"HAI emas, Tuhan bukannya engkau tetapi yang kehendak hati berlakulah olehmu.” Demikianlah pemujaan terhadap ‘emas’ (lambang kekayaan) yang dinukilkan oleh Tun Sri Lanang, pengarang kitab Sejarah Melayu. Tidak ada kitab sejarah silam... Klik di sini untuk terus membaca

"HAI emas, Tuhan bukannya engkau tetapi yang kehendak hati berlakulah olehmu.”

Demikianlah pemujaan terhadap ‘emas’ (lambang kekayaan) yang dinukilkan oleh Tun Sri Lanang, pengarang kitab Sejarah Melayu. Tidak ada kitab sejarah silam yang lebih penting daripada Sejarah Melayu.

Walaupun kitab itu mencampuradukkan mitos, legenda, peristiwa sejarah dan fakta tetapi ia dianggap bahan sejarah yang utama.

Selain menggalurkan salasilah raja-raja Melayu, ia juga memberikan gambaran keadaan politik dan sosial sewaktu kerajaan Melayu Melaka.

Kita dapat mengetahui dengan jelas apa yang berlaku pada masa itu dengan segala drama, intrig dan konflik melibatkan bukan sahaja raja-rajanya tetapi juga pembesar, golongan agama, rakyat serta pedagang di Melaka.

Kemakmuran Melaka membolehkan raja-raja dan pembesarnya hidup dalam kemewahan luar biasa. Pengarang Sejarah Melayu menceritakan dengan terperinci bagaimana kekayaan yang melimpah ruah mencorakkan kehidupan mereka yang berada pada tampuk pemerintahan.

Ambil sahaja contoh kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Katanya: "Kekayaanku ini datang kepada anak cucuku memakan dia tiada akan habis.”

Dalam cetera ke-33 kitab Sejarah Melayu ada digambarkan tentang bagaimana kayanya Tun Mutahir. Pada suatu masa beliau mengumpulkan anak buahnya lalu bertanya: "Hai budak-budak, mahukah memandang emas?”

Maka sahut anak buahnya: "Mahu, Datuk.”

Tidak ada kitab sejarah silam yang lebih penting daripada Sejarah Melayu.

KEMEWAHAN MELAKA

Bendahara menitahkan mereka mengambil sebuah peti lalu membukanya. "Ambillah olehmu segenggam seorang perbuat main.”

Oleh mereka ‘dibubuhnya pada segenap pahatan bendul dan pahatan pintu’.

Dalam Sejarah Melayu, bukan kekayaan raja-raja dan pembesar sahaja yang ditunjukkan tetapi juga para saudagar di Melaka.

Salah seorang daripada mereka bernama Ali Manu Nayan. Sesiapa sahaja yang datang ke rumahnya ‘diberinya kain atau emas atau barang benda yang gharib-gharib. Maka segala orang besar-besar pun semua datang ke rumahnya’.

Demikianlah kemakmuran Melaka. Namun, dalam kemewahan itu jugalah Tun Mutahir terdorong untuk menerima ‘suapan’, yang kemudiannya menyebabkan beliau difitnah.

Apa yang berlaku kepada Tun Mutahir adalah tragedi sangat dikesali. Kematian Tun Mutahir memulakan kejatuhan kerajaan Melayu Melaka.

Pada suatu masa berlaku pertelingkahan antara dua orang saudagar, Nina Sura Dewana dan Raja Mendeliar. Mereka menemui Tun Mutahir untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi oleh sebab hari sudah petang, mereka disuruh pulang dahulu.

Pada malamnya, Nina Sura Dewana mendatangi Tun Mutahir dan memberikannya ‘emas sepuluh kati’. Katanya: "Emas ini persembah saya akan pembeli sirih pinang.”

Kata Tun Mutahir: "Baiklah, tuan hamba memberi, hamba ambil.”

Soalnya, mengapakah Tun Mutahir menerima suapan Nina Sura Dewana sedangkan beliau sendiri kaya-raya?

Karya agung Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) nukilan Tun Sri Lanang.

KITUL DAN RAJA MENDELIAR

Peristiwa itu sampai ke pengetahuan Kitul yang bersaudara dengan Nina Sura Dewana.

Kitul ada berhutang dengan Raja Mendeliar. Dia menemui Raja Mendeliar lalu memberitahu bahawa bendahara dan Nina Sura Dewana akan ‘berbuat sesuatu’ ke atasnya.

Raja Mendeliar pergi pula menemui Laksamana Khoja Hassan yang rapat dengan baginda Sultan Mahmud. Raja Mendeliar memberitahu laksamana itu bahawa Tun Mutahir sedang merancang untuk menggulingkan sultan.

Sultan Mahmud memang berdendam pada Tun Mutahir oleh sebab mengahwinkan anak perempuannya yang jelita bernama Tun Fatimah pada Tun Ali, anak Seri Nara Diraja.

Adatnya ketika itu, gadis secantik itu patut ‘ditunjukkan’ kepada sultan terlebih dahulu. Sultan termakan hasutan itu lalu menitahkan bunuh ke atas bendahara; anaknya, Tun Hassan Temenggung; menantunya, Tun Ali serta besannya, Seri Nara Diraja. Sultan kemudiannya mengahwini Tun Fatimah.

Baginda sultan kemudiannya melantik Paduka Tuan sebagai ganti Tun Mutahir. Menurut Sejarah Melayu ‘adapun Bendahara Paduka Tuan itu telah tualah, giginya pun habis, kaki pun telah tepuk, duduk di muka pintu, di sana duduk di sana tidur, di sana makan di sana berak, di situ kencing’. Beliau juga dikenali sebagai Bendahara Tepuk.

Bayangkan orang sebegini dijadikan bendahara sewaktu zaman kegemilangan Melaka. Peristiwa pembunuhan Bendahara Tun Mutahir yang bijaksana, karismatik dan berwibawa itu memulakan kejatuhan Melaka.

Kekayaan merosakkan banyak pembesar Melaka. Dan bagi Tun Mutahir, beliau tidak perlukan suapan daripada Nina Sura Dewana. Kekayaan mengelabui mata, ketamakan mungkin mempengaruhi seseorang yang berkuasa.

Mungkin kita boleh mengatakan bahawa pengarang Sejarah Melayu sengaja melebih-lebihkan gambaran kekayaan raja dan pembesar Melayu. Memang banyak exaggeration digambarkan oleh penulis.

Tetapi saya yakin semangat peristiwa itu tidak terjejas. Suapan adalah korupsi. Korupsi dalam apa situasi dan zaman akan merosakkan. Empayar Melaka yang tersohor tumbang oleh kealpaan, kemunafikan dan ketamakan pemimpinnya.

Pengajaran peristiwa 500 tahun lalu, masih berguna buat kita hari ini.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Klik di sini untuk terus membaca