SHAH ALAM - Belum reda isu didakwa terlibat dengan skim scammer perumahan, siasatan pasukan peguam Khidmat Guam mendapati gelaran atau darjah kebesaran Datuk Seri yang digunakan oleh individu terbabit adalah palsu. Peguambela dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Belum reda isu didakwa terlibat dengan skim scammer perumahan, siasatan pasukan peguam Khidmat Guam mendapati gelaran atau darjah kebesaran Datuk Seri yang digunakan oleh individu terbabit adalah palsu.

Peguambela dan peguamcara, Mahmud Abdul Jumaat yang mendedahkan perkara itu berkata, gelaran diguna pakai oleh pemaju hartanah tersebut adalah tidak benar dan tiada di dalam senarai penerima darjah kebesaran yang dikurniakan sultan.

Beliau yang juga Pengarah Advokasi Khidmat Guam mendakwa, setelah menerima aduan daripada orang ramai menyatakan individu itu menggunakan gelaran palsu, pihaknya melakukan siasatan dan memeriksa latar belakang pihak tersebut.

Malah menerusi maklumat diterima menurutnya, terdapat pihak menyatakan darjah kebesaran dan nama pemaju tersebut ada disenaraikan di dalam sebuah laman sesawang kerajaan negeri.

Untuk mengesahkan perkara tersebut kata Mahmud, pihaknya melakukan pemeriksaan dan penyelidikan bagi memastikan kesahihan gelaran yang dimiliki oleh Datuk Seri berkenaan.

"Namun apabila melihat sahaja lawan sesawang yang diberikan, saya sudah mengetahui ia bukan yang sahih. Ini kerana sesebuah laman web rasmi kerajaan yang sahih akan ada .com.gov.my pada hujung alamat laman sesawang tersebut.

"Tetapi pautan yang diberikan tidak mempunyai alamat penuh tersebut dan pastinya ia satu klon kepada laman web rasmi kerajaan yang cuba diwujudkan bagi menipu orang ramai.

"Setahu saya, laman web rasmi untuk memeriksa pingat atau anugerah kebiasaannya boleh dilihat di dalam laman web istiadat.gov.my sahaja. Malah hasil pemeriksaan selanjutnya dilakukan mendapati pemaju hartanah bergelar Datuk Seri itu menggunakan gelaran palsu," katanya kepada kru Rasuah Busters.

Sebuah website yang dipercayai tidak sahih menyenaraikan nama penerima pingat dan anugerah darjah kebesaran.

Selain itu Mahmud berkata, beliau turut menghubungi sahabat-sahabat penerima anugerah daripada sebuah negeri yang mana anugerah Datuk Seri diterima oleh individu itu, kesemuanya tidak pernah mengetahui kewujudan website yang menipu orang ramai itu.

Katanya, tindakan akhir dilakukan adalah menghubungi terus pihak di Bahagian Istiadat Dan Pengurusan Majlis Rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) di sebuah negeri berhubung status website tersebut.

"Pihak yang dihubungi di SUK itu gelak panjang. Jawapan diberikan adalah laman web tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh Pejabat SUK negeri, selain laman web tersebut juga sedang berada dalam siasatan untuk mengesan pihak yang terlibat.

"Mana ada website kerajaan yang alamat akhirnya adalah .com. tetapi ia mestilah gov.my, selain laman web sebenar mereka (Pejabat SUK Negeri) adalah https://anugerah.*****.gov.my/index.php," katanya.

Untuk itu Mahmud menegaskan, terdapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memandang remeh tentang kesalahan menggunakan dan menikmati gelaran atau panggilan suatu anugerah yang tidak diiktiraf.

Jelasnya, perbuatan tersebut adalah satu kesalahan yang wajib dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun berdasarkan Seksyen 3(2) Akta Kesalahan berhubung dengan Anugerah 2017.

Sementara itu, kru Rasuah Busters turut menghubungi Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi Pejabat SUK negeri terbabit bagi mengesahkan gelaran Datuk Seri yang diterima oleh individu tersebut.

Setelah memberi nama penuh seperti mana yang dimaklumkan kepada pihak media sebelum ini, nama individu yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan di sebuah syarikat pemaju hartanah itu tiada di dalam rekod senarai penerima darjah kebesaran negeri berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca