SHAH ALAM - Masalah kekurangan telur ayam di beberapa negeri ketika ini bukan disebabkan bekalan bahan mentah itu tidak mencukupi, sebaliknya Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) mengambil tindakan untuk tidak menghantar bekalan kepada beberapa peruncit dan penjual yang ‘culas’ membuat bayaran.
Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng Choon Ngee berkata, tindakan itu terpaksa diambil bagi memastikan pihaknya tidak terus terbeban dengan masalah kerugian.
"Kami telah membuat semakan dan isu ini hanya berlaku di beberapa tempat yang ada berlaku peruncit dan penjual mengambil bekalan telur dengan pihak kami tetapi tidak membuat bayaran. Tunggakan bayaran itu juga agak banyak.
"Jadi, masalah kekurangan telur ini disebabkan mereka (peruncit dan penjual) yang mempunyai rekod buruk dalam pembayaran. Sebab itulah kita ambil tindakan sedemikian tetapi kita akan hantar balik kalau mereka membuat bayaran segera.
"Bagaimana kami hendak berikan bekalan kepada mereka sedangkan tiada bayaran dibuat. Siapa yang hendak tanggung kesemua kos operasi ini? Di pihak kami juga turut berdepan dengan kekangan susulan masalah subsidi dan harga siling yang belum selesai.
"Bagaimanapun kami memberi jaminan isu bekalan telur ayam ini tidak kritikal kerana yang menjadi masalah hanya melibatkan beberapa peruncit dan penjual yang tidak membuat bayaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kekurangan bekalan telur ayam yang berlaku pada ketika ini apa punca berlakunya masalah tersebut.
Tambahnya, bekalan telur ayam secara asasnya stabil dan boleh menampung keperluan rakyat ketika ini.
Sementara itu, Jeffrey dalam masa sama turut mendesak pihak berkenaan segera menyelesaikan isu pemberian subsidi dan penetapan harga siling telur yang masih belum dimuktamadkan ketika ini.
"Kita rayu supaya pihak berkaitan segera selesaikan isu ini kerana rata-rata penternak kini berada dalam tekanan kerana harga siling yang dibuat ketika ini di bawah harga kos operasi dan keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian.
"Ia belum lagi dengan masalah harga dedak ayam yang sentiasa meningkat ketika ini. Jadi, kita sangat berharap pihak berkaitan segera selesaikan isu ini dan bukan hanya tuding jari kepada penternak semata-mata,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bekalan telur sukar didapati di Langkawi, Kedah; Jerantut, Pahang; dan Hulu Terengganu di Terengganu.
Klik di sini untuk terus membaca