SHAH ALAM - Perlu memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan keluar daripada koalisi Perikatan Nasional (PN) merupakan antara tiga syarat dikemukakan UMNO sekiranya Pas mahu masuk 'meminang' dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perlu memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan keluar daripada koalisi Perikatan Nasional (PN) merupakan antara tiga syarat dikemukakan UMNO sekiranya Pas mahu masuk 'meminang' dan bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain dua syarat berkenaan, satu lagi syarat yang perlu dituruti Pas adalah parti Melayu berkenaan perlu mengumumkan secara rasmi mereka sepenuhnya telah mufaraqah (berpisah) dengan PN dan Bersatu.

Jelas beliau, semua syarat itu telah diketahui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

"Saya telah nyatakan itu (tiga syarat kerjasama), lebih baik saya tidak menyebutkannya (pada sidang media).

"Mereka (Pas) mengetahui syarat-syarat itu dan kalau mereka memenuhi syarat-syarat itu, baru perundingan (kerjasama) boleh dilakukan dengan mereka,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Penutup Bootcamp BNComms di Kem Permata Resort, Ayer Pa’abas di Alor Gajah, pada Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut menegaskan tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan di peringkat kepimpinan kedua-dua parti bagi meneliti kerjasama itu setakat ini.

Ujarnya, sebarang rundingan yang mungkin ada hanya dibuat dalam bentuk tidak rasmi semata-mata.

Muafakat Nasional yang dimeterai oleh UMNO dan Pas masih utuh berdiri.

"Jika ada pun, ianya dibuat secara informal atau tidak rasmi (dan) selagi Pas tidak membuat keputusan secara rasmi.

"Selagi itu kita tidak dapat merungkaikan apa juga isu dan perkara-perkara yang menjadi perbedaan antara kedua-dua parti," tegasnya lagi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan Abdul Hadi telah mengadakan satu pertemuan dengan Ahmad Zahid baru-baru ini.

Pertemuan itu diadakan bagi membolehkan Pas membincangkan cadangan memuktamadkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO, walaupun parti itu merupakan rakan parti gabungan rasmi musuh ketat UMNO iaitu PN dan Bersatu.

Pendedahan itu menyebabkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut penjelasan daripada Abdul Hadi dengan satu pertemuan empat mata kemudiannya diadakan di kediaman bekas Perdana Menteri berkenaan.

Hasil pertemuan tersebut, Muhyiddin mendakwa Pas akan terus komited bersama PN selain menjelaskan tiada sebarang titik persetujuan tercapai melalui pertemuan Pas-UMNO berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca