HAKIKATNYA, sikap suka menyalahkan orang lain, melabel dan tidak mengakui kesilapan diri sendiri sudah sebati bagi setiap individu.
Bezanya adalah sama ada sikap itu semakin serius atau tidak.
Yang jelas, bukan mudah untuk menangani sikap tersebut dalam diri sendiri, apatah lagi hendak menasihatkan orang lain.
Tambahan pula, dengan pengaruh persekitaran yang negatif akan membesarkan lagi sikap tersebut dan terbitlah slogan ‘bukan saya tetapi dia’.
Sebetulnya, slogan ‘bukan saya tetapi dia’ akan memberi impak yang besar terhadap pembentukan diri dan kemakmuran masyarakat.
Mereka sebenarnya menghadapi masalah jiwa yang tidak tenang kerana gagal menguruskan pemikiran dan emosi dengan baik serta rendah keyakinan diri.
Lantaran itu, mereka perlu dibantu secara profesional agar dapat kembalikan semula insight atau celik akal (pemahaman yang mendalam tentang kehidupan).
Kebanyakan individu tersasar dalam kehidupan kerana tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas dan tidak belajar menerima proses kehidupan.
Sesungguhnya, proses kehidupan bagi setiap individu adalah berbeza antara satu sama lain, namun masih ramai tetap berdegil untuk membandingkan kehidupan mereka dengan orang lain, walhal kaedah perbandingan tersebut adalah salah sama sekali.
Justeru, mereka perlukan penasihatan yang baik dan sistematik supaya memperoleh kematangan serta kekuatan untuk hidup.
Berkaitan dengan penasihatan yang baik dan sistematik, Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) telah diwartakan dengan tujuan memelihara profesionalisme kaunselor, memberi perlindungan kepada klien, membolehkan usaha untuk mengawal selia kelayakan sebagai kaunselor dan mengekal serta memastikan standard perlakuan profesional yang tinggi.
Menurut akta berkenaan, kaunseling bermaksud suatu proses sistematik bagi membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai suatu perubahan, kemajuan dan penyesuaian holistik, baik serta sukarela kepada diri klien supaya perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat klien.
Sementara itu, mengikut peruntukan di bawah Seksyen 13(1) Akta Kaunselor 1998 (Akta 580), Lembaga Kaunselor Malaysia telah ditubuhkan dan bertanggungjawab terhadap semua urusan berhubung penguatkuasaan Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).
Ia merupakan satu mekanisme pelaksanaan perkara-perkara yang berhubung dengan akta tersebut bagi mengawal dan membangunkan tahap profesionalisme kaunselor serta perkhidmatan kaunseling di negara kita.
Betapa seriusnya perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat.
Bermula tahun 2016, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengisytiharkan bulan Oktober sebagai Bulan Kaunseling Kebangsaan, selaras dengan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun.
Persoalannya, sejauh mana kaunselor berdaftar dapat melaksanakan amanah tersebut dengan jayanya?
Pada hemat saya, para kaunselor perlu memperkasakan ilmu kaunseling mengikut perkembangan semasa.
Apatah lagi, perkhidmatan kaunseling sudah jauh berubah dan tidak seperti dahulu.
Tambahan pula, dengan desakan kehidupan dunia yang semakin pantas dan mencabar, kaunselor perlu bersedia memberikan perkhidmatan tepat, berfokus serta menepati kehendak klien.
Selain itu, kaunselor perlu turun gelanggang dan terlibat dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya dapat merasai sendiri isu-isu kehidupan yang mereka tempuhi.
Pada masa sama, mereka dapat mempraktikkan kemahiran kaunseling dalam pelbagai dimensi.
Yang penting, perkhidmatan tersebut sampai ke lubuk hati mereka.
Pun begitu, keberkatan ilmu dan pekerjaan hanya dapat dicapai sekiranya kita kota apa yang kita kata.
Sesungguhnya, ALLAH SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saf, 61:2-3).
Justeru, jadilah kaunselor terbaik membantu masyarakat.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca