SHAH ALAM - Pimpinan parti politik di dalam negara termasuk daripada parti komponen yang membentuk kerajaan ketika ini tidak bersetuju dengan pendirian UMNO berkenaan ketetapan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ketua Armada Parti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pimpinan parti politik di dalam negara termasuk daripada parti komponen yang membentuk kerajaan ketika ini tidak bersetuju dengan pendirian UMNO berkenaan ketetapan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pendirian UMNO itu dilihat tidak bertanggungjawab dengan mengambil kira risiko bencana bakal dihadapi negara pada tempoh beberapa bulan menjelang akhir tahun ini.

Malah, beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara mendakwa keputusan tersebut dilihat bertentangan dengan pendirian ahli kabinet yang majoritinya menolak langkah mengadakan PRU dalam masa terdekat.

"Kabinet buat keputusan berdasarkan fakta. Ini kerana ia membahayakan nyawa bukan sahaja rakyat dan pengundi tetapi juga jentera menyelamat mangsa banjir seperti polis, bomba dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, langkah mengadakan PRU mengejut itu jelas merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dari segi pengurusan sumber dan kewangan kerajaan.

"Pilihan raya mengejut akan menyebabkan wang kerajaan dan sumber perkhidmatan awam yang sepatutnya lebih baik disalurkan untuk persediaan banjir terpaksa digunakan untuk pilihan raya,” ujar beliau.

Selain itu, Wong Chen berkata, langkah mengadakan PRU15 pada tahun ini juga bakal menjejaskan persiapan Bajet 2023 yang sangat penting bagi menyediakan negara menghadapi kemungkinan krisis ekonomi global pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin berkata, keputusan MKT UMNO itu membuktikan bahawa parti berkenaan sememangnya tidak pernah berubah dan hanya mementingkan kuasa berbanding kebajikan rakyat.

"Pertama, ia bukanlah masa yang sesuai (adakan PRU15). Kalau kata awal sikit, kita masih boleh pertimbang, tapi ini dah masuk hujung tahun. Bajet pun belum tahu lagi hala tuju dan musim banjir pun dah semakin hampir,” jelasnya.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin pula berkata, meskipun MKT UMNO telah membuat keputusan berkenaan perkara itu, langkah menentukan tarikh PRU15 perlu terlebih dahulu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

"Jemaah Menteri akan tentukan untuk diangkat sebagai bentuk nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi ikut prosedur seperti dalam Perlembagaan Persekutuan dan itu termaktub dalam Perkara 40(1),” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca