PADA 27 September lalu, Azerbaijan menyambut ulang tahun kedua Perang Karabakh, juga dikenali sebagai Perang 44 Hari (27 September 2020 - 10 November 2020). Azerbaijan telah memperoleh kemenangan dan berjaya mendapatkan semula wilayah... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 27 September lalu, Azerbaijan menyambut ulang tahun kedua Perang Karabakh, juga dikenali sebagai Perang 44 Hari (27 September 2020 - 10 November 2020).

Azerbaijan telah memperoleh kemenangan dan berjaya mendapatkan semula wilayah Karabakh yang telah diduduki kerajaan Armenia ketika Perang Nagorno-Karabakh Pertama (1988-1994).

Perang Nagorno-Karabakh telah mengakibatkan lebih 600,000 rakyat Azerbaijan melarikan diri dari Nagorno-Karabakh dan daerah sekitarnya. Ia menyebabkan Azerbaijan berdepan masalah pelarian terbesar di dunia.

Semasa pendudukan tentera Armenia, landskap wilayah Karabakh telah bertukar menjadi padang jarak padang tekukur akibat kemusnahan dilakukan oleh tentera Armenia.

Rumah, sekolah, dewan dan perpustakaan yang ditinggalkan telah dibakar, masjid dijadikan tempat memelihara binatang dan tanah perkuburan juga tidak terlepas.

Batu nisan dipecahkan untuk dijadikan lantai, manakala kubur digali semula untuk mencari gigi emas yang pernah menjadi amalan masyarakat Azerbaijan suatu ketika dahulu.

Pembebasan wilayah Karabakh pada 2020 telah membawa harapan kepada masyarakat Azerbaijan. Kerajaan Azerbaijan telah mengisytiharkan rancangan pembangunan dan penstrukturan semula wilayah Karabakh serta bandar Shusha.

Namun, antara cabaran terpaksa dihadapi dalam usaha pembangunan semula itu adalah masalah periuk api. Sejak konflik Nagorno-Karabakh tercetus, periuk api telah menjadi salah satu senjata utama.

Menurut pakar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih sejuta periuk api telah ditanam di wilayah Karabakh.

Sejak November 2020, sebanyak 242 letupan periuk api berlaku sehingga menyebabkan 40 orang terbunuh dan 202 tercedera.

Ketika ini, kawasan yang ditanam periuk api adalah lebih kurang 530 juta meter persegi dan hampir 68,000 periuk api telah dikesan.

Menurut Timbalan Menteri Luar Azerbaijan, Elnur Mammadov, kerajaan Azerbaijan terpaksa mengambil 10 hingga 12 tahun untuk membersihkan wilayah Karabakh sepenuhnya daripada periuk api.

Operasi memusnahkan periuk api itu dikendalikan oleh Agensi Kebangsaan untuk Tindakan Periuk Api Azerbaijan atau Azerbaijan National Agency for Mine Action (ANAMA).

Perlu ditegaskan, operasi mengesan periuk api dilakukan secara manual melalui mesin dan bantuan anjing pengesan.

Bagaimanapun, masih banyak lagi periuk api belum dikesan dan ANAMA ada keterbatasan terutama apabila pihak Armenia tidak memberi kerjasama sepenuhnya. Peta periuk api yang dibekalkan oleh Armenia tidak tepat.

MANGSA

Dalam era pasca konflik, orang awam telah menjadi mangsa letupan periuk api terutama petani bekerja di ladang dan kanak-kanak yang bermain di halaman rumah tanpa menyedari kawasan mereka dipenuhi periuk api.

Justeru, masyarakat antarabangsa perlu bertindak memberi bantuan dalam usaha mengesan dan memusnahkan periuk api di wilayah Karabakh.

Azerbaijan telah bekerjasama dengan PBB dan organisasi antarabangsa lain untuk mempercepatkan operasi nyahperiuk api.

Negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) harus bertindak proaktif. Turki telah membekalkan Peralatan Mekanikal Pemusnahan Periuk Api (MEMATT). Pakar pengesan periuk api Turki sedang melatih rakan sejawat mereka dari Azerbaijan dan mengambil bahagian dalam operasi nyahperiuk api.

Malaysia selaku anggota OIC juga boleh menyumbang dalam usaha mengesan dan nyahperiuk api. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam operasi sedemikian ketika terlibat dalam misi pengaman PBB di Kemboja serta Bosnia.

ATM adalah mangsa utama periuk api buatan sendiri atau perangkap samar yang ditanam pengganas komunis di sempadan Malaysia-Thailand. Insiden periuk api sering terjadi pada akhir 1970-an dan awal 1980-an.

Kes terakhir tentera Malaysia telah menjadi mangsa periuk api berlaku pada 1993 apabila seorang askar ketika membuat rondaan di Kedah berhampiran sempadan Malaysia-Thailand cedera akibat periuk api yang ditanam pengganas komunis.

Selain itu, salah seorang tentera Malaysia terbunuh akibat periuk api ketika bertugas dalam misi pengaman di Bosnia.

Malaysia suatu ketika dahulu pernah mengalami ancaman periuk api. Atas semangat kekeluargaan dan kerjasama ummah di peringkat antarabangsa, Malaysia boleh berkongsi peralatan serta kepakaran kepada Azerbaijan dalam usaha mengesan dan nyahperiuk api.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca