SHAH ALAM - Pembekal di bandar raya ini mendakwa bekalan telur ayam harian yang diterima berkurangan sehingga 80 peratus dan keadaan itu sudah bermula sejak Jun lalu.
Seorang pembekal, Basirah Omar, 50, berkata, kekurangan bekalan telur ayam diterima daripada peladang berlaku bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan masih berlanjutan hingga kini.
Katanya, keadaan ini menyebabkan jumlah pembelian telur ayam pelbagai gred terpaksa dihadkan kepada maksimum 60 papan sehari berbanding 300 papan sehari sebelum ini.
Basirah dari Pasar Moden Seksyen 16 itu berkata, ini disebabkan beberapa faktor termasuk kesan kenaikan kos pengeluaran ditanggung penternak hingga menyebabkan bekalan terganggu.
"Kami pula terpaksa berbahagi bekalan dengan pembekal lain kerana bekalan terhad, penternak mengurangkan pengeluaran telur ayam sejak Jun lagi sebab makanan ayam (dedak) mahal.
"Malah saya difahamkan ada pengeluar telur ayam yang terpaksa menutup ladang ternakan mereka kerana modal terlalu tinggi tetapi harga telur pula dikawal, jadi lebih baik mereka tutup ladang.
"Ketika ini pun saya cuma menerima bekalan telur ayam daripada peringkat peladang iaitu 60 papan sahaja jika hendak dibandingkan tempahan dahulu sebanyak 300 papan sehari,” katanya.
Harga semasa telur ayam di Pasar Moden Seksyen 16 dijual dalam dua gred iaitu pada harga RM16.50 serta RM12.30 sepapan dan ramai pengguna memilih untuk membeli telur ayam gred terbaik RM16.50.
Sementara itu, seorang peniaga makanan, Mariani Razak, 41, berkata, dia memerlukan bekalan kira-kira 100 biji telur ayam sehari dan setakat ini tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan.
"Walaupun bekalan telur ayam tidak mengalami pengurangan ketara namun harga telur ayam meningkat sedikit bermula sejak beberapa bulan lalu,” kata Mariani ketika ditemui Sinar Harian.
Sementara itu, seorang pengunjung di Pasar Moden Seksyen 16 yang ditemui, Latifah Asmawai, 65, pula berkata, pengguna perlu mendapatkan bekalan telur ayam walaupun harganya tidak stabil.
"Ketika ini harga telur ayam naik, harga telur ayam semakin mahal tapi bekalan telur ayam sentiasa ada dan tidak pernah putus, terkejut juga apabila telur ayam gred D ketika ini pun naik sampai RM3 sepapan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca