DANANG - Taufan Noru menerbangkan atap rumah dan menyebabkan gangguan bekalan kuasa di seluruh tengah Vietnam baru-baru ini memaksa ratusan penduduk lari mendapatkan perlindungan sementara. Taufan sama yang membadai Filipina sebelum ini... Klik di sini untuk terus membaca

DANANG - Taufan Noru menerbangkan atap rumah dan menyebabkan gangguan bekalan kuasa di seluruh tengah Vietnam baru-baru ini memaksa ratusan penduduk lari mendapatkan perlindungan sementara.

Taufan sama yang membadai Filipina sebelum ini telah meragut lebih 10 nyawa turut menyebabkan kemusnahan besar-besaran di Pulau Luzon.

Di Danang, bandar ketiga terbesar Vietnam menyaksikan bangunan tinggi bergegar ketika Noru melanda negara itu seawal pagi Rabu lalu yang membawa angin sehingga 120 kilometer sejam (km/j), menurut ramalan cuaca negara.

Lebih 300,000 orang berteduh di tempat perlindungan sementara selepas pakar meramalkan ribut itu disifatkan yang terbesar pernah melanda negara tersebut.

Menjelang petang Rabu, ia semakin lemah menjadi ribut tropika ketika merentasi Laos, tetapi ramalan di Vietnam memberi amaran bahawa tanah runtuh dan banjir buruk akan berlaku akibat penangan taufan tersebut.

Kanak-kanak kelihatan berjalan melepasi bot yang terdampar akibat Taufan Noru di Danang.

Serentak itu, Kementerian Pertahanan menggerakkan hampir 40,000 tentera dan 200,000 anggota militia yang dilengkapi kenderaan berperisai dan bot sebagai persediaan menjalankan operasi menyelamat serta bantuan.

Sementara itu, di bandar pelancongan Hoi An, Sungai Ho menyaksikan tebingnya hampir pecah sementara kawasan tanah dipenuhi kepingan bumbung dan pokok tumbang sehingga merosakkan kereta dan menyekat jalan raya.

Beberapa jalan di bandar lama juga telah dinaiki air.

"Taufan ini sangat dahsyat pada waktu malam. Saya tidak boleh tidur ketika angin kuat dan bising,” kata penduduk, Nguyen Thi Hien memberitahu AFP.

Kira-kira 300 buah rumah di wilayah pesisir Quang Tri dilaporkan rosak teruk akibat bumbung tercabut selepas diterbangkan angin kencang.

"Saya dengar bunyi pokok tumbang dan papan tercabut di luar. Tetapi mujurlah saya bersedia awal dan kerosakan dialami tidak teruk yang dijangka,” tambah Thi Hien.

Selepas taufan reda, rata-rata penduduk mula kelihatan membersihkan serpihan berselerakan selain beberapa kedai mula dibuka dan pelancong kelihatan bersiar-siar di bandar untuk merakam gambar banjir. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca