SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi berpandangan parti-parti politik perlu mengambil kira lebih banyak keperluan dan kebajikan pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketua Kluster Mikroekonomi, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mustazar Mansur berkata, pertambahan 7.8 juta pengundi baharu dengan 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun, pastinya banyak isu yang perlu diberikan perhatian serius.
Menurutnya, bagi golongan belia yang baru layak mengundi, kebanyakan mereka kini berada di institusi pengajian tinggi (IPT).
"Saya melihat dalam tempoh fasa belajar dan mula bekerja ini, apa yang mereka mahukan lebih berlegar kepada kos sara hidup, makanan, yuran pelajaran dan elaun bagi yang belajar di luar negara.
"Benda-benda ini penting untuk mereka mendapatkan pendidikan yang lebih baik dan jaminan masa depan.
"Walaupun sudah ada inisiatif Menu Keluarga Malaysia IPT, kita perlu banyakkan inisiatif lain agar golongan ini tidak terus terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi rakyat secara keseluruhannya, beliau melihat apa yang rakyat mahu adalah jaminan harga barangan berada dalam tingkat yang rendah.
Jelasnya, kesan daripada ekonomi global, kejatuhan ringgit dan inflasi, rakyat semakin tertekan dan terbeban.
"Apabila kerap dibuat, secara automatik operator-operator lain tidak boleh menawarkan harga yang tinggi sebab ada pesaingnya,” ujar beliau.
Selain itu, beliau melihat rakyat mahukan penambahan pendapatan dan peluang pekerjaan yang lebih baik, bersesuaian dengan taraf pendidikan mereka.
Justeru, kerajaan boleh meningkatkan kerjasama dengan syarikat luar dan memberikan galakan insentif kepada mereka agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
"Kena lihat kepada persaingan Malaysia dengan negara lain yang menawarkan insentif lebih menarik. Kita perlu ke depan mungkin dengan menawarkan kadar sewa lebih murah dan insentif pelaburan yang lebih baik.
"Apa yang lebih penting, pembangunan yang dibawa haruslah adil kepada semua negeri, tanpa membezakan negeri di bawah kerajaan dan pembangkang. Selain itu, kerjasama antara kerajaan dan swasta perlu ada,” tambahnya.
Mustazar berpandangan, rakyat juga mahukan peluang untuk memiliki barangan bernilai tinggi seperti rumah.
"Banyak inisiatif yang kita perlu buat. Bagi yang terlibat dengan ekonomi gig misalnya, mereka nak beli rumah tetapi tiada duit dan tak ada cara untuk buat pinjaman. Jadi, kerajaan perlu berikan cagaran dan jaminan daripada segi kewangan.
"Bantuan lain seperti bantuan tunai, masih ada yang memerlukan. Memang kita nak beri ‘pancing’ tapi memang ada yang betul-betul perlukan ‘ikan’. Mereka dah bekerja tapi masih lagi tak cukup duit untuk hidup. Bantuan itulah untuk ringankan beban mereka,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca