EKONOMI negara berisiko menjadi overheating sekiranya dasar monetari yang lebih akomodatif diamalkan terlalu lama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, FIRDAOS ROSLI berkata, keadaan itu akan mengakibatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) negara terus meningkat dengan lebih pantas.
Menurutnya, OPR dinaikkan bukan sahaja disebabkan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik malah lebih penting ia bertujuan untuk melaraskan semula dasar monetari akomodatif selepas pembukaan ekonomi negara.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, NUR IFTITAH ROZLAN bersama Firdaos bagi mengulas mengenai perkembangan ekonomi negara dan faktor-faktor yang diambil kira sebelum pelaksanaan OPR diwartakan kepada rakyat.
SINAR AHAD: Adakah benar jangkaan OPR dinaikkan lagi pada November nanti? Kenapa Malaysia perlu kembali kepada paras 3.0 peratus?
FIRDAOS: Pertama sekali, kita harus faham tentang peranan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).
Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC bertanggungjawab untuk merumuskan dasar monetari dan membuat keputusan mengenai OPR tetapi BNM cuma melaksanakan keputusan tersebut.
Kedua, BNM melalui MPC tidak boleh melaraskan OPR sewenang-wenangnya. Ada proses tertentu dan cara tersendiri.
MPC akan bersidang selama dua hari dan bahagian BNM berkaitan akan membentangkan situasi terkini mengenai ekonomi Malaysia dan global secara tersusun serta terperinci untuk perbincangan ahli-ahli MPC.
Kemudian, mesyuarat akan mengadakan undian dan daripada situ ia akan diwartakan kepada umum sama ada menurunkan, kekal atau menaikkan OPR.
Proses ini adalah sama dengan kebanyakan bank pusat di serata dunia. Keputusan untuk melaraskan OPR kebiasaannya melibatkan keadaan ekonomi terkini dan potensi ekonomi negara pada bulan akan datang berdasarkan keadaan ekonomi dunia.
Jadi, semakin baik ekonomi negara, semakin tinggi OPR akan dilaraskan. Ia bertujuan untuk mencapai dua objektif utama iaitu pertumbuhan ekonomi mampan dan kestabilan harga.
Untuk mencapai kedua-dua objektif itu, MPC juga boleh menstabilkan OPR sekiranya kenaikan lanjut boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.
Sekiranya ekonomi merudum atau dijangka merudum, MPC akan mencadangkan supaya OPR dipotong untuk mencapai objektif dasar monetari negara.
Sebaliknya, jika ekonomi baik, OPR juga akan semakin naik. OPR dinaikkan bukan sahaja disebabkan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik malah lebih penting ia bertujuan melaraskan semula dasar monetari akomodatif selepas pembukaan ekonomi.
Kita buka ekonomi agak lambat, jadi apabila ekonomi kita semakin naik, maksudnya dasar akomodatif ini perlu dilaraskan semula secara beransur-ansur.
Sekiranya dasar akomodatif terlalu lama, ekonomi kita berisiko menjadi overheating dengan cepat dan mengakibatkan OPR naik dengan lebih pantas.
Sama seperti yang berlaku di negara-negara maju, dasar monetari di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Eropah dan England tidak selaras dengan pertumbuhan ekonomi.
Ia boleh mengganggu kestabilan pasaran kewangan negara terutamanya apabila pelaku ekonomi termasuk isi rumah, korporat dan kerajaan kesemuanya akan mengambil pinjaman atau menerbitkan bon secara keterlaluan.
Perbelanjaan kerajaan juga boleh terjejas jika dasar akomodatif ini terlalu lama. Perlu ingat, kadar pengangguran juga semakin menurun bermakna inflasi sedikit meningkat kerana lebih ramai individu yang bekerja dan berbelanja.
Kebanyakan ahli ekonomi di Malaysia menjangkakan OPR akan naik kepada 2.75 peratus pada akhir tahun ini. Tetapi, MPC tidak semestinya menaikkan kadar tersebut pada mesyuarat yang bakal berlangsung pada November depan kerana MPC baru-baru ini ada mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini. Namun, saya rasa (kenaikan OPR) tidak sampai tiga peratus.
Dasar monetari adalah satu instrumen yang tumpul dan tidak mampu untuk menyetempatkan masalah di peringkat satu sektor ekonomi sahaja. Ia perlu dilihat secara keseluruhan kepentingan pelaku ekonomi.
Tidak ada keperluan untuk membuat sasaran OPR. Ia banyak bergantung kepada prestasi dan petunjuk ekonomi negara pada suku ketiga 2022 nanti dan mungkin implikasinya kepada kadar pengangguran, inflasi negara dan persekitaran luaran.
Secara umumnya, ekonomi negara sedang tumbuh pada kadar yang lebih baik berbanding jangkaan ahli-ahli ekonomi setakat ini.
Sejak suku keempat 2021, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin baik iaitu dari 3.6 peratus ke 5.0 peratus pada suku pertama 2022 dan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini.
Hampir kesemua petunjuk ekonomi dari segi perbelanjaan mahupun output menunjukkan pertumbuhan positif sejak suku keempat tahun lalu.
Data sistem pembayaran juga semakin baik. Kita dah banyak mengaplikasikan kad kredit, debit, perbankan internet dan perbelanjaan tanpa menggunakan tunai.
Banyak negara lain mempunyai OPR sangat tinggi. Adakah Malaysia juga menuju ke arah itu dan berapa kadar maksimum ideal yang berkemungkinan boleh Malaysia naikkan? Kenapa?
Secara umumnya, negara yang mempunyai gred penarafan kredit berdaulat yang tinggi mempunyai kadar faedah dan hasil bon rendah disebabkan oleh risiko kredit rendah.
Misalnya AS dengan gred AA, kadar faedah dan kadar hasil bon mereka kebiasaannya akan lebih rendah kerana risiko kredit mereka adalah rendah. Lebih tinggi gred penarafan kredit, lebih rendah kadar faedahnya.
Begitu juga sebaliknya. Semakin rendah gred penarafan sesebuah negara, semakin tinggi kadar faedah mereka kerana pelabur menginginkan pulangan daripada pelaburan mereka dalam keadaan yang baik berbanding risiko yang diambil.
Namun, dasar monetari yang berbeza di seluruh dunia sejak awal tahun ini menyebabkan ketidaktentuan ekonomi pada ketika ini.
Ketika ini, negara-negara maju, terutamanya AS yang mempunyai gred penarafan yang tinggi menaikkan kadar faedah mereka secara mendadak menyebabkan aliran pelaburan serata dunia masuk ke negara tersebut kerana risiko kredit yang rendah dan pulangan pelaburan tinggi.
Jurang dasar monetari ini menyebabkan negara serata dunia terkesan dari aspek nilai mata wang, inflasi, rizab antarabangsa, perdagangan antarabangsa dan sebagainya.
Kesemua indikator mikroekonomi ini akan terkesan disebabkan jurang monetari yang terlalu besar bukan sahaja antara Malaysia dengan AS, malah berlaku di seluruh dunia.
Kedudukan Malaysia agak berlainan kerana kenaikan OPR bukan sahaja disebabkan prestasi pertumbuhan ekonomi dalaman tetapi juga untuk mengawal kadar inflasi yang diimport disebabkan oleh pelaburan asing.
Saya berpendapat agak sukar untuk OPR kembali ke paras sebelum pandemik Covid-19 kerana kadar hutang negara di serata dunia meningkat disebabkan penutupan ekonomi.
Bagi negara-negara maju, kadar faedah yang tinggi tidak akan kekal lama, misalnya di AS pada awalnya 25, 50, 70, 75 mata asas tetapi sekarang ada ura-ura untuk menaikkan hingga 100 mata asas.
Peningkatannya terlalu agresif disebabkan pasaran buruh mereka masih lagi kuat. Orang masih lagi berbelanja walaupun kadar faedah tinggi.
Pelabur akan lebih tertarik kepada negara yang mempunyai kadar faedah tinggi. Kenapa dan adakah Malaysia sedang berdepan pengurangan jumlah pelabur luar?
Sejak lapan bulan pertama tahun ini, pegangan asing hutang negara dalam ringgit Malaysia keluar sebanyak RM4.62 bilion manakala aliran pelaburan asing dalam pasaran saham atau ekuiti negara pula masuk sebanyak RM8.18 bilion.
Daripada aspek pasaran bon disebabkan oleh jurang dasar monetari, pelabur asing lebih berminat kepada aset-aset dolar AS dan akan mengurangkan pegangan mereka untuk membeli aset selain mata wang berkenaan termasuklah ringgit.
