SAYA sangat tertarik dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini agar PBB memansuhkan kuasa veto diberikan kepada negara anggota tetap Majlis... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA sangat tertarik dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini agar PBB memansuhkan kuasa veto diberikan kepada negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Ia syor sangat berani dan sudah tentu menghadapi pelbagai liku untuk direalisasikan. Perdana Menteri menegaskan kuasa veto itu juga tidak demokratik pelaksanaannya. Walaupun usaha itu sukar, kita tidak harus berdiam diri dengan ketidakadilan yang dilakukan melalui kuasa veto tersebut.

Saya cuba mencari publisiti ucapan Perdana Menteri itu di media antarabangsa, namun ia tidak mendapat liputan meluas melainkan di Malaysia dan beberapa media lain sahaja. Jelaslah negara kuasa besar tidak selesa dengan syor Ismail Sabri.

Kuasa veto dimiliki lima negara iaitu China, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis. Malangnya, tiada negara Islam memiliki kuasa veto tersebut.

Negara lain akan hanya layak menduduki Majlis Keselamatan PBB sebagai anggota tidak tetap termasuklah Malaysia yang pernah menduduki kerusi tersebut namun masih tidak mempunyai kuasa veto. Kuasa veto hanya dimiliki oleh negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB sahaja.

Sebelum PBB, telah wujud Liga Negara-Negara yang mengamalkan persetujuan secara konsensus dalam kalangan negara anggota. Itu bermakna setiap negara anggota mempunyai kuasa veto kerana jika satu negara tidak bersetuju, persetujuan tidak dapat dilaksanakan.

Liga Negara-Negara berkubur sebelum Perang Dunia Kedua. Apabila PBB ingin ditubuhkan pada sekitar 1940-an, mereka mengambil iktibar kesulitan Liga Negara-Negara melaksanakan ketetapan kerana kuasa veto dimiliki semua negara anggota.

Malah, negara besar apabila PBB ingin dibentuk, kuasa-kuasa besar itu enggan menyertainya kerana khuatir majoriti negara akan menggarap keputusan tidak berpihak kepada mereka.

Masyarakat antarabangsa pula ketika itu amat berharap mereka menyertai PBB kerana jika tidak menyertainya, PBB akan dilihat sebagai satu kegagalan.

Oleh itu, kompromi dicapai dengan memberikan kuasa veto tersebut kepada negara-negara berkenaan supaya mereka dapat menyertai PBB dan tidak khuatir negara lain ‘mengancam’ kedudukan mereka.

KETIDAKADILAN

Justifikasi kuasa veto seolah-olah negara kuasa besar menjadi polis dunia bagi memastikan keamanan. Namun, hakikatnya negara kuasa besar itulah yang telah banyak merosakkan dunia, menyerang negara kecil dan melakukan penindasan.

Jika kita perhatikan masalah dunia ketika ini sama ada isu Palestin, Myanmar, Uighur, Ukraine, Afghanistan dan banyak lagi tidak dapat diselesaikan, antara sebabnya kerana penggunaan kuasa veto.

Walaupun ada usaha mendesak negara memiliki kuasa veto memberi justifikasi penggunaan veto mereka, ia bagaikan mencurah air di daun keladi.

Misalnya pada 2015, Rusia telah menggunakan kuasa vetonya menghalang draf resolusi bagi mewujudkan tribunal antarabangsa untuk menyiasat insiden MH17 pada Julai 2014 yang didesak Malaysia dan disokong kuat oleh Belanda, Ukraine, Belgium serta Australia.

Rusia berpandangan draf resolusi itu pramatang dan tidak produktif walaupun masyarakat dunia berpendapat sebaliknya.

Kematian 298 orang daripada pelbagai negara termasuk Malaysia sehingga hari ini masih tidak dapat dibela sama ada oleh PBB atau badan-badan lain.

Jadi, kita tidak nampak penggunaan kuasa veto akan meningkatkan lagi keamanan dunia, sebaliknya ketidakadilan berlaku kepada negara kecil yang tidak bersahabat dengan negara kuasa veto.

PBB yang dianggotai 193 negara anggota dan dua buah negara pemerhati ditubuhkan pada Oktober 1945 perlu melakukan perubahan drastik berkaitan isu itu kerana kezaliman berlaku kepada negara kecil termasuk Malaysia perlu dihentikan segera atas nama kesatuan dunia ini. Jika tidak, PBB dilihat seperti harimau tidak mempunyai taring.

Walaupun PBB ditubuhkan untuk keamanan dunia, hak asasi manusia, bantuan kemanusiaan dan perkembangan antarabangsa, inisiatif PBB banyak disekat dengan penggunaan kuasa veto oleh negara-negara berkepentingan itu tanpa justifikasi mantap.

Sudah sampai masanya PBB menjadi lebih demokratik dan mengambil tindakan atas persetujuan majoriti negara-negara ahli.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca