SHAH ALAM - Sistem kawalan perolehan dalaman lemah dan kecurangan melibatkan pemimpin di peringkat atasan dilihat menjadi faktor utama peningkatan kes rasuah serta salah guna kuasa melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT). Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sistem kawalan perolehan dalaman lemah dan kecurangan melibatkan pemimpin di peringkat atasan dilihat menjadi faktor utama peningkatan kes rasuah serta salah guna kuasa melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, kelompongan serta kepincangan sistem kawalan dalaman PBT melibatkan perolehan dan pengurusan tender projek menyaksikan jenayah kolar putih berlaku secara berleluasa.

Katanya, kelemahan tersebut mengundang berlakunya ketirisan dan perbuatan suapan dalam pelbagai bentuk untuk meluluskan projek yang dilaksanakan oleh PBT.

"Isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan PBT sudah lama berlaku. Banyak kes berlaku melibatkan PBT. Kita juga mengetahuinya menerusi Laporan Ketua Audit Negara bahawa PBT merupakan antara lokasi berlakunya ketirisan wang rakyat.

"Oleh sebab itu, kita di dalam Rasuah Busters menuntut supaya Akta Perolehan Kerajaan digubal seperti mana yang terdapat di dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi mengukuhkan lagi akta-akta melibatkan prosedur dalaman, perolehan serta tawaran perkhidmatan, seterusnya boleh mengatasi isu ketirisan serta rasuah,” katanya kepada kru Rasuah Busters.

Mengulas lanjut, Badlishah berkata, projek dan tender yang banyak daripada PBT kepada kumpulan kontraktor menyaksikan perkara itu seakan sukar dikawal sepenuhnya bagi proses penelitian kesahihan.

Menurutnya, perbuatan menawarkan sebut harga palsu sering berlaku dalam kalangan kontraktor yang telah dipilih menerima projek atau tender daripada pihak PBT.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA), Zulhimi Bachok berkata, secara umumnya perolehan mana-mana projek kerajaan perlulah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Tambahnya, permainan politik melibatkan kumpulan PBT dengan pihak kontraktor adalah sangat licik apabila seakan berlaku ‘kerjasama’ untuk memperoleh manfaat bersama melibatkan tender atau projek pembangunan yang bakal dilaksanakan.

INFO PENDEDAHAN DAN PENDAKWAAN KES RASUAH

SPRM bongkar kartel monopoli projek di MBSA

SHAH ALAM- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar satu kartel yang dipercayai memonopoli tender projek di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan serbuan di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada Ahad.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM mendapati seorang pegawai kanan di situ menerima habuan benda berharga yang nilainya berpuluh ribu ringgit.

Katanya lagi, SPRM juga sedang menyiasat bagaimana perbuatan rasuah itu berlaku dan bagaimana sebuah syarikat mengawal 30 syarikat lain untuk dapatkan projek di jabatan berkenaan di MBSA.

...................................................................................................................

Bekas YDP Majlis Daerah Kuala Langat berdepan empat tuduhan

SHAH ALAM - Bekas Yang Dipertua (YDP), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas empat pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM100,000.

Dr Mohd Azhar Mohamed Ali, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bekas YDP MDKL tidak mengaku bersalah atas tuduhan terima rasuah wang tunai RM100,000 baru-baru ini.

Mengikut kesemua pertuduhan, Mohd Azhar, didakwa sebagai YDP MDKL kini merupakan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah menerima untuk dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki dan beliau mengetahui bahawa ia berkaitan dengan tugasan rasminya.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Pengarah PBT, suami ditahan disyaki salah guna kuasa

SHAH ALAM- Seorang pengarah sebuah majlis perbandaran di negeri ini bersama suaminya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat salah guna kuasa bagi tempoh antara 2019 dan 2020.

Suspek wanita itu dipercayai telah menggunakan jawatannya dengan mempelawa syarikat perunding swasta yang mana suaminya mempunyai kepentingan bagi melakukan kerja-kerja penilaian melibatkan nilai keseluruhan lebih RM445,000.

...................................................................................................................

Disyaki terima rasuah RM3,000, penolong juruukur bahan PBT direman

SEREMBAN- Seorang penolong juruukur bahan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menerima rasuah sebanyak RM3,000 pada Ogos 2019.

Suspek dipercayai menerima wang rasuah RM3,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan permohonan pelan ubah suai rumah tanpa melalui prosedur yang sah daripada PBT tempatnya bertugas pada Ogos 2019.

.....................................................................................................................

Disyaki terima rasuah, Datuk Bandar direman

JOHOR BAHRU- Seorang Datuk Bandar sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) direman bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah.

Suspek yang merupakan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan ketika direman bertugas di sebuah PBT lain di Johor Bahru disyaki menerima rasuah daripada kontraktor ketika berkhidmat di MBIP.

.........................................................................................................................

Pegawai awam ditahan SPRM di Melaka, jutaan ringgit dikesan dalam akaun bank

MELAKA-Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai awam kerana disyaki terlibat dengan rasuah melibatkan projek-projek Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka.

Suspek disyaki telah meminta wang suapan bagi projek berkaitan PBT berkenaan.

SPRM turut membekukan akaun bank milik suspek yang mengandungi wang jutaan ringgit.

Klik di sini untuk terus membaca