Tetapi disebabkan oleh pembukaan ekonomi dan kawalan inflasi di Malaysia yang efektif berbanding negara lain, pelabur asing dalam pasaran saham Malaysia menganggap bahawa pulangan pelaburan mereka adalah lebih baik berbanding di luar negara.
Saya melihat pasaran saham negara masih dalam keadaan baik kerana kerajaan masih mengawal inflasi jadi syarikat dalam bursa akan mendapatkan keuntungan disebabkan kenaikan ekonomi.
Adakah penyusutan nilai ringgit ketika ini disebabkan oleh OPR semasa yang rendah dan apa faktor lain menyebabkan nilai ringgit susut berbanding Dolar AS?
Sejak awal tahun ini, ringgit jatuh berbanding dolar AS namun nilai ringgit lebih kukuh jika dibandingkan dengan pasaran mata wang utama dunia yang lain seperti pound sterling, euro, yen Jepun dan yen China renminbi (CNY). Mata wang asing seperti won Korea (KRW) dan dolar New Zealand (NZD) juga jatuh berbanding ringgit.
Mata wang ialah satu komoditi jadi isu nilai mata wang boleh dilihat dari pelbagai sudut termasuk pasaran saham, perdagangan antarabangsa, rizab, kadar inflasi dan kadar upah bukan sahaja dolar AS. Tetapi, kita selalu menggunakan dolar AS sebagai penanda aras.
Salah satu unjuran ekonomi yang boleh diguna pakai untuk menganalisis nilai ringgit ialah indeks Real Effective Exchange Rate (REER). Indeks itu menunjukkan nilai sesuatu mata wang daripada aspek daya saing antarabangsa sesebuah negara berbanding rakan dagangan di seluruh dunia.
Indeks REER Malaysia menunjukkan penurunan di bawah paras mata 100 sejak pertengahan 2013. Ini bukan sahaja bermaksud ringgit berada pada nilai rendah tetapi juga menunjukkan eksport negara semakin kompetitif.
OPR masih lagi rendah disebabkan oleh paras akomodasi yang sedia ada. Bezanya, pelaburan asing akan bergerak mengikut pelaburan modal asing terutamanya pasaran bon negara. Apabila pelaburan asing dalam pasaran bon negara bergerak, ringgit juga akan bergerak sekali.
Selain itu, pembukaan ekonomi yang lambat menyebabkan Malaysia mengimport barangan pangantaraan (intermediate) untuk tujuan eksport.
Dalam masa sama, pengukuhan nilai dolar AS juga menyebabkan pertumbuhan nilai import adalah lebih tinggi daripada eksport, ini menyebabkan nilai ringgit terjejas tatkala inflasi import.
Rakyat diberi kefahaman bahawa kenaikan OPR bertujuan melawan inflasi. Apabila kadar faedah naik, jumlah pinjaman baharu dengan bank akan berkurangan, orang ramai juga kurang berbelanja dan akhirnya harga barang akan turun kerana ramai tidak membeli. Adakah ini benar?
Secara teorinya, perubahan kadar faedah akan mempengaruhi pinjaman dan simpanan pada arah bertentangan.
Secara praktikalnya, ini tidak selalunya berlaku. Adakalanya kadar faedah naik tetapi jumlah pinjaman juga naik kerana pelaburan daripada pinjaman tersebut semakin baik berbanding pulangan simpanan.
Seperti yang berlaku di AS, kadar faedah mereka naik tetapi rakyat masih lagi berbelanja. Di Malaysia, meskipun OPR naik, rakyat tetap berbelanja lebih. Bermakna rakyat merasakan pulangan daripada perbelanjaan itu masih lagi boleh diterima.
Kadar faedah di Malaysia dinaikkan secara selaras. Peranan OPR bukan sahaja dari aspek inflasi tetapi juga pertumbuhan ekonomi, dua mandat utama BNM mestilah diutamakan.
Rakyat beranggapan apabila OPR dinaikkan, kadar faedah automatik akan naik. Adakah semua jenis pinjaman terlibat dan berapa purata kenaikan bulanan (RM) ditanggung peminjam dengan OPR pada paras 2.5 peratus?
Pinjaman yang berfaedah tetap tidak akan naik kerana ia tidak memberi impak disebabkan oleh pergerakan OPR.
