UMNO jelas bertekad dan berkehendak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini dengan secepat mungkin.
Pemimpin UMNO berpendapat PRU dapat diadakan sebelum musim banjir tiba.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat sekali lagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon pembubaran Parlimen tahun ini.
Sebelumnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Perdana Menteri bahawa jentera parti sedia berkempen walau dalam keadaan banjir.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata: "Hasrat UMNO supaya PRU15 diadakan segera bukan bermakna parti ini mahu mengadakan pilihan raya ketika musim banjir. Iklim dunia telah berubah dan sesiapa pun tidak mengetahui sama ada banjir akan berlaku waktu itu atau tidak.
"Kalau ikut tahun lepas, banjir berlaku Januari hingga Mac. Cuaca sudah berubah, iklim dunia sudah berubah. Kalau berlaku banjir, bukan seluruh negara yang banjir. Kalau pun banjir misalnya di Kelantan, di kawasan terlibat banjir itu kita boleh tangguhkan pengundian, selagi ia masih dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.”
Bagaimanapun untuk rekod, banjir besar tahun lalu berlaku pada Disember 2021 melibatkan Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bencana dahsyat itu mengakibatkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion.
Namun, mengadakan PRU pada November dan Disember sangat bersifat mementingkan diri kerana bulan-bulan tersebut adalah tempoh paling berisiko berdepan banjir besar.
Sebahagian besar rakyat dan pemimpin masyarakat seperti dilaporkan pelbagai media berharap PRU15 diadakan tahun depan – selepas musim Monsun Timur Laut yang dijangka membawa bencana banjir.
Ia bukan sekadar persepsi tetapi ramalan pengkaji cuaca bahawa negara berkemungkinan besar akan mengalami fenomena banjir besar seperti tahun lalu.
BANJIR HUJUNG TAHUN
Apa akan terjadi sekiranya banjir besar berlaku selepas Parlimen dibubarkan? Kabinet sudah tidak boleh berfungsi secara efisien kerana hanya mempunyai Perdana Menteri sementara.
Kuasa perbelanjaan kecemasan juga akan terhad dan ia boleh menjejaskan usaha penyelarasan operasi menyelamat serta menyampaikan bantuan ketika banjir.
Proses demokrasi juga akan terjejas jika banjir besar berlaku seperti diramalkan. Kempen pilihan raya dan pengundian mungkin berdepan penangguhan susulan kekangan perjalanan serta fokus usaha menyelamat nyawa dan harta benda.
Khabarnya terdapat perbincangan mengenai kemungkinan mengisytiharkan darurat jika banjir besar berlaku selepas Parlimen dibubarkan.
Jadi, adalah sangat aneh kenapa mahu mempertimbangkan pembubaran Parlimen dalam keadaan sekarang sehingga terpaksa memikirkan pula soal darurat.
Jauh lebih daripada itu, apa akan terjadi jika keputusan PRU15 tergantung tanpa sebuah pun parti mendapat majoriti menjelang musim banjir pada Disember nanti?
Jika Parlimen dibubarkan dan banjir besar berlaku, jangan disalahkan takdir Tuhan kerana Tuhan telah memberi kita akal untuk berfikir serta memahami fenomena alam.
Banjir besar hujung tahun bukan perkara luar biasa. Meramalkan banjir tidak memerlukan jampi serapah atau kasyaf kerana ia ada bidang ilmu tersendiri.
Rakyat akan tertanya-tanya dan curiga mengapa begitu tergesa-gesa mahu membubarkan Parlimen ketika musim banjir, sedangkan tempoh penggal masih ada hampir setahun lagi. Tidak lari gunung dikejar.
Tampaknya rakyat akan berharap kepada Yang di-Pertuan Agong untuk sekali lagi menyelamatkan rakyat dan negara ini.
Mengikut Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, memperkenankan pembubaran Parlimen adalah termasuk dalam kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong tanpa perlu mendengar nasihat Jemaah Kabinet.
UMNO boleh memohon, namun belum tentu diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca