SHAH ALAM - Proses pertimbangan Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan permohonan pembubaran Parlimen daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin turut mengambil kira jaminan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Proses pertimbangan Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan permohonan pembubaran Parlimen daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin turut mengambil kira jaminan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap Naib Presiden UMNO itu sendiri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan permohonan pembubaran Parlimen pastinya dibuat berpandukan kebijaksanaan dan budi bicara Seri Paduka Baginda.

Bagaimanapun, pada perkiraan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Yang di-Pertuan Agong mungkin hanya akan menghormati permohonan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen seandainya keputusan itu mewakili suara majoriti ahli Parlimen.

"Sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan permohonan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri semestinya dibuat berasaskan kebijaksanaan dan budi bicara baginda.

"Ini kerana Seri Paduka Baginda mungkin berfikir mengapa perlu Istana Negara memperkenankan permohonan Perdana Menteri sedangkan beliau tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen bagi perkara berkenaan. Apa pun, ia akan kembali kepada kebijaksanaan dan budi bicara Seri Paduka,” katanya kepada Sinar Premium.

Ismail Sabri (kanan) kini berdepan cabaran untuk memohon pembubaran Parlimen daripada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat susulan MKT dan Top 5 UMNO memutuskan PRU15 harus diadakan tahun ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut berpandangan sebarang keputusan Perdana Menteri untuk memohon pembubaran Parlimen daripada Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya perlu mendapat persetujuan ahli-ahli Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, beliau mengakui proses permohonan itu sebaiknya perlu dimaklumkan Perdana Menteri kepada Jemaah Menteri sebelum diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kalau rujuk Perlembagaan Persekutuan, keputusan pembubaran Parlimen mesti membabitkan perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Pada masa saya jadi Timbalan Perdana Menteri dan (Tun Dr) Mahathir adalah Perdana Menteri, beliau tidak pernah tanya pendapat atau kelulusan Jemaah Menteri sebelum memohon pembubaran Parlimen.

"Tetapi beliau maklumkan dahulu kepada Jemaah Menteri sebelum pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong. Kalau ada bantahan pun, ia hanya untuk makluman Perdana Menteri,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca