TANGGAL 1 Oktober setiap tahun diisytiharkan Hari Warga Emas Antarabangsa dan Malaysia juga tidak terkecuali meraikan sambutan itu sejak 1992. Ia merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut yang berusia 60 tahun ke atas. Mungkin... Klik di sini untuk terus membaca

TANGGAL 1 Oktober setiap tahun diisytiharkan Hari Warga Emas Antarabangsa dan Malaysia juga tidak terkecuali meraikan sambutan itu sejak 1992.

Ia merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut yang berusia 60 tahun ke atas.

Mungkin ramai yang beranggapan pada usia itu, warga emas akan menghabiskan masa berehat di rumah kerana sudah letih bekerja ketika usia muda.

Namun realitinya, masih ramai warga emas yang sedang membanting tulang kudrat mencari rezeki di usia senja bagi meneruskan kehidupan.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian menyingkap kisah warga emas yang melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara keluarga.

KISAH 1

Jiwanya kental dan meskipun usia mencecah 73 tahun, wanita bertubuh kecil dari Kampung Balok, Kuantan ini masih gigih membuat kuih demi kelangsungan kehidupan.

Tuan Seripah Tuan Talib mengakui disebabkan kesempitan hidup membuatkan dirinya tiada pilihan lain kecuali terpaksa bekerja walaupun sudah mencapai usia emas.

Menurutnya, wang yang cari bukan untuk kegunaan sendiri, sebaliknya perlu menyara suaminya, Syed Yahaya Syed Osman, 75, yang menderita penyakit buah pinggang sejak 15 tahun lalu.

"Keadaan saya mungkin berbeza dengan rakan seusia apabila mereka hanya duduk di rumah tetapi saya masih bekerja keras untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Kalau tidak bekerja, siapa mahu menyara kehidupan saya dan suami. Jadi mahu tidak mahu saya perlu mengerah kerah keringat dengan berbekalkan kudrat yang ada untuk bangkit seawal empat pagi bagi menyiapkan kuih," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Balok di sini pada Jumaat .

Ibu kepada empat anak ini memberitahu, sebolehnya tidak mahu menyusahkan anak-anaknya kerana mereka juga mempunyai komitmen sendiri.

Ujarnya, anak-anaknya sedang berjuang untuk menguruskan kehidupan mereka masing-masing dan sebolehnya tidak mahu menyusahkan mereka.

Disebabkan itu, Tuan Seripah menggunakan kemahiran ada dengan menyiapkan beberapa jenis kuih seperti karipap, tepung bungkus, samosa, lompat tikam, bingkai ubi dan laksam untuk dijual.

Tuan Seripah memasak lompat tikam untuk diletakkan di kedai-kedai di sekitar Kampung Balok.

"Saya hanya ada kemahiran buat kuih, pekerjaan lain saya tidak pandai (mahir). Jadi saya mencari rezeki dengan cara sebegini (membuat kuih).

"Setiap hari saya akan memastikan beberapa jenis kuih muih dapat disiapkan dan hantar ke kedai-kedai di sekitar Kampung Balok untuk dijual.

"Hasil jualan kuih dapat sekitar RM30 hingga RM50 sehari, wang itu saya digunakan untuk membeli barangan keperluan, membayar bil utiliti dan mendapat rawatan untuk suami," kata Tuan Seripah yang bersyukur masih dikurniakan kesihatan baik.

Ditanya mengenai bantuan bulanan, Tuan Seripah berkata, segala bentuk bantuan secara bulanan daripada agensi kerajaan tidak pernah dipohon kerana masih mampu untuk bekerja.

Jelasnya, walaupun tidak memperolehi sebarang bantuan secara bulanan, masih ada pemimpin setempat dan orang ramai prihatin dengan nasibnya dengan memberikan sumbangan berupa barangan keperluan.

"Dapat bantuan sebegini (barang dapur) pun saya sudah bersyukur dan sekurang-kurangnya ia meringankan belanja dapur dan wang yang ada boleh digunakan untuk rawatan suami," ujarnya ringkas.

