SHAH ALAM - Isu mengenai bila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bagi memohon pembubaran Parlimen masih menjadi teka-teka,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Isu mengenai bila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bagi memohon pembubaran Parlimen masih menjadi teka-teka, meskipun ramai yang beranggapan ‘masanya’ hampir tiba.

Namun, perlu difahami bahawa proses untuk membubarkan Parlimen bukan semata-mata atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri kepada Seri Paduka Baginda.

Sebaliknya, pembubaran Parlimen yang mungkin dicadangkan Ismail Sabri atas nasihat partinya, UMNO masih perlu berdepan peringkat akhir iaitu kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Berikut adalah penjelasan penuh Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad mengenai perkenan membubarkan Parlimen adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong Pembubaran Parlimen kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Selamat berhujung minggu untuk semua. Moga hari minggu ni bolehlah kita berehat dengan tenang sebelum menyambung kerja esok.

Mungkin ramai antara kita yang mendengar desas-desus Parlimen akan dibubarkan. Saya tak tahu bila, cuma bila saya baca di media, macam dah dekat sangat. Apa pun itu belum pasti. Yang pasti, saya tidak mahu berbicara tentang itu, saya cuma mahu sebut dan mengulangi pengisian tentang undang-undang berkaitan pembubaran Parlimen. Walau bila pembubaran berlaku, undang-undang tetap sama. Elok untuk kita fahami kedudukan undang-undang berkaitan.

Terdapat beberapa perkara yang saya ingin kongsikan dalam tulisan ini.

Pertama: Apakah yang dimaksudkan dengan pembubaran Parlimen? Parlimen terdiri daripada tiga komponen, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat (Perkara 44). Walaupun begitu, hanya Dewan Rakyat yang dibubar. Apabila sebut pembubaran Parlimen, ia bermaksud pembubaran Dewan Rakyat. Dewan Negara tidak tertakluk kepada pembubaran. Ini kerana hanya ahli Dewan Rakyat yang dipilih melalui Pilihan Raya Umum (PRU). Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum dilaksanakan.

BILA BOLEH BUBAR

Kedua: Bilakah Parlimen boleh bubar? Pembubaran Dewan Rakyat di negara kita boleh berlaku dalam tiga keadaan: i. Apabila tamat tempoh lima tahun - iaitu apabila umur Parlimen mencapai lima tahun mengikut Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

ii. Apabila Yang di-Pertuan Agong memperkenan pembubaran Parlimen jika Perdana Menteri yang percaya dirinya telah hilang kepercayaan majoriti ahli Parlimen dan membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

iii. Apabila Yang di-Pertuan Agong memperkenan pembubaran Parlimen jika terdapat permintaan bagi tujuan tersebut. Pada amalan negara kita, keadaan ketiga ini berlaku apabila Perdana Menteri membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen untuk mendapatkan mandat pengundi, iaitu bagi tujuan mengadakan PRU.

Ketiga: Adakah Wajib mendapatkan Perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen? Ya. Perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah wajib diperoleh bagi membolehkan pembubaran Parlimen, kecuali Parlimen bubar secara automatik setelah mencapai usia lima tahun menurut Perkara 55(3). Ini kerana pembubaran Parlimen adalah kuasa baginda menurut Perkara 55(2).

Keempat: Adakah perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen adalah atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri atau atas kuasa budi bicara baginda? Maksudnya adakah Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat atau budi bicara baginda sendiri untuk memberi perkenan pembubaran Parlimen? Soalan ini soalan paling popular sekarang ni.

Dalam hal ini, tiada peruntukan khusus yang menyatakan tentang kedudukan 'nasihat' Jemaah Menteri atau nasihat Perdana Menteri bagi urusan pembubaran Parlimen. Mereka yang berhujah menyatakan bahawa ia adalah kuasa yang perlu dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri merujuk kepada Perkara 40(1) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan. Saya tidak mengambil pendekatan tafsiran ini. Saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa perkenan membubarkan Parlimen adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

TIGA PERUNTUKAN

Sebelum saya huraikan pandangan saya, perlu dinyatakan bahawa, dalam hal berkaitan pembubaran Parlimen, terdapat tiga peruntukan berkaitannya dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan tersebut ialah: i. Perkara 40(2)(b) Perkara ini menyatakan: ".... (2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:...

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;... ...”; ii. Perkara 55(2) Perkara ini menyatakan: "Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.”; dan iii. Perkara 43(4) menyatakan: "Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.” Perkara 40(2)(b) menggunakan istilah 'permintaan' atau dalam bahasa Inggeris, 'request', bukan 'nasihat' atau 'advise'. Perkataan 'permintaan' atau 'request' menjadikan ia berbeza dengan peruntukan umum tentang 'nasihat' atau 'advise'.

Sekiranya perkataan digunakan adalah nasihat, maka Perkara 40(1) hendaklah diterima pakai. Oleh kerana perkataan 'permintaan' yang digunakan, maka ia menunjukkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bukan atas nasihat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri, ia adalah kuasa budi bicara baginda dan Perkara 40(2)(b) adalah terpakai.

Justeru itu, pada pandangan saya, setiap pembubaran Parlimen adalah atas 'permintaan' dan bukan atas 'nasihat' walau apa keadaan pembubaran itu berlaku kecuali pembubaran secara automatik.

Klik di sini untuk terus membaca