BUKAN nak kata apa, tapi langkah UMNO membuat keputusan nekad untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini juga adalah satu tindakan yang berani dan luar biasa. Berani kerana rata-rata mood rakyat lebih tertumpu kepada banyak isu lain... Klik di sini untuk terus membaca

BUKAN nak kata apa, tapi langkah UMNO membuat keputusan nekad untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini juga adalah satu tindakan yang berani dan luar biasa.

Berani kerana rata-rata mood rakyat lebih tertumpu kepada banyak isu lain seperti persiapan menghadapi banjir dan tentang soal kehidupan seharian.

Dan luar biasa kerana pada masa yang sama, mereka memecat serta mengantung keahlian beberapa orang tokoh yang dikenali ramai di saat parti itu hendak berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Apakah ini satu kebijaksanaan atau kecuaian yang tak patut dilakukan? Belalang tak ada jawapannya. Hanya masa yang akan menentukan.

Orang cakap pada waktu seperti ini (saat menghadapi pilihan raya), musuh jangan dicari, kawan dirapati tapi UMNO tak ambil kira semua faktor itu nampaknya.

Tindakan mereka memecat ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Zaharin Yasin atau lebih dikenali sebagai Sang Kelembai - blogger yang aktif mengkritik kepimpinan parti - ibarat seperti melepaskan hantu raya tak bertuan.

Namun ada yang kata, apa bezanya kerana dia tetap bebas mengkritik siapa saja yang dia suka sama ada dipecat atau tidak.

Pada masa yang sama, media massa turut melaporkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bersidang pada malam Jumaat, 30 September itu juga mengambil keputusan untuk mengantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail dan Ahli Parlimen Pasir Salak dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman.

KRITIK PRESIDEN

Nama kedua-dua pemimpin UMNO itu tak disebut dan disentuh langsung dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada lewat malam yang sama oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun menurut laporan media, mereka telah dimaklumkan secara lisan oleh beberapa ahli MKT selepas mesyuarat berkenaan.

Yusof misalannya berkata, beliau tak tahu menahu apakah kesalahannya sehingga digantung oleh MKT tapi mengakui yang beliau bersuara lantang dalam grup WhatsApp ketua-ketua UMNO bahagian dan tak menyembunyikan hakikat yang beliau adalah penyokong kuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Begitu juga dengan Tajuddin yang turut dikenali sebagai pengkritik Ahmad Zahid dan penyokong kuat Ismail.

Maka ramai yang melihat keputusan ini bagaikan satu signal atau ingatan kepada Ismail dan juga semua ketua bahagian yang cenderung kepadanya akan nasib mereka yang tak selari dengan keputusan presiden serta parti.

Apatah lagi, keputusan untuk menjadi calon pada PRU15 nanti terletak di tangan presiden merangkap pengerusi Barisan Nasional kerana watikah calon dikeluarkan oleh siapa. Mereka yang telah dipecat atau digantung keahlian sudah wajib terkeluar dari senarai calon parti dalam PRU15 nanti.

Untuk rekod, hanya beberapa hari yang lalu, Yusof membuat tawaran terbuka kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang bahagiannya bersedia menawarkan kerusi Parlimen Alor Setar jika Ahli Parlimen Rembau itu tidak ada kawasan untuk bertanding pada PRU15.

Mungkin tindakannya itu dilihat sebagai mendahului keputusan parti. Yusof berpendirian tegas yang beliau tak akan merayu di atas hukuman yang dikenakan ke atasnya kerana menganggap yang dia tak melakukan apa-apa kesalahan.

"Saya tetap ahli UMNO, dulu, kini dan selamanya,” katanya ketika dihubungi akhbar The Star.

Dalam pada itu, Zaharin tak menunggu lama untuk tampil menerusi laman videonya untuk menghentam Zahid dan Ahmad Maslan berhubung pemecatannya.

"Mulut dan tangan saya tidak akan berhenti membongkar kemungkaran politik yang dilakukan presiden UMNO,” tegasnya.

Ini adalah kali ketiga Zaharin dipecat daripada UMNO. Kali pertama ialah pada tahun 1996 dan kemudian diterima balik pada tahun 1998. Kali kedua beliau dipecat ialah pada 2006 sebelum diterima semula pada 2009.

Kali ini, menurut Zaharin, beliau tak akan merayu agar diterima semula. Beliau sudah hilang kepercayaan ke atas kepimpinan UMNO sekarang.

Dan yang terakhir, tak sampai 24 jam selepas Biro Politik UMNO dan MKT membuat keputusan yang PRU15 mesti diadakan pada tahun ini juga, Ahmad Maslan telah mengeluarkan satu lagi notis memaklumkan kepada semua bahagian termasuk Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, satu perjumpaan khas bersama presiden dan Perdana Menteri akan diadakan pada Selasa, 4 Oktober di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, jam 2 petang.

Semua diminta memakai baju merah UMNO.

Belalang - Dah dapat hidu perjumpaan itu untuk apa...

Klik di sini untuk terus membaca