KISAH 2

Meskipun sudah bergelar usia emas, namun seorang bekas tentera yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) masih gigih mencari rezeki sebagai penjual aiskrim.

Bagi Ramli Hamid, 62, selagi masih mempunyai keupayaan, dia akan terus bekerja kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak.

"Lagi pun empat orang anak saya semuanya sudah berkahwin dan turut mempunyai anak-anak sendiri yang perlu ditanggung.

"Saya pun tiada masalah untuk bekerja dan tak boleh hanya duduk di rumah menghabiskan hari tua kerana ia membuatkan saya tak cergas," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ramli seronok berniaga aiskrim.

Oleh sebab itu menjadi rutin Ramli pada setiap Isnin hingga Jumaat untuk berniaga aiskrim dengan menaiki motosikalnya di hadapan Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Pagi di Seremban.

Menurutnya, setiap kali berniaga dia mampu memperoleh pendapatan RM170 sehari dan ia biasanya turut bergantung dengan keadaan cuaca.

"Kalau hujan memang tak ramailah pelanggan dan saya pun biasanya hanya berniaga 15 hari sebulan kerana ada masalah kesihatan.

"Saya ada penyakit buah pinggang tahap empat dan kencing manis yang memerlukan rawatan susulan di hospital," katanya.

Selain berniaga harian, kata Ramli, dia juga mengambil tempahan untuk majlis kenduri kahwin atau majlis tertentu di sekitar Negeri Sembilan.

Katanya, ia lebih menguntungkan berbanding berniaga harian, namun dengan lambakan katering aiskrim hari ini ia memerlukan persaingan.

"Tapi dari pendapatan itulah saya boleh beli barangan harian, bayar segala bil utiliti dan rawatan hospital tanpa perlu menyusahkan anak-anak.

"Memang betul di usia seperti saya sepatutnya lebih baik berehat di rumah saja, tapi saya lebih selesa untuk bekerja kerana saya pun tiada pencen.

"Rasanya ramai lagi seusia saya yang bekerja dan masing-masing ada alasan tersendiri" katanya.

KISAH 3

Walaupun terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan penumpang, namun ia tidak mematahkan semangat seorang pemandu teksi warga emas untuk mencari rezeki sampingan pada usia 66 tahun.

Pesara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu, Md Desa Saad berkata, dia hanya mampu meraih pendapatan antara RM20 hingga RM60 sehari kerana permintaan perkhidmatan teksi semakin berkurangan.

Ujarnya, itu adalah lebih baik berbanding menghabiskan masa tua di rumah tanpa berbuat apa-apa.

"Saya lebih suka keluar bekerja sekurang-kurangnya dapat menambah pendapatan dan berpeluang mengenali lebih ramai orang.

"Tiada masalah apa-apa dan saya boleh juga menggerakkan tubuh badan daripada duduk sahaja di rumah.

"Saya sudah 20 tahun jadi pemandu teksi dan ramai juga pesara yang buat kerja ini atas sebab tersendiri. Saya memang minat dan boleh tambah duit sampingan,” katanya ketika ditemui di hentian bas dan teksi dekat Pekan Rabu, Alor Setar.

Pemandu teksi, Md Desa Saad menunggu penumpang untuk menggunakan perkhidmatannya di hentian bas dan teksi berdekatan Pekan Rabu, di sini. Gambar kecil: Md Desa Saad

Tambah Md Desa, isteri dan anak-anak menyokong minatnya itu dan tidak menghalang untuk terus bekerja.

Dia mengakui pendapatan sebagai pemandu teksi agak terjejas dan tidak menentu apabila terpaksa bersaing dengan pemandu e-hailing.

"Bagaimanapun saya teruskan juga kerana sambil bawa penumpang, boleh berbual dan kenal orang. Malah kerja ini tidaklah terlalu berat untuk individu seusia saya.

"Kalau penumpang kurang, saya hanya tunggu sehingga jam 12 tengah hari sahaja sebelum pulang ke rumah,” katanya yang tinggal di Taman Wira Mergong.

Klik di sini untuk terus membaca