Contohnya, pinjaman rumah atau kereta, meskipun OPR naik turun, kadar bayarannya masih sama. Yang terjejas hanyalah pinjaman kadar terapung.
Berdasarkan Akta Bank Negara 2009, ada pengecualian tertentu yang mana kerajaan boleh campur tangan sekiranya tidak bersetuju dengan dasar monetari termasuk kenaikan OPR. Apa proses-proses untuk campur tangan itu dan apa implikasi jika kerajaan campur tangan?
Berdasarkan Akta Bank Negara 2009, dasar monetari adalah di tangan BNM manakala dasar fiskal dipegang oleh kerajaan.
Secara umumnya, kita perlu asingkan dua dasar utama ini sebagai automoni kepada dasar awam negara.
Kebebasan bank pusat adalah sangat penting kerana BNM bertujuan melaraskan dan menformulasikan dasar monetari. Jadi, perlu ada pemisahan yang jelas mengenainya dan ia juga dinyatakan secara terperinci dalam Akta Bank Negara 2009.
Malah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini juga ada menyebut tentang perkara berkenaan.
Autonomi dasar monetari sangat penting. Sebaik-baiknya BNM mempunyai unjuran pertumbuhan ekonomi sendiri manakala dasar fiskal oleh kerajaan ada unjuran ekonomi sendiri.
BNM hanya melaksanakan perubahan kadar OPR sahaja, yang membuat keputusan ialah MPC.
Apa kebaikan yang rakyat dapat apabila OPR dinaikkan?
Banyak kebaikannya tetapi tidak ramai yang sebut. Kadar simpanan dan pulangan daripada aset-aset berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji akan menjadi semakin tinggi berbanding negara lain terutamanya negara maju.
Sebagai negara membangun, pentingnya untuk Malaysia mempunyai kadar faedah yang tinggi.
Semua perkara akan ada pro dan kontranya, sama juga seperti OPR. Jika (kadar) rendah, pinjaman akan semakin rendah tetapi jika terlalu lama rendah, kita mungkin akan pinjam lebih.
Sebagai pakar ekonomi, apa jangkaan terhadap ekonomi Malaysia dalam 10 tahun iaitu sepanjang tempoh pemulihan selepas pandemik Covid-19?
Ekonomi Malaysia akan merekodkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan awal pada tahun 2022. Ini adalah kerana kerajaan akan memastikan isu-isu berkaitan pertumbuhan ekonomi akan menjadi baik selepas dua tahun ekonomi ditutup.
Kerajaan tidak mempunyai pilihan. Mereka perlu menjadikan tahun ini sebagai tahun yang terbaik untuk pertumbuhan ekonomi.
Ekonomi Malaysia akan menjadi lebih baik atau tidak banyak bergantung kepada liberalisasi ekonomi negara yang boleh meningkatkan produktiviti buruh dan peningkatan modal.
Produktiviti buruh termasuk meningkatkan penyertaan tenaga buruh atau menaikkan kadar upah dengan tempoh waktu kerja yang sama.
Peningkatan modal bermakna pulangan daripada modal tersebut mestilah lebih tinggi misalnya buka lagi pasaran modal untuk dapatkan modal luar masuk.
Walaupun kita boleh buat macam-macam, namun ia juga banyak bergantung kepada daya saing negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
Jika pertumbuhan ekonomi mereka laju, Malaysia perlu buat lebih lagi. Negara-negara ini banyak bergantung kepada kelebihan daya saing, siapa lebih murah akan menang.
Pembukaan pasaran modal akan membuatkan penggunaan teknologi negara semakin maju, sama seperti Korea Selatan. Oleh itu, reformasi struktur adalah penting kerana sekurang-kurangnya ekonomi negara boleh bergerak sejajar dengan ekonomi dunia.
Bagaimanapun melalui reformasi struktur ini, kerajaan terpaksa menggubal polisi yang berkemungkinan mendatangkan ketidakselesaan kepada rakyat.
Contohnya, apabila kerajaan nak mengapungkan harga minyak, rakyat bising namun itu yang boleh menyebabkan ekonomi negara melonjak tinggi.
Rakyat sebenarnya perlu menjadi tidak selesa sedikit untuk menggerakkan ekonomi dan menyokong inisiatif kerajaan untuk membuat pembaharuan.
Klik di sini untuk terus membaca