KIEV Ukraine kehilangan empat wilayah yang ditawan Rusia menerusi referendum yang diadakan hujung bulan lalu.
Pemerolehan wilayah yang merangkumi hampir satu perlima daripada keluasan Ukraine itu dilakukan melalui pungutan suara melibatkan berjuta-juta penduduk di wilayah Lugansk, Donetsk, Kherson dan Zaporizhzhia.
Keputusan referendum itu menunjukkan sebahagian besar penduduk di empat wilayah tersebut bersetuju untuk digabungkan ke dalam Rusia.
Lugansk dan Donetsk merupakan dua republik pemisah yang disokong Rusia yang mana pertempuran telah berterusan sejak tahun 2014, manakala Kherson serta Zaporizhzhia di selatan Ukraine telah diduduki oleh tentera Rusia selepas pencerobohan bermula di negara berkenaan pada 24 Februari lalu.
Pemilikan empat wilayah itu dibuat selepas tentera Ukraine mendakwa berjaya mengusir askar-askar Rusia dalam taktik serangan balas di tenggara negara tersebut pada bulan lalu.
AMARAN PUTIN
Presiden Rusia, Vladimir Putin turut memberi amaran kepada Barat bahawa Moscow tidak teragak-agak untuk menggunakan senjata nuklear demi mempertahankan wilayah yang dikuasai.
"Kemenangan akan menjadi milik kita,” kata Putin kepada ribuan penduduk yang hadir di Dataran Merah, Moscow selepas lebih tujuh bulan menyerang Ukraine.
Beliau menggesa Ukraine untuk duduk berbincang bagi menamatkan peperangan tetapi memberi amaran tegas bahawa Rusia tidak akan sesekali menyerahkan kawalan ke atas wilayah Donetsk, Lugansk, Kherson dan Zaporizhzhia
Menurutnya, Rusia juga akan melindungi penduduk sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.
Satu konsert pop patriotik diadakan di Dataran Merah itu bagi meraikan kemenangan dalam kempen ketenteraannya beberapa jam sebelum Putin menandatangani perjanjian menguasai keempat-empat wilayah tersebut.
IKRAR ZELENSKYY
Seperti tidak mahu menyerah kalah, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berikrar untuk menawan semula wilayah yang ditawan Rusia.
Malah, beliau membuat permohonan kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk diterima bagi menjadi anggota pakatan ketenteraan tersebut dalam satu pengumuman di aplikasi Telegram pada Jumaat lalu.
Zelenskyy juga berikrar tidak akan berunding dengan Rusia selagi Putin masih menjadi Presiden negara tersebut.
Ekoran kejayaan Rusia mendapatkan empat wilayah berkenaan, Ketua NATO, Jens Stoltenberg menyeru negara-negara dunia untuk menolak langkah terbaharu Moscow yang menggabungkan keempat-empat wilayah tersebut ke dalam Persekutuan Rusia.
Moscow turut memveto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dengan tujuan untuk mengutuk Rusia kerana menjadikan empat wilayah Ukraine miliknya pada Jumaat lalu.
Sebelum memveto keputusan itu, 10 negara yang menganggotai UNSC mengundi menyokong, sebuah negara menentang dan empat lagi negara lain berkecuali.
Ini kerana Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya seperti Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom (UK) serta Kesatuan Eropah (EU) telah berikrar untuk tidak sesekali mengiktiraf kedaulatan Moscow ke atas wilayah tersebut dan akan mengenakan sekatan ke atas Rusia.
Ratusan wakil rakyat Rusia, syarikat dan ahli keluarga pegawai kanan keselamatan negara Rusia telah ditetapkan sebagai sasaran sekatan tersebut.
Bagaimanapun, kejayaan awal Rusia itu memberi tamparan hebat kepada Zelenskyy kerana beliau sebelum ini meminta askar-askar Rusia menyerah diri kepada tentera Ukraine.
Angkatan tentera Ukraine juga mendakwa di Facebook bahawa seramai 59,080 askar Rusia di Ukraine maut dari 24 Februari hingga 30 September.
Dalam kenyataan di rangkaian media sosial itu, sebanyak 2,338 kereta kebal Rusia, 4,932 kenderaan tempur berperisai, 1,391 sistem artileri, 333 sistem roket pelancar berganda, 176 sistem pertahanan udara, 264 pesawat perang, 225 helikopter, 3,768 kenderaan bermotor, 15 kapal perang, 1,003 kenderaan udara tanpa pemandu, 131 peralatan unit khas dimusnahkan.
Sebanyak 246 peluru berpandu jelajah musuh ditembak jatuh.
Justeru, kemenangan awal itu juga memberi tamparan hebat kepada AS dan sekutunya kerana membelanjakan banyak wang bagi membantu Ukraine memperoleh kemenangan dalam peperangan dengan Rusia.
Klik di sini untuk terus membaca