MASALAH kesihatan mental berkait rapat dengan isu deprivasi, kemiskinan dan ketidaksamaan yang merupakan penentu kesihatan sosial. Oleh itu, krisis ekonomi dan politik adalah tempoh yang berisiko tinggi kepada kesejahteraan mental sejagat.... Klik di sini untuk terus membaca

MASALAH kesihatan mental berkait rapat dengan isu deprivasi, kemiskinan dan ketidaksamaan yang merupakan penentu kesihatan sosial.

Oleh itu, krisis ekonomi dan politik adalah tempoh yang berisiko tinggi kepada kesejahteraan mental sejagat.

Krisis ekonomi yang bermula pada tahun 2008 masih terus menimbulkan cabaran besar di banyak negara membangun, malah di negara maju juga.

Dari sudut sosioekonomi, kedua-dua sistem ekonomi dan sistem politik adalah faktor penentu kesihatan mental. Hakikatnya, bukan semua anggota masyarakat merasai krisis ini dan terjejas olehnya.

Kemerosotan ekonomi boleh menyebabkan gangguan kognitif dan afektif akibat gabungan banyak faktor seperti pengangguran, pengurangan saiz perkhidmatan perubatan dan sosial, serta pengurangan perbelanjaan awam.

Apabila digabungkan dengan ketidakpastian pekerjaan dan masa hadapan, kesemua ini secara amnya berisiko menyebabkan gangguan dan kecelaruan mental yang serius.

Tumpuan khusus perlu diberikan kepada golongan yang terpinggir, individu yang berhadapan dengan stigma isu kesihatan mental dan individu yang telah didiagnosis.

Golongan yang bergelut dengan masalah kewangan yang berat lebih mudah terdedah kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan, penyalahgunaan dadah dan alkohol, serta kecenderungan membunuh diri.

Semakin tinggi hutang yang ditanggung seseorang, semakin tinggi kebarangkalian mereka ditimpa gangguan mental.

Menurut satu kajian, selepas peningkatan kadar pengangguran, berlakunya peningkatan kadar bunuh diri di negara-negara Kesatuan Eropah dan Amerika Utara.

PERGOLAKAN POLITIK

Pemimpin perlu berperanan menghadapi isu ini dengan program perlindungan sosial yang dirancang secara strategik untuk golongan yang berisiko.

Walaupun pergolakan politik mungkin tidak melibatkan kemusnahan berskala besar seperti peperangan atau pembunuhan beramai-ramai, pendedahan berterusan kepada ketidakstabilan yang kurang ekstrem mempunyai kesan buruk, khususnya kepada belia.

Pergolakan politik domestik di banyak negara baru-baru ini menyerlahkan sisi buruk ini, iaitu suasana kacau-bilau yang dihadapi oleh ramai belia. Satu fasa penting dalam perjalanan hidup mereka yang mana keputusan kritikal tentang pelaburan dan perancangan masa depan perlu dibuat telah terjejas.

Pendedahan kepada tekanan dan konflik politik bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan mental individu, tetapi juga orientasi umum masa depan belia. Kesannya, minat para belia kepada turutan persekolahan dan pendidikan tinggi ke arah pekerjaan yang memerlukan kelulusan tinggi semakin menurun.

Mereka juga cenderung mengamalkan tingkah laku berisiko yang menjejaskan trajektori pembangunan jangka panjang kehidupan mereka. Cukuplah berita baru-baru ini yang menunjukkan lebih 70 peratus lepasan SPM tidak ingin melanjutkan pelajaran menjadi bukti bahawa kesan-kesan yang disebutkan di atas sedang berlaku.

Kevin Smith, pengkaji daripada Fakulti Sains Politik Universiti Nebraska-Lincoln menyebut tentang fenomena ini, "Politik ialah sejenis tekanan kronik. Ia sesuatu yang dilihat dan difikirkan orang ramai secara konsisten hingga dapat menjejaskan kesihatan sosial, emosi dan juga fizikal mereka untuk jangka masa yang panjang.” Pendekatan holistik terhadap cabaran kesihatan mental dalam krisis ekonomi dan politik semasa memerlukan penglibatan merentasi pelbagai sektor.

Di samping langkah-langkah kebajikan sosial yang meluas melangkaui isu kesihatan mental sahaja, penyediaan perkhidmatan kesihatan mental dalam rawatan asas, program pasaran buruh aktif, program sokongan keluarga dan keibubapaan, program kawalan alkohol, serta promosi modal inisiatif sosial perlu menjadi batu asas kepada kesejahteraan kesihatan mental.

Dasar yang berjaya dan mendapat kepercayaan golongan belia diiringi kesedaran akan kesan politik dapat mencegah masalah kesihatan mental dalam masyarakat awam. Melabur dalam sistem sokongan kesihatan mental bukan hanya akan memberi manfaat pada masa ledakan ekonomi dan kestabilan politik, tetapi juga pada era kemelut.

Kita sebagai rakyat Malaysia dahagakan kestabilan ekonomi yang berkait rapat dengan kestabilan politik. Profesor Dr Ali al-Qaradaghi menyebut, "Umat yang berjaya memerlukan pemerintahan yang prihatin dan bijaksana, melaksanakan tanggungjawab, dan sentiasa mendapat sokongan rakyat.”

* Asim Mohd Hatta adalah aktivis SAYA di bawah kelolaan IKRAM Muda Malaysia. SAYA merupakan satu inisiatif untuk memberi kesedaran isu kesihatan mental kepada masyarakat.

Klik di sini untuk terus membaca