KALAU dengar cakap Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, tidak ada apa yang luar biasa dengan keadaan ekonomi negara sekarang. Itulah yang saya faham daripada kenyataan beliau pada 23 September lalu. Nadanya... Klik di sini untuk terus membaca

KALAU dengar cakap Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, tidak ada apa yang luar biasa dengan keadaan ekonomi negara sekarang.

Itulah yang saya faham daripada kenyataan beliau pada 23 September lalu. Nadanya santai sahaja. Macam tidak ada apa-apa yang hendak dirisaukan.

Berkenaan kadar tukaran ringgit yang jatuh merudum ke paras paling rendah dalam sejarah berbanding dolar Amerika, beliau relaks saja.

Dulu-dulu hanya surat khabar ekonomi dan perdagangan sahaja yang cerita mengenai kadar tukaran mata wang. Orang ramai tidak faham dan tidak peduli sangat sebab nilai ringgit stabil, inflasi rendah, pertumbuhan ekonomi tinggi serta pengangguran rendah.

Masa itu ada penciptaan kekayaan yang jelas dan sedikit sebanyak berlaku pembahagian kekayaan. Kemiskinan tegar hampir-hampir hapus.

Beberapa tahun lalu, mereka mula ambil berat mengenai harga barang melalui ‘indeks kangkung’. Kini mereka mula faham kesan kejatuhan kadar tukaran ringgit terhadap inflasi.

Seperti telah saya ceritakan beberapa kali, peranan utama Bank Negara adalah menjana pertumbuhan ekonomi dan mengawal inflasi melalui dasar mata wang yang mantap.

Dalam kenyataannya, Nor Shamsiah kata, Bank Negara akan pantau keadaan dengan rapi dan pastikan pasaran kewangan berjalan secara tersusun pada ketika mata wang dolar terus mengukuh.

Lebih kurang sama dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kenyataan Nor Shamsiah itu bolehlah disifatkan sebagai teknikal.

Pada 14 September, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, walaupun ringgit merosot 7.5 peratus berbanding dolar sejak awal tahun ini, kejatuhan mata wang lain lebih teruk. Tetapi sejak beliau buat kenyataan itu, kadar tukaran ringgit jatuh lagi teruk.

Pada 29 September pula, beliau kata, kedudukan ekonomi Malaysia berada atas landasan kukuh dan stabil walaupun diancam ketidakstabilan ekonomi global yang dicetuskan oleh ketegangan geopolitik serta faktor luar.

KLISE DAN JARGON

Namun, seminggu selepas Nor Shamsiah buat kenyataan, pada 30 September, Bank Negara melaporkan kadar inflasi naik kepada 4.7 peratus dalam bulan Ogos daripada 4.4 peratus bulan sebelumnya.

Bank Negara mempertahankan kenaikan itu. Menurutnya, ia selaras dengan jangkaan pasaran. Kalau tidak diambil kira makanan dan tenaga, ia meningkat daripada 3.4 peratus kepada 3.8 peratus. Kenaikan tersebut disebabkan peningkatan kadar sewa dan makanan luar rumah.

Maksudnya, apabila dikupas dan diulas, nada yakin Tengku Zafrul dan Nor Shamsiah itu lebih berupa klise serta jargon. Ekonomi Malaysia dan kebajikan rakyat jelata tidaklah sebaik yang cuba mereka digambarkan.

Kerajaan nampaknya masih belum berjaya mengimbangkan antara perkembangan positif dan negatif yang sedang berlaku dalam ekonomi global.

Misalnya, kalau Amerika terus menaikkan kadar faedah, nilai dolar akan jadi lebih mahal dan nilai ringgit lebih murah. Secara langsung, import Malaysia akan menjadi lebih mahal dan eksport lebih murah.

Ikut teori, apabila harga import mahal, jumlah import akan berkurangan dan apabila harga eksport murah, lebih banyak barang keluaran tempatan boleh dieksport.

Tetapi sebaliknya berlaku. Lebihan perdagangan kita merosot kerana import meningkat dengan lebih pantas daripada eksport. Bagi bulan Ogos, lebihan perdagangan merosot kepada RM16.9 bilion daripada RM21.4 bilion setahun lalu.

Kesimpulannya, walaupun Menteri Kewangan dan Gabenor BNM cuba bermain dengan klise serta jargon ekonomi bagi memberi gambaran positif mengenai prestasi ekonomi, keadaan sebenar tidaklah sebaik yang mereka gambarkan.

Harga barang dan perkhidmatan terus meningkat akibat kemerosotan kadar tukaran ringgit serta kurang keberhasilan langkah mengawal inflasi termasuklah oleh badan bertindak jihad lawan inflasi.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca