SHAH ALAM - Setiap gabungan parti politik yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka tidak mampu memenangi 100 kerusi secara bersendirian.
Saintis politik dari Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC), Sunway University, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, keputusan itu kemungkinan bakal dihadapi oleh kesemua gabungan utama termasuk BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Disebabkan itu, beliau berkata, cadangan agar pengundi Cina untuk mempelbagaikan corak sokongan mereka untuk memastikan kehadiran perwakilan kaum itu dalam parti yang membentuk kerajaan dilihat agak tidak munasabah.
"Cadangan sedemikian mengabaikan kemungkinan Parlimen tergantung yang akan membawa kepada kerajaan bersama. Kerajaan bersama itu akan mempunyai wakil dari Sabah dan Sarawak.
"Di Malaysia Barat, gabungan yang memenangi kerusi terbanyak akan memimpin. Ini bergantung kepada sama ada BN, PH atau PN menang dalam pilihan raya,’’ katanya dalam satu temubual eksklusif, baru-baru ini.
Menurut Chin Huat, jika BN mengetuai kerajaan yang bakal ditubuhkan selepas PRU15, PH berkemungkinan berada di barisan kedua yang mendapat sokongan terbesar pengundi.
Jelas beliau, walaupun semua calon MCA kalah dalam pilihan raya, kerajaan bersama itu tidak kekurangan calon menteri daripada kaum Cina.
"Jika PH adalah pemimpin dalam kerajaan bersama, maka seseorang tidak perlu risau tentang perwakilan Cina. Dari sudut pandangan masyarakat Cina, kepelbagaian tidak diperlukan di sini,’’ ujarnya.
Beliau bagaimanapun berkata, berdasarkan pemerhatian, lebih separuh pengundi Cina masih berharap PH akan menjadi kerajaan selepas mereka melalui beberapa perkembangan politik antaranya Langkah Sheraton, pertukaran kerajaan, wabak Covid-19 dan pemenjaraan Najib.
"Namun, nisbah pengundi Cina yang berharap PH memerintah adalah lebih rendah berbanding dalam pilihan raya 2018,” katanya.
Pada masa sama, Chin Huat berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor juga menunjukkan majoriti pengundi Cina menyokong PH dan hanya sebilangan kecil yang kembali kepada BN.
Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan pengundi tidak mengundi menunjukkan peningkatan terutamanya disebabkan kehadiran hampir 30 peratus pengundi pasif yang layak mengundi melalui pendaftaran automatik.
"Dua faktor lain adalah pandemik Covid-19 dan sekatan lain telah menyejukkan semangat rakyat untuk mengundi dan akhirnya perubahan kerajaan yang disebabkan Langkah Sheraton menyebabkan pengundi berasa pesimis terhadap pilihan raya,” jelasnya.
INFO
Untuk menyertai kaji selidik ini pembaca boleh mengisi borang di link berikut:
Borang Bahasa Melayu
https://forms.gle/hK684Nir86VKAnNJ9
Borang Bahasa Inggeris
https://forms.gle/5wxChecHpmEBTYPq5
Klik di sini untuk terus membaca