SHAH ALAM - Spekulasi penggantungan dua pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada Jumaat malam, kini menjadi teka-teki ramai. Hal ini susulan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Spekulasi penggantungan dua pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada Jumaat malam, kini menjadi teka-teki ramai.

Hal ini susulan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan enggan mengulas lanjut apabila diajukan persoalan itu oleh Sinar Premium.

Sinar Premium difahamkan selain Tajuddin, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail turut menerima nasib digantung keahlian parti selama enam bulan berkuat kuasa Jumaat.

Pada masa sama, Ketua UMNO Cawangan Projek Perumahan Awam (PPA) Seri Labuan, Datuk Zaharin Mohd Yasin yang pernah menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak dilucutkan keahlian parti.

"Tiada kenyataan daripada saya. Kenyataan saya hanya seperti dinyatakan dalam kenyataan media yang diberikan malam tadi (Jumaat)," ujar Ahmad Maslan dalam satu mesej pesanan ringkas kepada Sinar Premium.

Pada malam Jumaat, MKT UMNO memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini juga.

Tajuddin

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, keputusan terkini MKT dan pemimpin Top 5 UMNO itu mengundang kritikan hebat pembangkang dan Perikatan Nasional (PN).

Hal ini susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan fasa peralihan monsun bermula 3 Oktober ini mampu menyebabkan cuaca ekstrem dan berpotensi mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan.

PENGGANTUNGAN SERTA-MERTA

Dalam pada itu, sumber UMNO mengesahkan keputusan penggantungan Tajuddin dan Mohd Yusof oleh MKT UMNO adalah muktamad dan berkuat kuasa serta-merta.

Difahamkan selain Tajuddin, Mohd Yusof turut digantung keahlian parti selama enam bulan berkuat kuasa Jumaat.

Jelas sumber itu, keputusan itu secara tidak langsung menyebabkan Tajuddin dan Mohd Yusof hilang kelayakan untuk bertanding PRU15 mewakili UMNO sekiranya ia muktamad dilaksanakan dalam tempoh enam bulan ini.

"Tindakan terhadap Tajuddin itu dibuat dipercayai merujuk perbuatan beliau mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan keputusan parti secara terbuka dalam satu sidang media sebelum ini.

"Bagi Mohd Yusof, tidak dapat dipastikan tindakan sebenar dilakukan beliau yang menyebabkan tindakan penggantungan keahlian dikenakan.

"Bagaimanapun, beliau difahamkan sangat lantang menentang keputusan pucuk kepimpinan parti melalui beberapa kenyataan dalaman dan terbuka," ujar sumber berkenaan.

Zaharin yang pernah menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak dilucutkan keahlian parti.

MUNGKIN BUBAR MINGGU HADAPAN

Sumber UMNO berkenaan turut menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memohon pembubaran Parlimen terhadap Yang di-Pertuan Agong, paling awal pada minggu selepas pembentangan Bajet 2023.

"Permohonan pembubaran Parlimen mungkin akan dikemukakan Perdana Menteri seawal minggu hadapan kerana UMNO seboleh-bolehnya mahu mengelakkan PRU15 diadakan pada saat musim bencana banjir melanda negara.

"Jika permohonan pembubaran Parlimen dikemukakan segera, kita boleh menjangkakan PRU15 akan diadakan pada awal November tahun ini, tempoh terbaik sebelum musim peralihan monsun Timur Laut semakin memuncak," kata sumber itu lagi.

Klik di sini untuk terus membaca