka.
Menurut Zahariah, dia baru menjalani pembedahan akibat penyakit kencing manis sanggup menemani suaminya berniaga bagi mencari sesuap nasi.
"Suaminya pula menghidap paru-paru berair sejak 2015. Disebabkan tidak boleh bekerja berat jadi kami cuba berniaga kecil-kecilan dengan berjual di tepi jalan ini.
"Seawal jam 9 pagi kami akan buka gerai mengikut keadaan. Kadang kala lewat kerana perlu ke klinik untuk cuci luka pembedahan di lutut terlebih dahulu atau janji temu dengan doktor," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Tambahnya, mereka juga menyara anak perempuan berusia 33 tahun dan tiga cucu berusia 8 hingga 12 tahun yang tinggal bersama di Kampung Seberang Sungai Tapah.
"Meskipun rasa sengal pada kaki saya baring sahaja di tepi gerai, saya tidak kisah asalkan dapat menemani suami berniaga.
"Ada rezeki, penduduk akan singgah membeli dan hasil jualan dapatlah sekitar RM40 sehari. Saya tetap bersyukur dapat membeli beras dan lauk untuk makan hari itu bersama cucu," katanya.
Ditanya bantuan yang diterima, Zahariah memaklumkan hanya suaminya sahaja menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal.
"Saya mempunyai dua anak, yang sulung menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta manakala anak perempuan tidak dapat bekerja kerana menjaga tiga anak yang tidak bersekolah.
"Saya juga malu untuk meminta bantuan tambahan daripada pihak berkaitan berikutan pernah disindir. Jadi, berniaga inilah satu-satunya sumber pendapatan untuk menyara hidup kami," katanya.
KISAH 6
"Saya akan terus berniaga untuk sara hidup. Kalau tak niaga, nak makan apa? Macam mana nak bayar sewa rumah.”
Itu luahan seorang warga emas, Adam Firdaus Chia Abdullah, 74, yang masih bekerja membanting tulang membantu isteri, Suriana Hassan, 68, menjual pulut panggang demi kelangsungan hidup mereka.
Menurut mualaf itu, mereka berniaga di tepi jalan di Seksyen 32, Kota Kemuning, Shah Alam sejak dua tahun lalu ketika negara dilanda Covid-19 yang menyebabkan isterinya hilang kerja sebagai tukang urut.
"Kami terpaksa jual pulut panggang untuk bayar sewa rumah RM1,200 sebulan selain menyara empat cucu berusia tiga hingga lapan tahun termasuk seorang berstatus orang kurang upaya.
"Bulan ini, dapatlah RM80 sehari, bulan lepas pernah cecah lebih RM100 sehari. Sekarang dah kurang sedikit.
"Saya berniaga setiap hari, jika tidak saya akan mencari daun pisang di kawasan berdekatan sebab kalau nak beli sendiri mahal,” katanya.
Ujar Adam Firdaus, lumrah berniaga pasti ada turun naik dan dia pernah tidak berniaga selama lima bulan kerana isteri diserang strok.
Namun sepanjang tempoh itu jelasnya, ramai insan berhati mulia sudi memberi sumbangan kewangan.
Klik di sini untuk terus membaca